Saturday 28 October 2017

HUKUM BERCOUPLE



"Bercinta", "Bercouple", "Berikhtilat" dan sebagainya mempunyai takrifan berbeza dan sangat subjektif dengan merujuk kepada setiap individu.

Ada yang kata bercinta itu halal, sedang "couple" itu haram. Ada juga yang mengatakan kedua-duanya haram, sebahagian yang lain pula mengatakan ia harus namun bersyarat. Namun ada juga yang menjustifikasikannya dengan penggunaan kalimah "ikhtilat".

Bagi saya, istilah bercinta itu sendiri terlalu subjektif, berbeza mengikut pemahaman setiap orang dan apa yang mereka lakukan berdasarkan pemahaman masing-masing.
Ada yang menggunakan istilah bercinta, namun mereka tidak melanggar batas-batas agama. Jadi, adakah perbuatan tersebut diharamkan?

Ada juga yang menggunakan istilah "kami hanya berkawan saja", tetapi pergaulan mereka mengalahkan suami isteri, pun begitu adakah berkawan juga patut diharamkan?

Saya tertarik dengan satu kenyataan seorang penceramah sewaktu saya masih menuntut di zaman asasi dulu, beliau mengatakan dengan lantang bahawa; "Bercinta, berikhtilat dan bercouple itu haram".

Lama saya termenung selepas itu, memikirkan adakah bercinta itu haram secara keseluruhannya? Adakah langsung tiada ruang untuk manusia memanifestasikan cinta mereka kepada seseorang? Mengapa Allah mengurniakan rasa hati ini jika perasaan ini diharamkan secara terus?

Dalam Al-Quran, Allah SWT mengulang-ulang kalimah cinta sebanyak 76 kali. Apabila Allah sendiri meletakkan kalimah cinta sebanyak itu dalam Al-Quran, tentu sahaja perkara itu penting. Maha suci Allah! Dia tidak akan meletakkan sesuatu yang remeh-temeh dalam kitab-Nya sebagai rujukan umat keseluruhannya.

Perasaan cinta ini normal bagi seorang manusia. Perasan ingin mencintai dan dicintai adalah fitrah insani. Namun, naluri yang menjadi fitrah insani ini, mampu bertukar menjadi fitnah diri jika tidak dikawal dengan rapi.

Kata orang, cinta itu buta. Apabila sudah bercinta, bukan sahaja mata, malah hati juga turut menjadi buta. Yang buruk terlihat indah. Yang busuk terhidu wangi. Perasaan cinta ini umpama garam dalam masakan, perlu dibubuh untuk menyedapkan makanan, tetapi apabila berlebihan, mampu mengundang pelbagai penyakit dalam badan.

Seseorang akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya, dan alangkah baiknya jika kita salurkan perasaan cinta kita, kepada pemilik segala cinta di dunia dan akhirat iaitu Allah 'Azza Wajalla. Biarlah kita menjadi hamba, dan meng’abdikan diri pada yang sepatutnya terlebih dahulu.

Kemudian, barulah kita boleh memandu hati ini untuk mencintai mereka yang mencintai Allah. Apabila kita mencintai orang yang mencintai Allah, in shaa Allah cinta yang kita serahkan kepadanya itu, akan diserahkan kepada Allah. Lalu, jadilah kita insan yang saling mencintai kepada pencinta kebaikan. Itulah cinta yang utama!

Bagi saya, bercinta itu perlu bagi mengenali dengan lebih mendalam pasangan yang akan kita kahwini, hal ini bagi mengelakkan kita tersilap membuat keputusan malah menyesal di kemudian hari. Bercinta itu tidak salah, asalkan kita menjauhi segala perkara yang haram dan dilarang oleh agama. Berta'aruflah sekadarnya untuk mengetahui ciri-ciri umum bakal pasangan kita saja.

