Thursday 29 March 2018

JANGAN RASA KITA LEBIH BAIK DARI ORANG



"Bulan2 puasa ni lah, baru sibuk nak pergi masjid..tu pun aku tengok solat terawih je..selama ni solat fardhu, ada dia solat kat masjid?? takdeee.."

"Musim2 exam, baru sibuk buat solat sunat..nampak sangat tak ikhlas nak buat ibadah.."

"Tu tak pakai tudung, tapi solat..neraka kirim salam..kena viral ni.." (sambil ambik video malukan orang)

"Eh tu bukan ke si Minah, pelik nau tetibe je dah pakai tudung labuh sekarang, dia dulu kaki clubbing tu..nak tutup dosa la tu.."

"Tu tengok pakcik tu, dah tua-tua pun solat salah..apa benda lah..buat malu je baik tak payah pergi masjid..kena rakam ni tunjuk kat orang.."

"Tu sedekah time ada orang, nampak sangat nak menunjuk..hek elleh, aku tengok seringgit je..poyo lebih.."

"Mengaji kuat2 time ada orang je tu, nampak sangat la nk menunjuk tarannum suara dia tu, elleh bukan sedap pun aku dengar..suara aku lagi sedap.."

Persoalannya,
hati kita ada masalah apa sebenarnya dengan orang?

Kadang, aku pelik dengan perangai sesetengah manusia..Manusia suka pada benda-benda baik..Tapi bila ada perkara baik, artikel yang baik, cerita yang baik, takde pulak nak share sampai jadi viral..Takde pulak nak dijadikan topik time bersembang dengan kawan-kawan..

Manusia tak suka kejahatan, tapi kenapa cerita yang mengundang dosa mengumpat, atau lebih teruk lagi memfitnah itu jugaklah yang kita jaja, kita share, kita like sampai jadi viral..Sangat pelik..Tapi itulah hakikatnya manusia zaman sekarang..

Nak buktikan apa? Nak buktikan orang lain tu jahil, jahat? Atau nak tunjuk diri kita baik? Cubalah cari sekecik-kecik kebaikan dalam setiap perkara. Kadang-kadang kita rasa kita dah cukup baik hanya kerana kita tak buat apa yang orang tu buat..Jangan rasa diri kita lebih baik hanya kerana dosa kita berbeza dengan mereka..

Banyak sebenarnya hikmah yang kita boleh renung dari perubahan dan amalan seseorang yang kita nampak, tapi kenapa yang buruk jugak kita nak cari? Bukankah itu menggambarkan yang hati kita sebenarnya yang buruk, busuk?

Sudah-sudahla tu cari buruk orang..Dosa kita sendiri masih banyak belum terampun, taubat kita sendiri masih bertangguh-tangguh, aib kita sendiri masih banyak Allah tutup..

"Eh korang ingat tak dia ni dulu kaki clubbing, hari-hari balik rumah mabuk, bawak balik jantan..haa dialah yang pakai tudung labuh sekarang ni.."

Nama pun dulu..Kenapa nak diungkit-ungkit? Bila orang tu kaki clubbing kau nerakakan dia..Bila dia dah tak ke sana, dia dah berubah, kau ungkit balik nak bagi semua orang ingat..Kau nak apa sebenarnya?

Yang pastinya dia dah jadi lebih baik..Tapi kita? Masih lagi tak berubah-ubah terbenam di takuk yg lama..

Ye, memang, kau mampu melangkahkan kaki ke masjid setiap hari, solat jemaah tak tinggal, luaran kau mungkin nampak zuhud dan tunduk patuh..Tapi dalaman kau sedang bernanah dengan ujub dan riyak..

Yes, kau memang tutup aurat sempurna dari atas ke bawah, bserstokin, berstongan lengkap, zahir kau memang tidak nampak, tapi batin kau mungkin sedang bengkak..Bengkak dengan pujian dan kebanggaan..

Hati-hati!

Boleh jadi, kaki maksiat yang menangisi secebis taubat itu lebih baik daripada si taat yang berasakan dia sudah hebat dan sudah selamat..

Kau tahu siapa yang berada di neraka paling bawah?

