Monday 27 January 2020

DAH SOLAT TAPI REZEKI LAMBAT

Dah solat tapi rezeki lambat. Orang lain tak solat kenapa rezeki melimpah ruah?

Menjadi perkara biasa sebenarnya apabila perkara seperti ini bermain di fikiran. Mudahnya manusia merasakan ibadatnya lebih baik daripada orang lain hingga sibuk menghitung balasan dan ganjaran yang Allah swt berikan. Jahilnya kita kerana sombong dengan apa yang telah kita laksanakan hingga kita lupa maknai apa itu keikhlasan.


Cuba lihat kembali di mana silap kita. Bagaimana solat kita? Ada orang yang solat setiap masa tapi sujudnya tergesa-gesa. Ada orang sedekah sana sini tetapi riyaknya di media sosial buat orang lain mengata. Ada orang sempurna ibadat rutinnya tetapi mengherdik dan menghina dah menjadi perkara biasa. Kadangkala mungkin kita rasakan ibadat kita sudah sempurna, namun tanpa sedar masih banyak kesilapan semasa berbicara dengan insan.


Ada yang sombong dengan manusia. Ujian kecil yang datang pun kita marah dan persoalkan. Rezeki kurang daripada orang lain pun kita pertikaikan. Doa ditangguh sebentar pun kita merungut yang Allah SWT lambat. Mudahnya kita buruk sangka kepada Allah SWT. Adakah kita benar-benar hamba- Nya?


Mungkin benar, kita selalu mengadap Tuhan tetapi jiwa kita masih riyak dan sombong dalam kehidupan. Cuba lihat kembali apa yang telah Allah SWT tunaikan. Banyak yang telah Allah SWT kurniakan namun kita masih mahukan lebih dan lebih hingga lalai dan lupa dengan janji Tuhan. 


Jangan lupa mengapa wujudnya istilah istidraj. Ada orang yang jahil namun masih diberi segalanya. Mereka sangka itu ganjaran namun sebenarnya itulah ujian. Bahagia, kaya berharta, dan mampu memiliki segalanya namun tanpa disedari riyak dan sombong mula memakan diri. Nasihat orang tidak mahu lagi didengari dan mula rasakan segala nikmat hari ini ialah hasil usaha sendiri bukan bantuan dan doa daripada insan lain setiap hari.


Jangan sibuk menghitung rezeki orang lain hingga kita tidak mensyukuri rezeki yang kita miliki. Jangan mengatakan kita layak terima itu ini dan mereka tidak berhak dapat seperti kita kerana mungkin kita menilai hanya melalui apa yang dilihat di depan mata sahaja. Mana rezeki yang ada itu, hargai dulu. Banyak lagi yang patut dihargai bukan sekadar menilai wang ringgit di dalam poket sahaja.


Apa yang kita miliki hari ini mungkin nampak biasa bagi kita. Mungkin belum cukup bagi kita. Mungkin belum puas bagi kita. Tetapi sedarlah, ada insan lain yang terlalu lama berharap untuk mendapat perkara yang sama.


Jika kita melihat ujian ini sebagai perkara yang positif, ujian tersebut mampu membawa kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan lebih kerap. Kita akan bersungguh-sungguh berdoa, memohon ampun dan pertolongan daripada Allah SWT serta tidak berputus asa dengan mudah. Inilah nikmat yang lebih baik daripada perkara lain.


Namun jika kita melihat ujian itu sebagai beban yang menjauhkan kita daripada Tuhan, itulah perkara yang wajib kita elakkan. Lari daripada Allah SWT, putus harapan, dan tidak yakin dengan Tuhan akan menyebabkan kita semakin lemah dan hilang arah. Oleh sebab itu, baik atau buruk sesuatu ujian itu bukan berdasarkan apa yang kita hadapi tetapi berdasarkan bagaimana kita bertindak balas terhadap ujian tersebut. Semuanya daripada cara kita mengendalikannya.


Kamu, apa yang kita tidak ada hari ini, sabar dulu. Jangan buruk sangka. Jangan iri hati dengan manusia. Jika perlu, nanti Allah SWT akan beri apabila tiba masanya. Jika tidak perlu, Allah SWT akan ganti dengan perkara yang lebih baik buat kita. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Semua orang ada kisah mereka. Apa yang kita lihat hari ini hanya kisah bahagia. Kita tidak nampak air mata yang menghiasi malam mereka.


Lebih baik nikmati apa yang ada hari ini dan syukuri sepenuh hati sebelum kita kehilangannya. Setiap orang dah ditentukan rezekinya. Allah SWT adil dan hebat, bukan seperti hamba-Nya. Bersyukurlah kerana Allah SWT masih kuatkan diri kita dalam melakukan kebaikan. Ada orang yang dilimpahkan nikmat dunia yang sangat banyak namun semakin lama, dia semakin lalai dengan dunia yang penuh tipu daya. Bersyukurlah kerana Allah SWT sentiasa meletakkan kita dalam rezeki yang berpanjangan. Cepat atau lambat bukan penentunya. Asalkan rezeki cukup, itu dah lebih baik daripada segalanya. Allah SWT tahu nak letak kita di mana. Allah SWT kenal siapa kita.

No comments:

Post a Comment