Namun begitu, Islam adalah agama yang syumul, ia tidak akan membiarkan penganutnya hidup tanpa sebarang panduan dan hanya berpaksikan hawa nafsu semata, agama Islam sendiri telah menggariskan beberapa tips dan adab ketika bercinta atau berta'aruf melalui kalam-kalam ulama' terdahulu dan kontemporari.

Rasulullah juga pernah bersabda, bahawa seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu beruntung.

Golongan asatizah telah menggariskan beberapa panduan bagi mengenali bakal pasangan kita berlandaskan syariat, antaranya dengan menyelidik latar belakangnya dengan cara yang sopan dan bermaruah.

Dalam era teknologi kini, bukanlah menjadi satu masalah sukar untuk kita mendapatkan maklumat mengenai bakal pasangan kita, kita boleh saja menyelidik mengenai dirinya melalui media sosial yang pelbagai, kita boleh mengenali perwatakannya, siapa ahli keluarganya, siapa rakan karibnya, bagaimana bahasa yang digunakannya di dunia maya itu.

Selain itu, kita juga boleh berhubung melalui orang tengah yang dipercayai akan akhlak dan agama mereka bagi merisik corak kehidupan dan juga keperibadiannya, seperti melalui keluarga, teman sekuliah, saudara-mara, guru, atau rakan sekerjanya. Jadi, bukan diri kita sendiri yang perlu berta'aruf dengan mendekati dan mengenali hati budinya secara berlebihan. Itulah yang dimaksudkan menyelidik secara bermaruah.

Namun begitu, dalam menilai ciri-ciri idaman bakal pasangan kita, kita juga perlu terlebih dahulu berusaha ke arah ciri-ciri tersebut. Hal ini diumpamakan bagai sekati sama berat, diuji sama merah. Usahlah mengharap bakal pasangan kita sempurna bagai malaikat andai kita sendiri solat subuh masih terlewat!

Bercinta tidak salah, tetapi ramai yang menyalahgunakan makna sesebuah percintaan untuk melakukan perkara yang ditegah oleh hukum syarak. Bertemu janji atau "dating" dalam gambaran yang mudah difahami hari ini, merupakan amalan yang sangat bertentangan dengan hukum Islam, misalnya menonton wayang bersama, berpegangan tangan, berdua-duaan, dan tidak menutup aurat sudah dianggap biasa. Sedangkan hukumnya adalah haram dan berdosa.

Selain itu, komunikasi yang tidak berkenaan juga perlu dikurangkan, kita juga perlu mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Elakkan dari membuang masa menelefon pasangan kita setiap malam. Elakkan juga komunikasi yang "mencagarkan" agama untuk kepentingan nafsu sendiri, misalnya dengan menelefon pasangan kita setiap dinihari untuk sama-sama bangun tahajud. Bahkan urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram sepatutnya dihentikan pabila menjelang malam.

Sedangkan isteri-isteri rasulullah selaku ummahatul mukminin yang mulia, telah diarahkan agar berselindung di sebalik tabir apabila berurusan dengan para sahabat yang diiktiraf iman mereka. Inikan pula kita yang tahap keimanan jauh panggang dari api berbanding mereka. Ingat! Niat tidak pernah menghalalkan cara, apatah lagi jika niat itu sendiri sudah terpesong berkiblatkan nafsu serta bertopengkan tipu daya syaitan.

Hati-hati dengan makhluk yang bernama syaitan ini, dia amat licik. Andai dia tidak mampu menghasut kita ke jalan maksiat, dia mungkin akan memanipulasikan taktik halus dengan menyuntik racun berhalusinasikan agama pada sanubari kita, supaya di mata kita tidak nampak perbuatan itu salah. Justeru, jangan terpedaya. Lebih baik kita kejut teman serumah kita untuk sama-sama tahajud berjemaah jika betul niat kita ingin berdakwah!

