Tuesday 29 January 2019

KELUARGA YANG DITAKDIRKAN


Kita boleh pilih dengan siapa kita mahu berkawan. Kita masih boleh pilih dengan siapa kita mahu berkahwin. Tapi keluarga, tiada pilihan! Itulah saja. Hargai mereka seadanya.

Jaga hubungan dengan ahli keluarga. Kita, sayangkan kawan macam mana sekalipun, hubungan dengan keluarga tetap perlu kita jaga. Kena ingat, kalau kita sakit, adik beradik juga yang berkejar dulu dapatkan kita. Kalau mati, ahli keluarga juga yang akan uruskan jenazah kita.

Memang, hubungan kekeluargaan selalu ada cacat cela. Mana-mana keluarga pun sama, kerana demikianlah cara Allah menguji hambaNya. Ya. Allah akan uji kita dengan orang-orang yang paling hampir dengan kita. Dengan keluarga kita. Dengan suami kita. Dengan ayah kita. Dengan mak kita. Dengan adik beradik kita.

Jika kita mampu fahami hakikat ujian sebegini, kita akan sangat berhati-hati. Kerana bila kita sebut tentang UJIAN, hanya satu perkara yang patut jadi titik tumpuan, iaitu kita mahu lulus! Jika benar mahu lulus, maka jagalah hati keluarga kita. Bertolak ansurlah dengan kekurangan mereka. Kerana kita juga tidak sempurna mana.

Kalau mereka sedang susah, jangan dipinggirkan. Tak mampu bantu dengan duit, bantu dengan kata-kata semangat. Kalau mereka tersalah, bimbinglah. Tak mampu dengan nasihat, dengan doa. Tak mampu cara dekat, cara jauh.

Kalau mereka degil tak nak dengar kata, jangan terlalu cepat kita 'pergi mampus' kan mereka. Sabar. Jangan putus asa. Teruskan bagi nasihat. Kalau nasihat pun sudah tak jalan, kirimkan doa daripada hati yang tulus mengharapkan kebaikan buat mereka.

Yang penting, jangan sesekali kita tinggalkan mereka kerana saat seperti itulah mereka lebih lagi memerlukan sokongan kita - ahli keluarganya!

No comments:

Post a Comment