Bukan si kafir yang menyekutukan Allah..Tapi si munafik..Yang berpura-pura baik depan manusia, tapi bila dia duduk seorang diri tanpa ada seorang pun manusia yang melihat, dialah yang paling syaiton sekali..

Dia fikir mampu memanipulasikan pandangan manusia terhadapnya, tapi dia lupa..syurga dan neraka itu Allah yang punya..Dan Allah tahu setiap inci keluk busuk hatinya..

Banyakkan muhasabah hati sendiri..Jangan sibuk nak mengintai aib orang sana sini..Hidup ni takda masa nak nilai orang..Nilai dulu hati sendiri..

Boleh jadi, keikhlasan si penzina yang membuang duri di jalanan, asbab Allah merahmatinya dan memberi kunci kepadaNya untuk masuk ke syurga..

Dan boleh jadi, kotoran riak dan ujub yang kau baja dalam hati, asbab pohon amalan kau rosak menjadi debu di hari akhirat nanti!

Thursday 22 March 2018

JOM MUHASABAH DIRI

Kawan saya beritahu dah berapa tahun dia tak dapat mengerjakan umrah. Sudah berapa kali dia ke sana. 

"Untuk apa kau buat umrah selalu?"
Saya tanya dia..
"Buat amal ibadatlah.."
Marah aje muka dia.....

"kata Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya. Dia ada cakap tak pergi umrah selalu tu  amalan yang tidak terputus?"

Kawan tu diam.

"Ada duit lebih tu sedekahlah. Sedekah sekolah tahfiz, bantu anak.yang mahu sambung belajar, beli tanah kubur wakafkan. Amalan yang tidak terputus kalau kau kaji semuanya berkaitan dengan orang lain. Orang lain yang dapat manfaat dari apa yang kita ada. Harta kita ada kalau kita gunakan untuk diri kita sendiri sahaja. Esok-esok Allah tanya kita balik. Aku kongsi rezeki dekat kau. Kau bolot semua. Kau senangkan diri kau, walau duit tu buat pergi.umrah pun kalau ada adik beradik.yang susah Allah tanya juga tau? Kalau ada jiran yang susah pun Allah tanya juga.."

Kawan tu terkebil-kebil. Merenung muka saya

"Aku sebenarnya kalau bulan ni tak ada orang datang minta tolong aku susah hati. Tertanya tanya Allah marah aku ke sampai Allah tak hantar dekat aku orang minta tolong. Bila Allah hantar orang susah minta bantuan dekat kita bermakna Allah mahu kita buat pahala. Kita kadangkala.tak ada masa nak cari orang susah ni"

"Betul juga kata kau ni ya...."

"Berapa ramai antara kita yang kumpul duit untuk pergi umrah anak beranak. Mesti ramaikan begitu? Tetapi berapa ramai yang kumpul duit untuk wakaf air, wakaf masjid, bantu anak anak belajar. Tolong orang susah?"

Akhir perjumpaan kami. Kawan itu peluk saya sambil berkata

"Insaf aku jumpa kau ni".....

Friday 2 March 2018

DAKWAH HAK SEMUA MANUSIA



Teringat dulu masa pernah kerja kat satu restoran eksklusif kat KL..ada sorang customer perempuan, persis datin..berpakaian agak mewah dari tudung sampailah ke kasut..

Tiba-tiba saya terpandang, nampak rambut dia belah belakang terjulur ke luar..niat hati nak menegur..tapi takut pulak kena marah..tapi bila fikir balik, kenapa saya perlu buruk sangka dgn dia..sedangkan saya tak cuba pun lagi..

Lalu saya pun jalan menghampiri beliau..dan saya terus menyapa dia sambil tersenyum..

"assalamualaikum puan..maaf, rambut puan kat belakang terkeluar sikit.."

Terus dia pandang saya atas bawah..ingatkan dia nak marah..

Tiba-tiba..

"eh laa yekee..tak perasan pulak..awak boleh tolong masukkn tak..tangan saya tak sampai pulak.."

"boleh puan takda masalah..tapi puan takpa ke saya pegang rambut puan..bukan apa takut puan tak selesa pulak.."