Tambahan pula, cinta itu letaknya di hati. Oleh sebab itu, jatuh cinta kerap juga disebut sebagai jatuh hati. Hati itu adalah raja yang mengawal seluruh anggota dan pancaindera manusia. Jika hati baik, maka baiklah seluruh jasad. Begitulah sebaliknya. Apabila kita mencintai seseorang, kita tidak akan tergamak membawa dirinya ke kancah maksiat. Kita tidak akan sanggup membuatkan dirinya bergelumang dengan dosa. Sebagai seorang muslim, cinta kita tidak sama dengan cinta seorang yang bukan muslim. Cinta kita di batasi syarak.

Justeru, jika kita telah berpuas hati dengan segala corak keperibadiannya, dan kedua-duanya sudah saling meredhai antara satu sama lain, maka segerakanlah dengan ikatan pertunangan. Ikatan ini mudah saja, cukup dengan persetujuan pasangan dan keluarga terdekat seperti ibu bapa kedua-dua belah pihak, sudah dikira sebagai bertunang. Pelamin tunang, hantaran, rombongan, kenduri dan lain-lain itu semua cuma adat.

Bertunang itu penting kerana dalam tempoh itu, tiada lelaki lain boleh mengganggu atau merisik pasangan kita. Dalam Islam, memikat atau melamar tunang orang hukumnya adalah haram. Andainya semua umat Islam faham akan hal ini, maka tidak akan berlaku istilah rampas kekasih orang.

Jaga batasan-batasan pergaulan ketika bertunang. Jika mahu keluar bersama atas urusan persiapan perkahwinan misalnya, mestilah berpakaian sopan dan menutup aurat, bawa sekali seorang mahram seperti adik atau abang kepada perempuan itu. Membawa budak kecil bersama tidak dikira sebagai membawa mahram. Mahram yang dimaksudkan ialah seorang yang waras, boleh mengenal pasti hukum halal haram dan mempunyai kekuatan untuk menegur.

Semasa melalui tempoh bertunang, tentukan dan pastikan terus sama ada kita dengan si dia sesuai bersama atau tidak. Jika sesuai, teruskan kepada perkahwinan. Jika tidak, putuskan tali pertunangan itu dengan baik.

Tiada istilah malu apabila putus tunang. Islam sudah menganjurkan kepada kita bahawa semasa bertunang, usah dikhabarkan hal pertunangan kita itu kepada orang ramai. Bertunang itu lebih baik dibuat secara diam-diam. Bukan dengan rombongan Cik Joyah yang masyarakat Melayu amalkan sekarang.

Bertunang itu adalah ikatan pengenalan, bukan kepastian. Hubungannya boleh diteruskan dan boleh juga diputuskan. Jika ramai yang mengetahui dan ikatan itu putus, maka akan membawa malu besar kepada diri sendiri dan keluarga. Jika tiada orang tahu, maka perkara seumpama itu tidak akan berlaku. Aturan Islam itu sangat mudah dan indah. Cuma kita sahaja yang kurang memahaminya.

Cinta ini, andai dibaja dengan hukum syarak, maka ia berbunga mekar penuh keberkatan. Perlu diingat, keberkatan hidup berkait rapat dengan corak kehidupan yang seseorang amalkan. Jika hukum syarak dipelihara dengan baik, maka in shaa Allah hidupnya berkat. Jika tidak dijaga, maka kemanisan dan barakahnya akan hilang sedikit demi sedikit.

Tuntasnya, percintaan itu biarlah dengan niat kita ingin berkahwin dengannya. Bukan sekadar "bercouple" dan berkasih semata tanpa sebarang matlamat dan hala tuju. Maksud ingin berkahwin yang saya nyatakan ini adalah seperti proses ta'aruf yang sekadarnya, kemudian segerakan dengan ikatan pertunangan dan teruskan kepada perkahwinan. Jika belum bersedia untuk proses-proses tersebut, maka usahlah melibatkan diri dalam hal-hal percintaan seperti "bercouple", kerana ia hanya akan mengundang dosa dari menghampiri pahala. Ia hanya akan menambahkan kemudaratan berbanding kerahmatan. Ia hanya membuang masa dan membazir usia dengan perkara sia-sia.


