Wednesday 28 December 2016

BELAJAR KERANA ALLAH?

"Tuntutlah ilmu dari buaian dan liang lahad".

Frasa ini seiring dengan wahyu pertama yang diturunkan kepada rasul kita Muhammad SAW dengan kalimah " IQRA' " yang bermaksud " BACALAH".

Itulah antara kata-kata yang membuktikan  bahawa ilmu sangat penting dalam pembinaan tamadun manusia.

Kerana ilmu, penawar kepada penyakit dicipta. Kerana ilmu, bangunan pencakar langit dibina. Kerana ilmu, mampu membentuk jati diri manusia. 

Di zaman metropolitan ini, jika seseorang itu tidak mempunyai ilmu, mereka akan ketinggalan dan mengalami kesusahan dalam kehidupan. Baik dari perspektif ukhrawi mahupun duniawi itu sendiri.

Untuk itu, jika mahu memperoleh serta mendalami sesuatu ilmu, kita perlu berusaha dengan gigih kerana ilmu tidak datang sendiri. Bak kata peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Menurut Islam, ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seorang dengan seseorang yang lain.

Ini dijelaskan melalui firman Allah, " Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.." (Surah Az-Zumar : 9)

Oleh itu, jangan jadikan alasan kita terlalu sibuk dan tiada masa untuk menuntut ilmu. 

Buku ada untuk dibaca, "recording" ada untuk didengar, "Youtube" ada untuk dilihat, kelas "online" ada belajar, golongan asatizah ada untuk didekati.

Tinggal kita sahaja yang perlu menggerakkan diri sendiri dan inilah masanya kita menyental daki-daki kemalasan dalam diri. Kita tidak boleh selamanya mengharapkan bantuan orang sekeliling untuk "memapah" kita.

Takkan kita hendak biarkan diri kita ketinggalan dari menyumbangkan sesuatu yang terbaik untuk ummat ini? Sampai bila kehebatan umat Islam hanya disebut-sebut dalam sejarah yang akan luput dimamah masa, tanpa ada usaha untuk mengembalikan kegemilangannya pada masa kini?

Akhir kalam, tuntutlah ilmu. Kerana tidak akan diperoleh sesuatu ilmu dengan badan yang berehat!


No comments:

Post a Comment