Tuesday 24 May 2016

ADAKAH UJIAN KERANA DOSA?

Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan dapat lari dari diuji oleh Allah. Ujian yang mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak, ujian mengajar seseorang untuk menjadi lebih lasak dalam menggalas setiap bebanan kehidupan.

Namun begitu, ada waktu apabila kita diuji, hati kita sering bersangka-sangka pada Ilahi. Segala nasihat daripada teman sekeliling sudah tidak mampu dihadam dengan baik. Semakin hari kita semakin sedih, semakin kecewa, semakin meratapi dosa.

Setiap hari kita merungut,
"Kenapa dan mengapa aku wahai Allah?"
"Ya Allah, banyak sangatkah dosa aku sehingga Kau uji aku sebegini rupa?"

Nabi Nuh menghadapi ujian melalui anak dan isteri yang tidak mahu taat kepada perintah Allah. Adakah kerana dosa? Nabi Ibrahim antara Rasul Allah yang menerima banyak ujian, antaranya baginda dibakar hidup-hidup serta diuji dengan penyembelihan anaknya Ismail. Adakah kerana dosa? Nabi Musa diuji dengan Firaun yang angkuh. Adakah kerana dosa? Nabi Zakaria as telah digergaji badannya sehingga terbelah dua, di mana perbuatan tersebut telah dilakukan oleh kaumnya sendiri. Adakah kerana dosa? Nabi Yusuf telah dicampakkan ke dalam perigi oleh adik-beradiknya sendiri, baginda juga telah digoda oleh isteri seorang pembesar lalu dipenjara. Adakah kerana dosa? Nabi kita Muhammad SAW ketika menyampaikan Islam pada masyarakat, baginda telah dibaling najis dan batu sehingga mengalir darah ke kaki dan kasut baginda. Adalah kerana dosa?

Berat sangatkah ujian yang Allah kirim kepada kita sehingga kita mengeluh tanpa henti?
Hati sentiasa buruk sangka pada Allah? Besar sangatkah dosa kita pada Allah sehingga kita "dihukum" sebegini rupa?

Jawapannya tidak. Allah uji kita bukan semata-mata kerana dosa. Bahkan Dia uji kita untuk menaikkan darjat. Allah uji kerana Dia kasihkan kita. Allah rindu air mata kita.

Rasulullah saw menyifatkan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Semakin besar ujian yang diberikan Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaiman hadits yang datang daripada Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya ujian yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka mereka itu akan diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah, dan barangsiapa yang tidak redha, maka padanya terdapat kemurkaan Allah." 
(HR Al-Tirmidzi, Al-Albani menyatakannya sebagai Hassan dalam Shahih dan Dhaif Sunan At-Tirmidzi)

Mehnah dan tribulasi dalam konteks kehidupan hari ini dapat dilihat di sekeliling kita. Bahawa setiap orang akan diuji dan tiada siapa pun yang akan terlepas dari diuji oleh Allah. Perkara ringan pada seseorang, mungkin berat pada orang lain. Dan cara kita berinteraksi pada ujian yang mendatang adalah manifestasi keimanan kita kepada Allah.

Pada kaca mata orang yang miskin, ujian buatnya adalah dengan kemiskinan. Namun buat orang yang kaya, kekayaannya pula yang menjadi ujian buat dirinya. Ada orang diuji dengan anak-anak yang nakal. Namun ada pula orang lain yang diuji belum mempunyai cahaya mata. Ada pula orang lain yang diuji dengan keretakan rumah tangga. Ada orang diuji dengan kesakitan, sebagai tanda dia ingat serta beriman kepada Allah atau tidak. Ada juga yang diuji dengan keluarga yang porak-peranda.

Dalam dunia ini, ada manusia yang diuji dengan ujian yang sangat luar biasa, namun, dia masih mampu tersenyum bahagia. Ada juga manusia yang ujiannya biasa-biasa sahaja, namun mulutnya sentiasa mengomel tanpa mengira tempat dan masa. Lain orang, lain kesusahan yang tertanggung. Pendek kata, setiap orang akan, telah atau mungkin sedang diuji. Namun dengan cara yang berbeza, dengan perasaan yang berlainan. Itulah kebijaksanaan dan keadilan Allah azza wajalla.

Kadang, kita lihat ada orang sentiasa ceria, namun kita tidak pernah tahu, setiap keperitan di sebalik keceriannya, setiap tangisan di sebalik tawanya. Oleh itu, yang masih kecewa belum berumah tangga, syukurlah. Sekurang-kurangnya kita punya lebih masa untuk berbakti kepada kedua orang tua kita. Bagi yang bersedih masih belum punya cahaya mata, bergembiralah. Sekurang-kurangnya kita punya banyak masa untuk bersujud padaNya.

Jadi, berhentilah prejudis pada Allah apabila diuji. Jangan menghukum diri apabila ujian datang bertalu-talu. Lebih baik kita ambil wudhuk, solat sunat dua rakaat, selepas salam, kita istighfar dan selawat, senyum memandang ke langit, biarkan air mata berlinang, bisikkan dalam hati sedalam-dalamnya, "Ya Allah, terima kasih kerana tidak melupakan aku melalui ujian-ujian ini.."

Ketahuilah, hidup kita ini, adalah satu perjalanan yang panjang. Setiap ujian Tuhan, pasti ada penyelesaiannya. Ianya pasti tamat dan akan berlalu pergi. Apa yang penting, kita sebagai hamba perlu teruskan perjalanan, kerana destinasi utama kita bukan di sini, tapi nun di syurga sana. Andai kata di dalam perjalanan tersebut kita sudah tidak mampu berlari, teruskan melangkah dengan yakin. Tapi ingat, jangan sesekali berhenti.

Allah itu Maha Adil. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jangan sesekali berhenti menggali kasih sayang Allah. Setiap kali kita diuji, tepuk dada, tanyalah iman, "Apa khabar kau iman setelah diuji?"

Jadi, berhentilah merungut dan sentiasa lazimi diri untuk berdoa memohon pertolongan dan kekuatan daripada Allah. InsyaAllah, kita akan kuat!

Wallahu a'lam..

1 comment:

  1. Ya betul ketika ujian datang dari Allah swt. yakinlah kalau itu adalah kasih sayangNYa

    ReplyDelete