Moga kita semua mampu menjaga batas pergaulan dengan sempurna, kerana Allah telah berjanji, bahawa lelaki yang baik, untuk perempuan yang baik, dan perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik. Setiap manusia Allah telah jadikan berpasangan. Jadi, usahlah terlalu bermuram durja, kerana saat bahagia itu pasti tiba, jika tidak di dunia ini, di akhirat sana pasti ada! 

Allahu a'lam.

Wednesday 25 October 2017

BERUBAH

"kau senangla..mak ayah kau org berilmu..ustaz ustazah..mak ayah aku, solat pun tak..bercerai berai..kaki pukul..kaki judi..macam mana aku nak solat kalau dorang pun tak pernah buat benda2 tu.."

"kau lainla, ambik kos pengajian islam, biah solehah belaka..aku ni ambik kos duniawi je..U pun biasa-biasa je..member aku ramai yang free hair kot..tak solat..couple..hisap vape..geng kunyit..geng halia..geng serai..daun limau purut semua ada..sebab tu aku susah sikit nak berubah.."

Tak jugak..

Asiah isteri firaun..duduk serumah dengan firaun kot, tapi dia still boleh beriman..

Isteri dan anak2 nabi luth, duduk dgn nabi kot..tapi diorang kufur..

Abu Jahal..Abu Lahab..bapa sedara nabi Muhammad tu, hari-hari jumpa nabi, dengar dakwah nabi, tengok mukjizat-mukjizat nabi, tapi sampai ke mati diorang kafir..

ramai lagi sebenarnya..😇

"habis tu mcm mana nak berubah..aku ni dah lama sangat tak solat..nasi dah jadi bubur..takleh buat apa dah..Allah mesti benci kat aku.."

taklah..nasi kalau dah jadi bubur..bila kita alter balik tambah ikan bilis sikit, bawang goreng, telur masin, kangkung, sambal kicap..sedap kan? kadang lagi sedap dari nasi campur..😊

pointnya kt sini, kalau kita betul2 nak berubah, kita takkan salahkan orang lain..kita takkan cipta alasan untuk terus-terusan bermalasan tanpa ada usaha untuk berubah..insyaAllah kalau niat kita nak berubah kerana Allah, Allah pasti mudahkan dan bukakan jalan untuk kita seluas-luasnya..

kerana Allah itu, Ar-Rahman dan Ar-Rahim..kasihNya pada seorang hamba, lebih hebat dari kasih ibu pada anaknya..dah pergi solat..dah azan kan?😊

Monday 2 October 2017

HUKUM QADHA’ PUASA RAMADHAN BERSEKALI DENGAN PUASA 6 SYAWAL

HUKUM QADHA’ PUASA RAMADHAN BERSEKALI DENGAN PUASA 6 SYAWAL

Mukaddimah:

Alhamdulillah, kita baru selesai melaksanakan ibadat puasa Ramadhan dengan jayanya. Semoga Allah kurniakan kepada kita penerimaan segala ibadat yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan sama ada yang wajib mahupun yang sunat. 

Dengan menjelmanya Syawal, disamping kita berhari-raya dengan penuh kesyukuran, kita juga digalakkan untuk melaksanakan puasa enam Syawal. Ini kerana ia mempunyai banyak kelebihan.

Banyak persoalan yang ditimbulkan berkenaan dengan Hukum Qadha’ Puasa Ramadhan Bersekali Dengan Puasa 6 Syawal.

Justeru, pada kali ini akan menjawab persoalan berkaitan dengan isu ini. Semoga kita semua menjadi hamba-hamba Allah yang bertakwa dan cintakan amalan soleh.

Kelebihan Puasa Enam:

Terdapat hadis yang menunjukkan kelebihan puasa enam. Antaranya:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتَّا مِنْ شَوَّالٍ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ

Maksudnya: “Sesiapa yang puasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.”

Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Turmuzi, Al-Nasaie, Ibn Majah, Ahmad dan lain-lain. 

Imam al-Turmuzi berkata hadis hassan.

