Tuesday 29 January 2019

MENIPU


Kau boleh tipu orang lain. Tapi kau tak boleh tipu Allah. Kau boleh terus berpura-pura dengan manusia, tapi kau kena ingat, syurga yang kau nak pergi itu, Allah yang punya!

Tahu tak apa dosa yang paling mudah menjatuhkan wibawa kita? Menipu. Betul! Menipu ni bahaya. Sekali kita ditangkap kerana menipu, maka sampai bila-bila pun orang akan sentiasa was-was dengan cakap kita. Menipu adalah dosa yang paling mudah dibuat. Tapi cukup susah ditebus semula. Kadang-kadang sudah sedap menipu, nak minta maaf, terasa malu. Kadang-kadang, sudah dapat kekuatan nak mengaku salah sendiri, tapi orang yang ditipu itu pula kita sudah tak jumpa lagi. Pandai-pandailah menjawab di akhirat nanti.

Sebenarnya, ada banyak sebab kenapa manusia menipu. Kadang-kadang ia dianggap 'shortcut' untuk dapat apa yang mereka mahu. Ada orang menipu untuk suka-suka. Ada yang menipu untuk menyelamatkan diri mereka, kononnya. Malah ada juga yang menipu untuk perkara yang kecil-kecil sahaja. Sangka mereka tak mengapa, walhal malaikat di kiri sudah pun mencatatkannya sebagai dosa. Apa yang Allah larang, tentulah ada sebabnya. Cuba bayangkan perasaan kita kalau seseorang menipu kita? Mesti kita rasa marah dan kecewa, kan?

Kata Sayyidina Ali, hukuman yang paling berat bagi mereka yang menipu ialah apabila orang sudah tidak mahu percaya lagi kepada mereka, walaupun semasa mereka bercakap benar. Bayangkanlah. Kita beriya-iya cakap perkara yang betul, tapi orang perlekehkan sahaja. Kita bercakap benar, tetapi mereka tidak percaya! Padan muka kita!

Sekali kita menipu, bukan senang kita nak buat orang percayakan kita semula. Kalau pun boleh, ia mengambil masa yang sangat lama. Sungguh, berterus-terang itu lebih mudah. Jadi, berterus-terang sajalah!

KELUARGA YANG DITAKDIRKAN


Kita boleh pilih dengan siapa kita mahu berkawan. Kita masih boleh pilih dengan siapa kita mahu berkahwin. Tapi keluarga, tiada pilihan! Itulah saja. Hargai mereka seadanya.

Jaga hubungan dengan ahli keluarga. Kita, sayangkan kawan macam mana sekalipun, hubungan dengan keluarga tetap perlu kita jaga. Kena ingat, kalau kita sakit, adik beradik juga yang berkejar dulu dapatkan kita. Kalau mati, ahli keluarga juga yang akan uruskan jenazah kita.

Memang, hubungan kekeluargaan selalu ada cacat cela. Mana-mana keluarga pun sama, kerana demikianlah cara Allah menguji hambaNya. Ya. Allah akan uji kita dengan orang-orang yang paling hampir dengan kita. Dengan keluarga kita. Dengan suami kita. Dengan ayah kita. Dengan mak kita. Dengan adik beradik kita.

Jika kita mampu fahami hakikat ujian sebegini, kita akan sangat berhati-hati. Kerana bila kita sebut tentang UJIAN, hanya satu perkara yang patut jadi titik tumpuan, iaitu kita mahu lulus! Jika benar mahu lulus, maka jagalah hati keluarga kita. Bertolak ansurlah dengan kekurangan mereka. Kerana kita juga tidak sempurna mana.

Kalau mereka sedang susah, jangan dipinggirkan. Tak mampu bantu dengan duit, bantu dengan kata-kata semangat. Kalau mereka tersalah, bimbinglah. Tak mampu dengan nasihat, dengan doa. Tak mampu cara dekat, cara jauh.

Kalau mereka degil tak nak dengar kata, jangan terlalu cepat kita 'pergi mampus' kan mereka. Sabar. Jangan putus asa. Teruskan bagi nasihat. Kalau nasihat pun sudah tak jalan, kirimkan doa daripada hati yang tulus mengharapkan kebaikan buat mereka.

Yang penting, jangan sesekali kita tinggalkan mereka kerana saat seperti itulah mereka lebih lagi memerlukan sokongan kita - ahli keluarganya!