Saturday 2 June 2018

Jangan Terpedaya dengan Dunia

Saudaraku, aku menulis baris-baris kalimah ini dengan hati yang berkecamuk dan fikiran yang buntu. Entah kenapa hari demi hari aku terasa hidayah Allah semakin menjauh daripadaku. Aku sedar, selama ini bukan Dia yang pergi meninggalkan aku, tetapi akulah yang bergerak, setapak demi setapak, hingga akhirnya aku kian kehilangan jejak.

Pada saat aku semakin rancak pesan-memesan, terasa akulah yang kehilangan kebaikan. Amalan yang dahulu terasa ikhlas kerana-Nya, kini semakin malas ntuk ku baja. Akhir-akhir ini itulah soalan yang sering buat aku tertanya-tanya. Di mana silapnya? Kenapa hariku ini semakin memburuk daripada hari-hari sebelumnya? Gelap pekatkah hati ini dengan dosa-dosa hingga aku sudah tidak mampu melihat lagi cahaya?

Bagai terngiang-ngiang kata-kata Imam Malik kepada asy-Syafi'i: "Aku melihat Allah meletakkan cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan dosa." Betapa insan sehebat asy-Syafi'i turut diberi amaran keras seperti itu, apatah lagi insan hina seperti aku?

Barangkali itulah punca rasa keterasingan ini. Terasing daripada hidayah Allah. Terasing daripada segala sifat mahmudah. Astaghfirullah, betapa seksanya apabila membayangkan pandangan Allah terhadapku ketika ini. Adakah Dia memandangku dengan pandangan benci? Atau masihkah Dia sudi menerimaku sebagai hamba-Nya yang dikasihi?

Saudaraku, aku tidak mengeluh, cuma ingin berkongsi. Perkongsian ceritaku tentang apa yang kuderitai saat ini. Cerita tentang hidup yang bagiku terlalu ironi. Percayalah saudaraku, dalam liku-liku ranjau kehidupanmu, kau pasti akan melalui apa yang sedang aku alami. Satu saat engkau akan berasa tenang di bawah lindungan Tuhanmu Yang Maha Penyayang. Namun, satu saat lagi kau akan terasa jauh terumbang- ambing di satu aras yang tidak bertebing. Aras yang boleh menghanyutkanmu jauh daripada jalan yang lurus. Aras yang boleh menolak kau kian jauh dibawa arus. Kalau engkau tidak berkuat untuk menongkahnya, engkau akan hilang segala-galanya.

Memang benar, saudaraku. Hidup yang seketika ini benar-benar menarik seluruh tenaga dan upaya kita. Kita yang bermimpikan syurga, namun masih tega menghayun kaki ke neraka. Padahal sudah tahu di sana ada bahaya. Ada yang bakal menyeksa dan diseksa. Namun, akal buta kita tetap juga menghala ke arah sana. Ya Allah, betapa jahilnya!

Kitakah yang dikata Allah, hamba-Nya yang menzalimi diri sendiri? Kalau kau cuba nafikan, tanyakan dirimu sekali lagi; meskipun kita tahu ada balasan azab yang menanti?

Betapa lalainya kita saudaraku. Betapa mudahnya kita kehilangan fokus terhadap tugas pertama. Kia lupa pada asal usul tujuan penciptaan kita sebagai manusia. Mengabdikan diri kepada Dia, bukan kepada harta-benda. Berusaha mencapai redha Allah, bukan mencari penghargaan sesiapa. Kerana kita gagal menumpukan perhatian pada tugas pertama, maka beginilah jadinya. Redha Allah masih di situ dan tidak ke mana-mana, namun kita yang perlahan-lahan bergerak meninggalkannya. Kerana melawan fitrah sebenar, akhirnya jauh kita tersasar.

Tahukah kau, saudaraku? Antara tanda hidayah Allah kian jauh daripadamu ialah tatkala engkau disibukkan dengan perkara-perkara yang tidak perlu. Lalu pesanku, ambillah sedikit waktu untuk bermuhasabah. Berapa nisbah masamu yang kau habiskan untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah? Berapa banyak titis air matamu tumpah bukan kerana Allah? Berapa banyak usahamu yang kau mulakan namun tidak pernah jumpa jalan penyudah? Sia-sia belaka, Sia-sia kesemuanya!

Ingatlah saudaraku akan kata-kata Imam al-Ghazali; sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih sukar untuk diuruskan selain menguruskan hati sendiri. Adakalanya ia bergerak selari dengan iman dan kebenaran, adakalanya ia bergelandangan dengan nafsu dan syaitan.