Ini menunjukkan bahawa maksud puasa Ramadhan seolah-olah setiap hari mewakili gandaan 10 hari. Justeru, ditambah dengan enam hari Syawal, maka jadilah ia 360 hari.

Itulah tafsiran sebahagian ulama.


Hukum Puasa Qada’ Ramadhan Beserta Dengan Puasa Sunat Syawal:

Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:

PERTAMA: SAH

Hukumnya sah dan terjadi kepada kedua-duanya, iaitu qada’ dan sunat. 

Inilah pendapat:
Imam Ibn Hajar al-Haitami
Syeikh Muhammad Ramli. Lihat al-Nihayah (1/162) dan juga Fatawa al-Ramli (2/339)
Imam al-Barizi. Lihat al-Ashfah wa al-Nazhair (1/161) Syeikhul Islam Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Haasyiah al-Syarqawi ala al-Tahrir (1/427)


Inilah juga pendapat kebanyakan ulama mutakhirin.


KEDUA: TIDAK SAH

Tidak sah tetapi terhasil yang fardhu sahaja iaitu puasa qada’ Ramadhan tidak kepada puasa sunat Syawal.

Inilah pendapat Imam al-Asnawi, Syeikh Ibn al-Solah, Abu Makhramah. Lihat Bughiah al-Mustarsyidin (3/95-96).


Hujah mereka tidak boleh tasyrik atau sekutukan dua jenis ibadah dalam satu ibadah.



Tarjih:

Setelah meneliti dua hujah, kami lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya. Ini kerana ia merupakan jenis ibadah yang sama tetapi dengan dua niat. Ini juga pendapat sebahagian ulama berdasarkan pengamatan kepada beberapa nas.

Walaupun begitu, yang terbaiknya adalah memisahkan antara qada’ puasa Ramadhan dengan puasa enam Syawal untuk keluar daripada khilaf.

Imam Ibn Hajar menggunakan bahasa dengan katanya terhasil asal pahala tetapi bukan dalam bentuk sempurnanya jika ia berniat untuk kedua-duanya 
(niat qada Ramadhan dan sunat Syawal). Lihat al-Tuhfah (3/390).


Semoga dengan penjelasan ini, akan memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan isu puasa qada’ Ramadhan dan puasa enam Syawal.

Sekian.
Akhukum fillah,


Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah
Oleh: Dr. Zaharuddin Abd Rahman


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini. Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

NAMUN, ada juga bertanya, habis jika ia ditanya orang atau ketika dipelawa makan? adakah ingin senyap sahaja?

Pertanyaan ini kelihatan sepatutnya mampu disesuaikan dengan nasihat di atas tanpa perlu bertanya lagi. Namun di zaman semua perlu dijelas satu persatu ini, kelihatan semua gagal menggunakan kebijaksanaan memahami mesej dari sebuah nasihat maka memilih untuk membangkang dan membantah. APA YANG dinasihati adalah semua kita berhati-hati agar kita tidak sesuka hati mengumumkan kita berpuasa atau jumlah bilangan puasa kita dan diikuti dengan rasa ingin menunjuk-nunjuk.

Jika diperlukan sekadar menjawab persoalan dan mampu pula dijaga hati agar tidak sum'ah dan tidak pula berlebihan berbicara berkenaannya, seperti menyambung jawapan pertanyaan dengan menyebut jumlah hari yang sudah berpuasa, ditambah pula dengan adakalanya 'memperlekehkan' jumlah puasa orang lain dan yang sepertinya, maka SEKADAR menjawab 'berpuasa' wajarlah tiada masalah dan TIDAKLAH TERMASUK dalam larangan yang dinasihati.

Demikian juga bagi mereka yang memaklumkan puasanya dia kepada ahli keluarga atau rakan dengan niat mendorong kepada kebaikan, maka itu jika dilakukan dengan hati yang terkawal dan niat baik, TIDAK JUGA termasuk dalam riya' dan sum'ah yang merosakkan. Insha Allah. 

Apapun perlu berhati-hati sentiasa kerana Syaitan itu amat licik dalam usaha melencongkan niat manusia seluruhnya.


Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan.

Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.


Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha.

Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." 

(Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu. Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali.

Berdasarkan sabda Nabi Salla Allahu 'Alaihi wasallam :-
‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.."

( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.


Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi Salla Allahu 'Alaihi wasallam dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan banyak lagi rekaan ibadah secara gabungan yang baru kelak termasuklah gabungan Haji beserta Umrah sekaligus dengan satu niat.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) .

Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" 

( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat.

Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" 

(Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

Hujjah ulama yang mengharuskannya datang dari hadith:-

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan."

(Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira.
(Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.


Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini adalah, terdapat IJTIHAD ULAMA yang membolehkan gabung dan wujud juga yang tidak membolehkan, justeru persoalan UTAMA yang tinggal kini boleh BOLEH ATAU TIDAK MENGGABUNGKAN tetapi lebih kepada manakah kaedah yang terbaik untuk DIRI. Jika ditanya kepada saya, jawabnya adalah SANGAT ELOK tidak digabungkan JIKA MAMPU DAN BERKINGINAN GANJARAN TERBESAR, justeru elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai RUKHSAH  "keringanan" bagi mereka yang mempunyai KESUKARAN kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya.

Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.


Sekian

SEGELAS AIR




Seorang wanita memberitahu seorang ustazah :

"Ustazah, saya tidak mahu ikut kelas pengajian ini lagi"

"Apa alasannya?", tanya ustazah.

"Saya lihat di kelas pengajian ini perempuannya suka bergosip, 
laki2 nya munafik, menguruskan cara hidupnya tak betul,
 jemaahnya pula sibuk dg henfon, dll.."

Kata ustazah

"Baiklah. Tapi sebelum kau pergi, tolong lakukan sesuatu untukku. Ambil segelas penuh air dan berjalanlah keliling dalam masjid ini tanpa menumpahkan walaupun setitis air ke lantai. Setelah itu engkau boleh meninggalkan masjid dan majlis ini."

"Itu senang sangat!"

Diapun melakukan apa yg diminta oleh ustazah, sementara pengajian sedang berlangsung. 

Setelah selesai, dia berkata kepada ustazah, bahawa dia sedia utk pergi.

"Sebelum kamu pergi, 
ada 1 soalan. Ketika kamu berjalan keliling dalam masjid, ada engkau mendengar orang bergosip, 
melihat orang munafik, melihat orang sibuk dgn henfonnya?"

Jawab wanita itu, "Tidak."

"kamu tahu mengapa?"

"Tidak."

"Kerana kamu fokus pada gelasmu, untuk memastikan ia tidak terlanggar sesuatu dan tidak ada air yg tumpah."

Begitulah dgn kehidupan kita.

Apabila kita mengarahkan pandangan, aktiviti & tujuan kita hanya kepada Allah ﷻ, maka :

• Kita tidak akan ada waktu untuk melihat dan mencari kesalahan orang lain

• Kita tidak akan ada waktu untuk menilai dan mengkritik orang lain.

• Kita tidak akan ada waktu untuk bergosip atau mendengar gosip dari orang lain.

• Kita akan menolong orang lain dan fokus pada langkah kita untuk mencari redha Allah

Manusia bila direndahkan tidak mungkin sampai menjadi sampah..

Manusia bila disanjung juga tidak mungkin jadi rembulan..

Maka jangan risaukan kata-kata orang,  sebab setiap orang melihatmu dengan pemahaman 
dan pengalaman yang berbeza.

Teruslah melangkah selama mana engkau di jalan yang benar, meskipun terkadang kebaikan tidak selalu dihargai, bahkan mungkin dibenci.

tidak perlu sibuk menjelaskan perihal dirimu, sebab orang yang sukakan kamu tidak perlu itu semua..dan orang yang membencimu pula tidak percaya itu semua..

Hidup bukan tentang siapa yang terbaik, tapi tentang siapa yang nak berbuat baik. 

