Saturday 21 November 2020

GURU


Jadilah guru hebat di mata Allah, nescaya kau tidak pernah kisah bagaimana pandangan orang sekeliling kepadamu.


Jadilah guru yang selalu berbuat sesuatu agar Allah redha kepada dirimu, agar suatu saat kau tahu apa sebenarnya yang ingin kau bawa "pulang" ketika masa memaksamu untuk tidak lagi menjadi guru.


Jadilah guru yang tidak pernah mengharap puji, kasih, dan penghargaan apa dan daripada sesiapa pun. Suatu saat, biarkan murid-muridmu menilai dengan akal  dan mata hati mereka untuk melemparkan puji dan harga. Kerana yang terbaik bagi seorang guru dan pendidik, adalah puji-pujian Allah saat kau bertemu dengan-Nya.


Akhir kata, teruslah menabur bakti, walau dinista dicaci, muhasabah diri cuma pengantara kalami, kerna hakikat kefahaman itu milik mutlak Si Rabbi.

Sunday 1 November 2020

NASI SUDAH MENJADI BUBUR


Nasi sudah menjadi bubur; sudah terlanjur, tak dapat diubah lagi. Itu maksud peribahasa melayu. Benda yang sudah berlaku dan tidak mampu diubah.

Tapi dalam Islam, nasi kalau sudah jadi bubur, kita masih boleh makan. Masih boleh 'alter', kita masukkan ikan bilis yang digoreng garing, bawang goreng, daun sup, telur masin, kangkung, sambal kicap. Masih sedap dan boleh dimakan kan?😊

Dalam Islam, peluang untuk berubah dan perbaiki diri sentiasa terbentang luas walau sejahat mana pun kita. Harapan sentiasa ada. Semalam kurang baik, hari ini kita tambah baik. Semalam jatuh tersungkur, hari ini kita bangkit semula. Semalam bermuram durja, hari ini kita gembira ceria. Lumrahnya manusia, iman umpama roller coaster.

Hidup terlalu singkat untuk meratapi apa yang tiada. Kerana terlalu banyak yang kita ada tanpa diminta. Yang berlalu biarkan berlalu. Jadikan setiap hari yang dilalui selepas ini bermanfaat dan diredhai. Moga² kita termasuk penghuni syurga abadi.😊

Sebelum tidur maafkan semua orang dan diri sendiri. Moga² kita beroleh ketenangan. Selamat malam.💕

Saturday 17 October 2020

UJIAN TANDA ALLAH SAYANG


Kita akan DIUJI dengan apa yang kita SAYANG sehingga terduduk tak berdaya. Lalu kita SEDAR bahawa tiada kebahagiaan melainkan melalui jalan SABAR dan REDHA menerima ketetapan dan keputusan Allah itu.


Selagi TIDAK REDHA nescaya akan LELAH berpindah dari satu usaha ke satu usaha. Dari zikir ke zikir. Dari doa ke doa. Dari air penawar ke air penawar. Dari umrah ke umrah. Dari solat ke solat. Dari sedekah ke sedekah.


REDHA adalah langkah pertama menuju jalan penyelesaian. Anak kunci kepada pintu KEBAHAGIAAN.


Buatlah pengakuan yang tulus di hadapan Allah. Ikhlas daripada hati yang dalam:


"Ya Allah... AKU REDHA bahawa ibu/ayah/keluarga/kesihatan/kewangan/pekerjaan/bos dan lain-lain, sebagai satu UJIAN daripada-Mu untuk aku mendapat redha-MU dan Syurga-MU, aku redha ya ALLAH. Aku redha ya ALLAH. Aku hamba-Mu yang sangat lemah, tidak ada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan-Mu. Bantulah aku untuk melalui dan menghadapi UJIAN ini. Tunjukkanlah aku jalan-jalan kebenaran-Mu, bantulah aku untuk menjadi hamba-Mu yang sentiasa bersyukur."


Apabila Allah memberi kita ujian, Allah juga sedang memerhatikan tindak balas kita. Berhentilah memaksa Allah untuk mengikuti kehendak dan impian kita, kerana kita akan terus kecewa.


- Ustazah Asma' Harun -

REDHA




Ada yang bergaji besar, tapi habis untuk menanggung hutang orang tua.


Ada yang dekat dengan keluarga, tapi gaji hanya cukup untuk hidup sendiri.


Laluan kita sama-sama terbina, yang membezakan hanyalah jenis batunya.


Ada yang diharuskan merantau demi ekonomi keluarga yang lebih baik.


Ada yang harus tetap tinggal di rumah untuk berbakti pada orang tua.


Yang menurut mereka baik, belum tentu baik untuk kita. Yang menurut mereka tak baik, belum tentu juga tak baik untuk kita. Bahagia mampu dimiliki semua. Ukuran bahagia manusia tidak jauh dari sabar dan syukur.


Khas untuk semua pejuang kehidupan, terima kasih kerana tidak pernah menyerah. Jangan pernah berhenti walau langkahmu terasa semakin berat. Abaikan segala kata yang menyiksa jiwa, jalan terus!❤

Saturday 22 February 2020

REZEKI


Kerja itu, rezeki dari Allah. 

