Sunday 9 September 2018

PERSEPSI KITA PADA TAKDIR


Kalau mahu hati tenang dan bahagia, luaskan persepsi kita dengan aturan takdir Nya..

Kita sering tersilap membuat perhitungan. Apabila kita memberi hutang kepada seseorang, kita pusatkan kiraan kita bahawa dia yang akan membayarya. Apabila kita membuat kebaikan kepada seseorang, kita letakkan hajat agar dia yang membalas kebakan kita. Apabila kita menyayangi seseorang, kita penuh berharap supaya dia juga akan melimpahi kita dengan kasih sayangnya.

Di sinilah letaknya kesilapan kita. Kesilapan yang akhirnya membuahkan tekanan kepada jiwa. Kita suka memandai mandai dengan takdir hidup kita. Kita lupa peranan Allah yang mengatur segala-galanya.

Oleh itu, apabila orang pinjam duit kita dan tak bayar, kita mula marah-marah. Apabila orang yang kita tabur budi kepadanya tidak tahu membalas jasa, kita kecewa. Apabila orang yang kita sayang tidak membalas kasih sayang kita, kita merana.

Walhal semua kebaikan kita sudah pun termaktub ganjarannya menerusi pelbagai sumber. Mungkin sumber yang sama seperti yang kita harap, atau barangkali dari sumber lain yang kita sendiri tidak jangka. Kasih sayang juga boleh hadir dalam pelbagai punca. Mungkin daripada orang yang kita sayang atau mungkin juga daripada orang yang benar-benar menyayangi kita.

Apabila kita hanya fokus pada pintu yang satu, kita lupa kepada sekian banyak pintu lain yang telah terbuka.

Allah itu Maha Kaya. Setiap kebaikan yang kita buat akan berbalik kepada kita, malah dengan jumlah yang berlipat kali ganda.

Ya, kita sebenarnya sentiasa mendapat ganjaran dari apa jua kebaikan yang sudah kita lakukan. Cuma barangkali kita sahaja yang tidak perasan. Sebabnya, kita asyik memandang ke pintu yang sama! 

Lalu, mahu salahkan siapa atas penderitaan kita? Kita yang tersilap kerana menyempitkan ruang lingkup ganjaran yang kita terima. 

Justeru, kalau mahu hati tenang dan bahagia, luaskan persepsi kita dengan aturan takdir Tuhan. Itu sebenarnya yang jiwa kita perlukan.

No comments:

Post a Comment