Bermuhasabahlah saudara. Lihat kembali ke dalam diri dan carilah apa yang masih kurang. Zikirmu? Solatmu? Kepatuhanmu? Carilah pula apa yang terlebih. Kecintaanmu pada dunia? Kesukaanmu pada pujian manusia? Beristighfarlah. Andai kau temui kesilapan dirimu, perbaiki apa yang mampu. Andai hatimu resah gelisah seperti aku, menangislah saudaraku! Menangislah kerana menyesali khilafmu. Menangislah kerana syukurmu pada Ilahi. Paling tidak dalam gelisah gundah yang sedang menyeksa hati, ada secebis hidayah Allah yang masih berbaki.

Wahai saudaraku, andai ketika ini kau masih bergelumang dosa, auratmu tidak ditutup sempurna, solat mu masih tidak menepati ' masa, dan engkau masih boleh berasa begitu selesa, silakan bersiap sedia. Bala atas dosa-dosamu ini pasti akan menjelma.

Namun jangan pula kau lupa. Andai sahaja ketika ini auratmu sudah tertutup rapi, solatmu lengkap lima kali sehari, dan engkau merasakan amalanmu sudah cukup sempurna hingga kau boleh berbangga dengan pujian manusia, maka bersiap sedialah juga saudaraku. Sesungguhnya engkau benar-benar telah terpedaya!

Tempatmu tetap di sana, tetap ada azab yang menunggumu dengan setia. Untuk merenyuk lunyai tubuhmu, menyiat-nyiat kulitmu, menyalai jasadmu berkali-kali dengan api yang menyala-nyala lagi sentiasa membara. Tidak ada rehat buatmu melainkan seksa yang terus-menerus dan bertambah berlipat kali ganda. Dengarkan di situ teriakan ngeri jerit pekik ahli neraka yang sedang diseksa. Tidakkah terdetik di hatimu rasa gerun tatkala membayangkannnya?

Ingatlah saudaraku, dunia ini adalah hiasan dan penuh dengan tipu daya syaitan dan perasaan. Jangan sekali-kali kau rasa selamat daripada bahaya. Jangan sekali-kali kau menarik nafas lega. Sesungguhnya, hidup ini umpama belayar di lautan. Seketika kau berhempas-pulas dan berhabisan tenaga menongkah gelombang, dan seketika kemudian laut kembali tenang. Namun rutin itu akan pasti terus berulang. Bersedialah saudara. Sesungguhnya, satu persatu gelombang bakal menyerang dan kau perlu terus berjuang. Justeru, simpan tenagamu. Jangan kau habiskan dengan perkara-perkara yang tidak perlu.

Saudaraku, jangan kau keluhkan soal penat. Dunia ini bukan tempatnya untuk kita bersenang-lenang dan berehat. Satu persatu jalan yang kita lalui, pasti ada perangkap berduri. Teruskan berjalan, saudara. Namun pastikan kau sentiasa berhati-hati. Jangan sesekali kau berhenti daripada menambah ilmu kerana ilmu yang benar akan sentiasa menjadi penyuluh hidupmu.

Namun pesanku lagi. Jangan sekali-kali pula kau berbangga dengan ilmu yang ada. Tunduklah kau kepadanya. Jangan kau letakkan ilmumu di kaki sedangkan ia sepatutnya mulia berada di kepala dan di dalam dada. Ingatlah saudaraku, jika ilmu yang kau pelajari tidak mampu memberikan manfat buatmu, maka ia pasti akan membahayakan dirimu sendiri. Jangan kau lupa pengakuan Allah bahawa ia adalah sebaik-baik penipu daya. Maka tetaplah berwaspada. Jangan sesekali kau berasa selesa dengan apa juga nikmat-Nya dan pujian manusia.

Aduhai saudaraku, betapa rumitnya bila menyentuh persoalan hati. Benarlah sabda Baginda Nabi, tidaklah dinamakan hati jika ia tidak berbolak-balik. Bukanlah hati namanya jika imanmu tidak turun dan naik. Maka jangan sedetik pun engkau berasa selesa dengan imanmu. Perhatikannya selalu. Periksalah, adakah ketika ini kau terasa begitu manis dalam beribadah, atau ibadahmu saat ini terasa tawar, hatimu terus menerus resah dan gelisah? Bermuhasabahlah kerana dengan muhasabah sahaja kau dapat merancang pelan mujahadah. Dengan mujahadah sahaja kau boleh terselamat daripada tipu daya Allah.