Bila kita dah habis belajar penat-penat, semestinya kita nak kerja yang terbaik. Mana yang Allah beri dulu kita ambil. Tapi orang sekeliling kita terus mengasak kita. "Guru sekolah rendah je?" "Mengajar tuisyen je?" "Apalah ada degree kerje kedai makan?" "Nama je ada degree, gaji lebih kurang SPM jugak. Macam mana nk beli kereta? Boleh bagi mak ayah berapa sen sebulan?"

Kita pun mula risau kata-kata orang.

"Kenapa tak kerja kat pejabat agama? Kerja bank ke? Kenapa tak jadi pegawai syariah?" Dan macam-macam lagi serkap jarang tanpa tahu kesusahan nak mohon kerja zaman sekarang.

Kalian yang membaca tulisan ni, ketahuilah,

Dalam Islam, Ar-Rizq bermaksud pemberian atau kurniaan Allah swt pada kita, sama ada duniawi atau agama. Sama ada dia boleh dimanfaatkan, atau boleh dimakan, atau dalam bentuk yang tak boleh dimakan. 

Rezeki tak semestinya dalam bentuk material dan kebendaan. Semua yang bagi manfaat pada kita adalah rezeki. Ketenangan, kebahagiaan, kasih sayang, ilmu pengetahuan, kesihatan, keselamatan dan sebagainya.  Maksud rezeki Allah terlalu luas. Untung bagi orang yang memahaminya.

Cerita hidup setiap orang tak sama. Bakat setiap orang tak sama. Semua manusia unik dan istimewa dengan cara masing-masing.
Tugas kita, usaha dan lakukan kerja yang terbaik. Biar berkat. Insya Allah, bila berkat, kita rasa cukup. 

Allah kata dalam Quran, sesiapa yang bersyukur, Allah tambah lagi. Mungkin bukan sebab Allah taknak bagi, tapi sebab kita tak syukur lagi. 

Kalau kita syukur, Allah tunggu-tunggu nak bagi kita banyak lagi. Orang yang bersyukur ni, orang yang sangat hargai apa sahaja yang dia dapat. Sebab tu, kita boleh nampak orang yang bersyukur ni kuat. Nampak kuat. 

Bersyukurlah, Allah tambahkan lagi. 

Bersyukur jadikan kita kuat dan positif setiap hari. Amalkan cakap terima kasih. Hargai orang sekeliling kita. Baru bahagia. 

Bersyukur bukan maksud kita dah tak improve diri kita. Tetapi maksudnya kita dah terima dan value diri kita seadanya. Lepas tu kita naik sikit-sikit. Improve sikit-sikit. Jangan jadi orang yang duk kejar nak semua benda, nanti penat. Fokus satu-satu.

Dapat kerja biasa-biasa pun, Istikharah dulu, buat pilihan baik-baik. Mana tahu pilihan tu jadi jambatan (transit) untuk dapat kerja yang kita nak. 

Mana tahu peluang tu jadi platform untuk kita lagi kenal apa yang kita nak sebenarnya. 

Asalkan halal, boleh solat 5 waktu dengan baik, trylah dulu. Of course kerja apa-apapun kena sabar. 😊Semua orang ada rezeki, masa yang sesuai dan pilihan masing-masing. Hormatlah pilihan orang lain. 

Jangan rasa rezeki kita kurang, hanya sebab kita rasa tak terbanding dengan orang lain dari segala sudut. Kita bukan dia. Jangan nilai hidup kita berdasarkan post instagram orang lain. Takda orang nak post pasal kesusahan hidup.

Dunia ni sementara. 
Ramai orang menuai benda yang nampak. Mengumpul duit dan wang simpanan, berfikir nak upgrade kenderaan, dan semuanya. Duit dan kebendaan adalah alat untuk kita hidup. Jangan kita sesat dalam perjalanan nak dapatkan alat ni. Hilang diri sendiri. Lupa diri. Nau'zubillahhi min zalik. Sayang diri kita. Sayang nikmat hidup yang Allah bagi. Tuai amalan akhirat kita jugak. Yang kekal abadi. Kita taknak sampai akhirat, yang kita kejar ni sebenarnya cuma debu. Tak membantu kita kat sana. 

Buat baik dengan semua manusia. Jauhi buruk sangka. Jaga lidah kita. Jaga adab dengan mak ayah. Berkat Allah ni walaupun sikit kita rasa lapang, walaupun banyak, kita tak riak. 

Saya tau, persoalan rezeki ni kadang-kadang menguji iman kita, tetapi percayalah, Allah akan bagi kita rezeki yang terbaik. Saya tak cakap kat orang, saya pernah rasa jugak struggle dia. 

Berusaha, berdoa, dan bersyukurlah. Insya Allah, moga anda semua murah rezeki, dilapangkan urusan hidup, semakin baik dan berbudi. 😊 aamiin.

Monday 27 January 2020

DAH SOLAT TAPI REZEKI LAMBAT

Dah solat tapi rezeki lambat. Orang lain tak solat kenapa rezeki melimpah ruah?

