Monday 25 July 2016

MALAM AL-QADR

"Pokok tak sujud pun malam ni.."

"Air tak beku pun.."

"Tak dapat lagila kita jumpa Lailatul Qadr malam ni.."

Sayangnya, kebanyakan kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al-Qadr pada alam, pada pokok, pada air, dan lain-lain.

Sedangkan tanda mendapat Al-Qadr itu ada pada diri sendiri.

Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al-Qadr amat bertuah kerana doa, taubat, dan hajatnya "diangkat" oleh malaikat lalu dimakbulkan oleh Allah?

Jadi, jika seseorang mendapat malam Al-Qadr tentu jiwanya menjadi lebih tenang, akhlaqnya menjadi lebih baik, dan ibadahnya (sama ada hablun min Allah dan hablun min An-nas) bertambah lebat dan hebat.

Malam Al-Qar adalah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (ibarat trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajr.

Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya dalam kalangan mereka - malaikat Jibril.

Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.

Salah satu urusan adalah "bertamu" dalam hati orang Islam yang bersih. Hanya sekali bertamu, tetapi kesannya berpanjangan.

Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah.

Bisikan para malaikat akan mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu.

Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.

Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan "hati kecil" yang suci dan baik. Kedua, bisikan "hati besar" yang kotor dan jahat.

Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan was-was.

Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh "penakluknya."

Firman Allah : "Dan beruntunglah orang yang membersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.." [Surah As-Syams : 9-10]

Orang yang mendapat malam Al-Qadr sungguh bertuah. Hal ini kerana, hasil mujahadah, doa, serta taubatnya pada malam berkenaan, akan menyebabkan malaikat akan terus mendominasi hatinya.

Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya.

Mujahadahnya akan terbantu.

Perjalanannya menuju Tuhan akan lebih terpimpin dan terjamin.

Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan, maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan.

Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.

Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al-Qadr.

Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai pada orang yang mengalaminya sahaja.

Rasa tenang, bahagia, lapang, dan sejuk.

Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara. Eh, dia sudah berubah. Eh, indahnya perilaku dia. SubhanaAllah, dia lain sangat sekarang. 

Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. 

Itulah antara tanda-tanda malam Al-Qadr yang paling ketara dan terasa. Satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bukan pada alam dan jagat raya, tetapi pada diri manusia itu sendiri.

Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada malam Al-Qadr telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu.

Kita tidak sepatutnya menunggu kerana kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. 

Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, seolah-olah setiap malam adalah malam Al-Qadr. 

Al-Qadr boleh datang, boleh pergi. Tetapi Penciptanya sentiasa ada, sampai bila-bila.

Persediaan menemuinya bukan dibuat semalaman, seharian, mingguan, atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan menemuinya.

Mengapa?

Kerana perjuangan "membersihkan hati" adalah perjuangan sepanjang hayat!

"Qalbun Salim" ( hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita.

Moga Ramadhan kali ini menjadi kekuatan untuk kita terus tsabat di atas jalanNya.

Moga Allah redha.

Wallahu A'lam.

Salam Ramadhan,
Jumaat/19 Ramadhan 1437H 


No comments:

Post a Comment