"Bercinta",
"Bercouple", "Berikhtilat" dan sebagainya mempunyai
takrifan berbeza dan sangat subjektif dengan merujuk kepada setiap individu.
Ada yang kata
bercinta itu halal, sedang "couple" itu haram. Ada juga yang
mengatakan kedua-duanya haram, sebahagian yang lain pula mengatakan ia harus
namun bersyarat. Namun ada juga yang menjustifikasikannya dengan penggunaan
kalimah "ikhtilat".
Bagi saya,
istilah bercinta itu sendiri terlalu subjektif, berbeza mengikut
pemahaman setiap orang dan apa yang mereka lakukan berdasarkan pemahaman
masing-masing.
Ada yang
menggunakan istilah bercinta, namun mereka tidak melanggar batas-batas agama.
Jadi, adakah perbuatan tersebut diharamkan?
Ada juga yang
menggunakan istilah "kami hanya berkawan saja", tetapi pergaulan
mereka mengalahkan suami isteri, pun begitu adakah berkawan juga patut
diharamkan?
Saya tertarik
dengan satu kenyataan seorang penceramah sewaktu saya masih menuntut di zaman
asasi dulu, beliau mengatakan dengan lantang bahawa; "Bercinta,
berikhtilat dan bercouple itu haram".
Lama saya
termenung selepas itu, memikirkan adakah bercinta itu haram secara
keseluruhannya? Adakah langsung tiada ruang untuk manusia memanifestasikan
cinta mereka kepada seseorang? Mengapa Allah mengurniakan rasa hati ini jika
perasaan ini diharamkan secara terus?
Dalam Al-Quran,
Allah SWT mengulang-ulang kalimah cinta sebanyak 76 kali. Apabila Allah sendiri
meletakkan kalimah cinta sebanyak itu dalam Al-Quran, tentu sahaja perkara itu
penting. Maha suci Allah! Dia tidak akan meletakkan sesuatu yang remeh-temeh
dalam kitab-Nya sebagai rujukan umat keseluruhannya.
Perasaan cinta
ini normal bagi seorang manusia. Perasan ingin mencintai dan dicintai adalah
fitrah insani. Namun, naluri yang menjadi fitrah insani ini, mampu bertukar
menjadi fitnah diri jika tidak dikawal dengan rapi.
Kata orang,
cinta itu buta. Apabila sudah bercinta, bukan sahaja mata, malah hati juga
turut menjadi buta. Yang buruk terlihat indah. Yang busuk terhidu wangi.
Perasaan cinta ini umpama garam dalam masakan, perlu dibubuh untuk menyedapkan
makanan, tetapi apabila berlebihan, mampu mengundang pelbagai penyakit dalam
badan.
Seseorang akan
menjadi hamba kepada apa yang dicintainya, dan alangkah baiknya jika kita
salurkan perasaan cinta kita, kepada pemilik segala cinta di dunia dan akhirat
iaitu Allah 'Azza Wajalla. Biarlah kita menjadi hamba, dan meng’abdikan diri
pada yang sepatutnya terlebih dahulu.
Kemudian,
barulah kita boleh memandu hati ini untuk mencintai mereka yang mencintai
Allah. Apabila kita mencintai orang yang mencintai Allah, in shaa Allah cinta
yang kita serahkan kepadanya itu, akan diserahkan kepada Allah. Lalu, jadilah
kita insan yang saling mencintai kepada pencinta kebaikan. Itulah cinta yang
utama!
Bagi saya,
bercinta itu perlu bagi mengenali dengan lebih mendalam pasangan yang akan kita
kahwini, hal ini bagi mengelakkan kita tersilap membuat keputusan malah
menyesal di kemudian hari. Bercinta itu tidak salah, asalkan kita menjauhi
segala perkara yang haram dan dilarang oleh agama. Berta'aruflah sekadarnya
untuk mengetahui ciri-ciri umum bakal pasangan kita saja.
Namun begitu,
Islam adalah agama yang syumul, ia tidak akan membiarkan penganutnya hidup
tanpa sebarang panduan dan hanya berpaksikan hawa nafsu semata, agama Islam
sendiri telah menggariskan beberapa tips dan adab ketika bercinta atau
berta'aruf melalui kalam-kalam ulama' terdahulu dan kontemporari.