Menjadi perkara biasa sebenarnya apabila perkara seperti ini bermain di fikiran. Mudahnya manusia merasakan ibadatnya lebih baik daripada orang lain hingga sibuk menghitung balasan dan ganjaran yang Allah swt berikan. Jahilnya kita kerana sombong dengan apa yang telah kita laksanakan hingga kita lupa maknai apa itu keikhlasan.


Cuba lihat kembali di mana silap kita. Bagaimana solat kita? Ada orang yang solat setiap masa tapi sujudnya tergesa-gesa. Ada orang sedekah sana sini tetapi riyaknya di media sosial buat orang lain mengata. Ada orang sempurna ibadat rutinnya tetapi mengherdik dan menghina dah menjadi perkara biasa. Kadangkala mungkin kita rasakan ibadat kita sudah sempurna, namun tanpa sedar masih banyak kesilapan semasa berbicara dengan insan.


Ada yang sombong dengan manusia. Ujian kecil yang datang pun kita marah dan persoalkan. Rezeki kurang daripada orang lain pun kita pertikaikan. Doa ditangguh sebentar pun kita merungut yang Allah SWT lambat. Mudahnya kita buruk sangka kepada Allah SWT. Adakah kita benar-benar hamba- Nya?


Mungkin benar, kita selalu mengadap Tuhan tetapi jiwa kita masih riyak dan sombong dalam kehidupan. Cuba lihat kembali apa yang telah Allah SWT tunaikan. Banyak yang telah Allah SWT kurniakan namun kita masih mahukan lebih dan lebih hingga lalai dan lupa dengan janji Tuhan. 


Jangan lupa mengapa wujudnya istilah istidraj. Ada orang yang jahil namun masih diberi segalanya. Mereka sangka itu ganjaran namun sebenarnya itulah ujian. Bahagia, kaya berharta, dan mampu memiliki segalanya namun tanpa disedari riyak dan sombong mula memakan diri. Nasihat orang tidak mahu lagi didengari dan mula rasakan segala nikmat hari ini ialah hasil usaha sendiri bukan bantuan dan doa daripada insan lain setiap hari.


Jangan sibuk menghitung rezeki orang lain hingga kita tidak mensyukuri rezeki yang kita miliki. Jangan mengatakan kita layak terima itu ini dan mereka tidak berhak dapat seperti kita kerana mungkin kita menilai hanya melalui apa yang dilihat di depan mata sahaja. Mana rezeki yang ada itu, hargai dulu. Banyak lagi yang patut dihargai bukan sekadar menilai wang ringgit di dalam poket sahaja.


Apa yang kita miliki hari ini mungkin nampak biasa bagi kita. Mungkin belum cukup bagi kita. Mungkin belum puas bagi kita. Tetapi sedarlah, ada insan lain yang terlalu lama berharap untuk mendapat perkara yang sama.


Jika kita melihat ujian ini sebagai perkara yang positif, ujian tersebut mampu membawa kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan lebih kerap. Kita akan bersungguh-sungguh berdoa, memohon ampun dan pertolongan daripada Allah SWT serta tidak berputus asa dengan mudah. Inilah nikmat yang lebih baik daripada perkara lain.


Namun jika kita melihat ujian itu sebagai beban yang menjauhkan kita daripada Tuhan, itulah perkara yang wajib kita elakkan. Lari daripada Allah SWT, putus harapan, dan tidak yakin dengan Tuhan akan menyebabkan kita semakin lemah dan hilang arah. Oleh sebab itu, baik atau buruk sesuatu ujian itu bukan berdasarkan apa yang kita hadapi tetapi berdasarkan bagaimana kita bertindak balas terhadap ujian tersebut. Semuanya daripada cara kita mengendalikannya.


Kamu, apa yang kita tidak ada hari ini, sabar dulu. Jangan buruk sangka. Jangan iri hati dengan manusia. Jika perlu, nanti Allah SWT akan beri apabila tiba masanya. Jika tidak perlu, Allah SWT akan ganti dengan perkara yang lebih baik buat kita. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Semua orang ada kisah mereka. Apa yang kita lihat hari ini hanya kisah bahagia. Kita tidak nampak air mata yang menghiasi malam mereka.


Lebih baik nikmati apa yang ada hari ini dan syukuri sepenuh hati sebelum kita kehilangannya. Setiap orang dah ditentukan rezekinya. Allah SWT adil dan hebat, bukan seperti hamba-Nya. Bersyukurlah kerana Allah SWT masih kuatkan diri kita dalam melakukan kebaikan. Ada orang yang dilimpahkan nikmat dunia yang sangat banyak namun semakin lama, dia semakin lalai dengan dunia yang penuh tipu daya. Bersyukurlah kerana Allah SWT sentiasa meletakkan kita dalam rezeki yang berpanjangan. Cepat atau lambat bukan penentunya. Asalkan rezeki cukup, itu dah lebih baik daripada segalanya. Allah SWT tahu nak letak kita di mana. Allah SWT kenal siapa kita.