"eh takpeee..boleh-boleh..masukkan je..terima kasih ye tegur.."

"dah puan..cantik dah..lagi cantik dari tadi.."

Dia senyum..

"awak tahu, awak orang pertama yang saya tak kenal, dan saya bagi pegang rambut saya..thank you.."

See? kebanyakan kita, takut nak buat dakwah sebab perasaan sangka buruk kita ni terlalu kuat dekat golongan2 sebegini..

Golongan yang bagaimana?

Golongan yang kita rasa tidak perlu ditegur, sebab neraka dah kirim salam kat dorang..Sedangkan, secara hakikatnya, golongan sebeginilah yang lebih layak dan utama untuk ditegur dan didakwahkan..

Kita takut, kalau kita tegur..kita kena marah..kita takut, kalau kita tegur, dia tak terima..kita takut itu..kita takut ini..sedangkan kita tak pernah cuba pun nak dekat dengan dorang!

Lepas ni..cubalah ubah..ubah moga perasaan sangka baik kita sentiasa melebihi sangka buruk kita pada manusia..dakwah saja pada sesiapa tanpa mengira siapa mereka..kerana fitrah manusia itu, adalah suka pada kebaikan..☺

#DakwahHakSemuaManusia

Thursday 1 March 2018

DAIE YANG SYOK SENDIRI



Bila kita nampak ada orang melayu islam yang tak tutup aurat.

Bila kita nampak ada remaja islam yang tak solat, tak tahu solat, tak tahu mandi wajib, tak tahu mengaji.

Bila kita nampak remaja islam minum arak, berjudi, bertatu, berzina.

Bila kita nampak kawan-kawan sekeliling kita terlalu asyik ber"couple".

Kita kena rasa sedih.

Pertama, rasa sedih sebab kita pentingkan diri sendiri dan tak cuba nak sampaikan dakwah kepada mereka.

Kedua, sebab kita tak doakan mereka, malah kita bersangka buruk hanya dengan melihat luaran mereka saja.

Yang kita tahu, pandang jelik, pandang jijik, pandang hina pada mereka. Kita berbisik dalam hati sendiri "teruknya mereka" atau "ish mak ayah tak ajar ke".

Yang kita tahu, kitalah manusia yang terbaik atas muka bumi, kitalah yang paling banyak buat kerja untuk islam, kitalah yang paling banyak buat dakwah.

Sedangkan, dalam kita seronok kecapi nikmat "bercurhat" dalam usrah, kita tak pernah pun pelawa "roommate" sebelah "compartment" kita untuk "join" sekali..

Dalam kita seronok tadabbur quran bersama-sama dgn sahabat-sahabat sorga, kita tak peduli pun kawan-kawan kita masih ada lagi yang merangkak-rangkak mengaji, ada yang tajwidnya masih tunggang langgang.

Dalam kita kecapi nikmat solat jemaah di masjid, hadirkan diri ke ta'lim, daurah, atau majlis-majlis ilmu yg lain, kita tak pernah pun rasa nak berkongsi apa yang kita dapat dan rasa, pada orang-orang sekeliling kita. Malah kadang kita berasa rimas dan benci bila ada sahabat-sahabat kita sendiri yang kita anggap sebagai "orang luar" dalam kumpulan kita, atau lebih tepat lagi dalam jemaah kita, di mana bila mereka minta kita berkongsi input tentang apa yang kita peroleh dari majlis-majlis ilmu yang kita dah pergi, kita berpaling muka, kerana kita rasa mereka tidak layak untuk tahu.

Yang kita tahu, lepas usrah, wajib selfie kemudian update status

#doneusrah
#usrahbest
#rugisiapayangtakdatang

Muhasabah, kadang, punca masyarakat luar masih ramai tak kenal islam dan iman, adalah disebabkan diri kita yang masih lagi syok sendiri dan berangan-angan dengan novel tarbiyah cinta bersulam fantasi, yang lalok dengan ukhuwah fillah bercipika-cipiki, tanpa berpijak di bumi realiti tarbiah dan dakwah itu sendiri.

Ayuh bangkit! masih banyak lagi kerja yg perlu dibuat!!

#FastabiqulKhairat