Rasulullah juga
pernah bersabda, bahawa seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; iaitu
kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, maka
pilihlah yang beragama, nescaya kamu beruntung.
Golongan
asatizah telah menggariskan beberapa panduan bagi mengenali bakal pasangan kita
berlandaskan syariat, antaranya dengan menyelidik latar belakangnya dengan cara
yang sopan dan bermaruah.
Dalam era
teknologi kini, bukanlah menjadi satu masalah sukar untuk kita mendapatkan
maklumat mengenai bakal pasangan kita, kita boleh saja menyelidik mengenai
dirinya melalui media sosial yang pelbagai, kita boleh mengenali perwatakannya,
siapa ahli keluarganya, siapa rakan karibnya, bagaimana bahasa yang
digunakannya di dunia maya itu.
Selain itu,
kita juga boleh berhubung melalui orang tengah yang dipercayai akan akhlak dan
agama mereka bagi merisik corak kehidupan dan juga keperibadiannya, seperti
melalui keluarga, teman sekuliah, saudara-mara, guru, atau rakan sekerjanya.
Jadi, bukan diri kita sendiri yang perlu berta'aruf dengan mendekati dan
mengenali hati budinya secara berlebihan. Itulah yang dimaksudkan menyelidik
secara bermaruah.
Namun begitu,
dalam menilai ciri-ciri idaman bakal pasangan kita, kita juga perlu terlebih
dahulu berusaha ke arah ciri-ciri tersebut. Hal ini diumpamakan bagai sekati
sama berat, diuji sama merah. Usahlah mengharap bakal pasangan kita sempurna
bagai malaikat andai kita sendiri solat subuh masih terlewat!
Bercinta tidak
salah, tetapi ramai yang menyalahgunakan makna sesebuah percintaan untuk
melakukan perkara yang ditegah oleh hukum syarak. Bertemu janji atau
"dating" dalam gambaran yang mudah difahami hari ini, merupakan
amalan yang sangat bertentangan dengan hukum Islam, misalnya menonton wayang
bersama, berpegangan tangan, berdua-duaan, dan tidak menutup aurat sudah
dianggap biasa. Sedangkan hukumnya adalah haram dan berdosa.
Selain itu,
komunikasi yang tidak berkenaan juga perlu dikurangkan, kita juga perlu
mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Elakkan dari
membuang masa menelefon pasangan kita setiap malam. Elakkan juga komunikasi
yang "mencagarkan" agama untuk kepentingan nafsu sendiri, misalnya
dengan menelefon pasangan kita setiap dinihari untuk sama-sama bangun tahajud.
Bahkan urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram sepatutnya dihentikan
pabila menjelang malam.
Sedangkan
isteri-isteri rasulullah selaku ummahatul mukminin yang mulia, telah diarahkan
agar berselindung di sebalik tabir apabila berurusan dengan para sahabat yang
diiktiraf iman mereka. Inikan pula kita yang tahap keimanan jauh panggang dari
api berbanding mereka. Ingat! Niat tidak pernah menghalalkan cara, apatah lagi
jika niat itu sendiri sudah terpesong berkiblatkan nafsu serta bertopengkan
tipu daya syaitan.
Hati-hati
dengan makhluk yang bernama syaitan ini, dia amat licik. Andai dia tidak mampu
menghasut kita ke jalan maksiat, dia mungkin akan memanipulasikan taktik halus
dengan menyuntik racun berhalusinasikan agama pada sanubari kita, supaya di
mata kita tidak nampak perbuatan itu salah. Justeru, jangan terpedaya. Lebih
baik kita kejut teman serumah kita untuk sama-sama tahajud berjemaah jika betul
niat kita ingin berdakwah!
Tambahan pula,
cinta itu letaknya di hati. Oleh sebab itu, jatuh cinta kerap juga disebut
sebagai jatuh hati. Hati itu adalah raja yang mengawal seluruh anggota dan
pancaindera manusia. Jika hati baik, maka baiklah seluruh jasad. Begitulah
sebaliknya. Apabila kita mencintai seseorang, kita tidak akan tergamak membawa
dirinya ke kancah maksiat. Kita tidak akan sanggup membuatkan dirinya
bergelumang dengan dosa. Sebagai seorang muslim, cinta kita tidak sama dengan
cinta seorang yang bukan muslim. Cinta kita di batasi syarak.