Wahai saudaraku, apa yang kupesan ini bukan sekadar lontaran nasihat untuk dirimu. Namun percayalah bahawa itulah yang sedang kubicarakan pada diriku. Usah kita berhenti berharap dan berdoa. Nyawa yang masih berbaki ini lambang kasih-Nya yang tidak bertepi. Lambang masih ada sesuatu yang boleh kita lakukan untuk memperbaiki diri.

Berdoalah agar Allah tidak menyerahkan urusan kita kepada diri kita, walaupun untuk sedetik kerdipan mata. Berdoalah agar apa juga tindakan dan keputusan kita adalah daripada Dia. Jagalah dirimu saudaraku, kerana aku terlalu menyayangimu. Sebagaimana aku ingin menyelamatkan diriku daripada segala fitnah dan mehnah, begitulah harapanku untuk berkumpul denganmu suatu masa nanti, di jannah. Salam kasih dan rindu buatmu yang sentiasa berada di dalam ingatanku.

Friday 1 June 2018

Kenapa Mesti Malu?

 Waktu bulan ramadhan ni, nampak ramai manusia berlumba-lumba membaca Al-Quran..Ada yang membacanya di dalam train, ada yang membacanya sambil menunggu bas, ada yg membacanya di surau sementara menunggu waktu berbuka..Alhamdulillah, satu budaya yang bagus..
.
Cuma, saya agak terkesima apabila terbaca satu post daripada seorang "ustaz" yang mengatakan bahawa; buat amal perlu sembunyi-sembunyi, bimbang riak menyapa.. "dalam banyak-banyak waktu yang kau ada, kenapa masa dalam train jugak kau nak mengaji Quran? Nak menunjuk kat sape? Elok-elok dapat pahala, hangus terus.."
.
Ya Allah.. berbaik sangkalah..kadangkala perkataan kita sebeginilah yang membunuh niat baik orang lain untuk berbuat amal..orang akan jadi "takut-takut dan segan" untuk zahirkan benda baik..
.
Persoalannya, kenapa mesti malu? Zaman sekarang, orang buat dosa dengan selamba di depan kita. Akhirnya yang selamba itulah yang menjadi budaya. Budaya dosa. Yang buat baik pula, terpaksa menyorok-nyorok. Kalau buat amalan baik di depan orang lain, bimbang dituduh riak dan menunjuk- nunjuk..
.
Mahu bersedekah, terpaksa sembunyi-sembunyi. Mahu tegur salah orang pun rasa tidak berani. Mahu ajak orang buat amalan sunat, bimbang dikata poyo dan tidak ikhlas beribadat. Akhirnya, apa yang akan berlaku kepada masyarakat kita? Budaya baik sudah tidak 'nampak muka'. Budaya dosa sahaja yang berleluasa..
.
Sekarang, mari kita keluar dari kepompong untuk menyelamatkan diri kita sahaja. Kita kena fikirkan sesuatu yang lebih besar. Masalah ummah. Zaman sekarang ni, budaya dosa terlalu banyak berleluasa. Yang buat jahat sudah tidak rasa apa-apa, malah berbangga menayang dosa..
.
Sedang yang hendak buat baik masih sibuk hendak jaga niat sahaja. Padahal menzahirkan teladan yg baik kepada orang lain itu maslahahnya lebih besar. Kita dapat pahala atas amalan kita, dan kalau ada orang yang terbuka hati untuk menurutinya, pahala kita berganda-ganda.
.
Ya, kita kena cuba wujudkan budaya baik dalam masyarakat kita. Untuk wujudkan budaya ini, kita perlu berani, tidak perlu sembunyi-sembunyi. Yang penting niat kita..
.
Ikhlas tidak ikhlas lain cerita, yang penting itu budaya yang baik. Kita mesti sokong. Kenapa apabila ada usaha membuat kebaikan, ada sahaja yang mempertikaikan? Padahal, kalau ada yang melakukan kejahatan mudah sahaja kita berlepas tangan malah ada yang membela dan menyokong!
.
Kesimpulannya, ikhlaskan hati membuat kebaikan dan serulah orang lain juga. Apabila budaya baik sudah menjadi biasa, insya-Allah, kita yang buat pun tidak akan rasa istimewa. Jadi, masalah riak, sum'ah dan ujub dengan amalan sendiri pun secara automatik akan hilang begitu sahaja.
.
Selepas ini, jangan malu-malu lagi baca nak al-quran depan orang, jangan malu lagi pamerkan kebaikan. Akan tetapi jaga niat kita. Niatkan agar menjadi teladan. Niatkan untuk dapat pahala berganda. Sama-sama kita berusaha untuk mewujudkan budaya kebaikan di mana- mana sahaja. Itu yang akan membentuk masyarakat kita. Wassalam..