Justeru, jika
kita telah berpuas hati dengan segala corak keperibadiannya, dan kedua-duanya
sudah saling meredhai antara satu sama lain, maka segerakanlah dengan ikatan
pertunangan. Ikatan ini mudah saja, cukup dengan persetujuan pasangan dan
keluarga terdekat seperti ibu bapa kedua-dua belah pihak, sudah dikira sebagai
bertunang. Pelamin tunang, hantaran, rombongan, kenduri dan lain-lain itu semua
cuma adat.
Bertunang itu
penting kerana dalam tempoh itu, tiada lelaki lain boleh mengganggu atau
merisik pasangan kita. Dalam Islam, memikat atau melamar tunang orang hukumnya
adalah haram. Andainya semua umat Islam faham akan hal ini, maka tidak akan
berlaku istilah rampas kekasih orang.
Jaga
batasan-batasan pergaulan ketika bertunang. Jika mahu keluar bersama atas
urusan persiapan perkahwinan misalnya, mestilah berpakaian sopan dan menutup
aurat, bawa sekali seorang mahram seperti adik atau abang kepada perempuan itu.
Membawa budak kecil bersama tidak dikira sebagai membawa mahram. Mahram yang
dimaksudkan ialah seorang yang waras, boleh mengenal pasti hukum halal haram
dan mempunyai kekuatan untuk menegur.
Semasa melalui
tempoh bertunang, tentukan dan pastikan terus sama ada kita dengan si dia
sesuai bersama atau tidak. Jika sesuai, teruskan kepada perkahwinan. Jika
tidak, putuskan tali pertunangan itu dengan baik.
Tiada istilah
malu apabila putus tunang. Islam sudah menganjurkan kepada kita bahawa semasa
bertunang, usah dikhabarkan hal pertunangan kita itu kepada orang ramai.
Bertunang itu lebih baik dibuat secara diam-diam. Bukan dengan rombongan Cik
Joyah yang masyarakat Melayu amalkan sekarang.
Bertunang itu
adalah ikatan pengenalan, bukan kepastian. Hubungannya boleh diteruskan dan
boleh juga diputuskan. Jika ramai yang mengetahui dan ikatan itu putus, maka
akan membawa malu besar kepada diri sendiri dan keluarga. Jika tiada orang
tahu, maka perkara seumpama itu tidak akan berlaku. Aturan Islam itu sangat
mudah dan indah. Cuma kita sahaja yang kurang memahaminya.
Cinta ini,
andai dibaja dengan hukum syarak, maka ia berbunga mekar penuh keberkatan.
Perlu diingat, keberkatan hidup berkait rapat dengan corak kehidupan yang
seseorang amalkan. Jika hukum syarak dipelihara dengan baik, maka in shaa Allah
hidupnya berkat. Jika tidak dijaga, maka kemanisan dan barakahnya akan hilang
sedikit demi sedikit.
Tuntasnya,
percintaan itu biarlah dengan niat kita ingin berkahwin dengannya. Bukan
sekadar "bercouple" dan berkasih semata tanpa sebarang matlamat dan
hala tuju. Maksud ingin berkahwin yang saya nyatakan ini adalah seperti proses
ta'aruf yang sekadarnya, kemudian segerakan dengan ikatan pertunangan dan
teruskan kepada perkahwinan. Jika belum bersedia untuk proses-proses tersebut,
maka usahlah melibatkan diri dalam hal-hal percintaan seperti
"bercouple", kerana ia hanya akan mengundang dosa dari menghampiri
pahala. Ia hanya akan menambahkan kemudaratan berbanding kerahmatan. Ia hanya
membuang masa dan membazir usia dengan perkara sia-sia.
Moga kita semua
mampu menjaga batas pergaulan dengan sempurna, kerana Allah telah berjanji,
bahawa lelaki yang baik, untuk perempuan yang baik, dan perempuan yang baik,
untuk lelaki yang baik. Setiap manusia Allah telah jadikan berpasangan. Jadi,
usahlah terlalu bermuram durja, kerana saat bahagia itu pasti tiba, jika tidak
di dunia ini, di akhirat sana pasti ada!
Allahu a'lam.