Jika dizalimi orang, jangan berpikir untuk membalas dendam..tapi berpikirlah cara membalas dengan kebaikan untuk dia berubah.

Jangan mengeluh, teruslah berdoa dan ikhtiar.

Sibukkan diri dengan kebaikan hingga keburukan penat mengikutimu..

Hargailah persahabatan dan persaudaraan..

Moga dunia kita terus harmoni dengan pandangan kasih sayang..😊

Sunday 24 September 2017

AHLI SYURGA YANG TIDAK SOLAT TAHAJUD


Suatu hari ketika Rasulullah saw & para sahabat berkumpul di satu sudut Masjid Nabawi, Rasulullah saw tiba2 berkata: "Sebentar lagi dtg seorg pemuda ahli syurga."

Tak lama kemudian dtg seorg pemuda yg muka & tangannya basah berwudhuk, sambil sebelah tgn memegang sandal. Penampilan sgt sederhana. Tiada apa yg istimewa. 

Beberapa hari kemudian, ketika Rasulullah saw & beberapa sahabat duduk di tempat sama, sekali lg Rasulullah saw kata: "Sebentar lagi dtg seorg pemuda ahli syurga."

Sebentar kemudian, pemuda yg sama sampai. Pun berpenampilan sama.

Salah seorang sahabat yg ada di situ ialah Muaz bin Jabal ra. Beliau ingin tahu apa rahsia lelaki itu hingga dikatakan dia ahli syurga. 

Lalu dia mencari jalan utk tidur di rumah lelaki itu dgn memberi pelbagai alasan. Pemuda itu benarkan Muaz tidur di rumahnya. 

Malam itu ketika Muaz bangun bertahajjud, pemuda itu masih nyenyak tidur hingga ke Subuh.

Pabila subuh, pemuda itu bangun solat Subuh. Lalu mereka membaca Al Quran, lelaki itu tersangkut-sangkut merangkak membaca. Tidak lancar seperti Muaz. 

Dan apabila menjelang waktu Dhuha, Muaz bersolat sunat Dhuha. Tapi lelaki itu tidak. 

Selain itu, pada hari yg sama Muaz berpuasa sunat, tapi lelaki itu tidak.

Muaz pun menceritakan perihal Rasulullah saw telah katakan pada lelaki itu, dan berterus-terang bertanyakan apakah amalannya hingga Rasulullah mengatakan dia ahli syurga..lalu pemuda itu berkata:

"Amalanku tidaklah sebaik mana. Aku masih belum lancar baca Al Quran. Aku masih tak mampu bangun bertahajjud. Aku juga tak mampu lg solat dhuha. Apatah lg berpuasa sunat."

"Tapi…"

"Sejak beberapa minggu ini, aku cuba amalkan 3 perkara yg baru ku pelajari:"

1. Aku sgt cuba tidak sakitkan hati sesiapa. Samada kaum keluargaku, jiranku, sahabatku mahupun orang yg tak kukenal.

2. Aku cuba elakkan diri dari memarahi sesiapa. Dan aku akan maafkan semua org yg membuat salah kepadaku.

3. Aku cuba jaga tali silaturrahim. Dan aku akan bantu panjangkan silaturrahim sebaik mungkin.
Itulah yg mampu aku lakukan.

Subhanallah..

Sahabat2 sekalian,

Jika kita rasa kita hebat dgn imej kita, kita silap. Jika kita rasa kita hebat dgn amalan, pun kita silap. Kalau kita rasa kita tak perlu beramal, lagilah jauh silapnya.

Apa guna ilmu tinggi, hidup penuh syariat, pakaian sunnah tapi apa yg keluar dari mulut kita sentiasa sakitkan hati isteri, hati suami, hati anak, hati sedara mara, hati orang, apatah lg hati ibu bapa.

Apa guna hafal quran, tak pernah ponteng usrah, selalu berzikir, tp selalu marah maki hamun org dan penuh dendam kesumat dlm dada. Apatah maafkan orang, jauh sekali.

Apa guna bertutup litup, program islamik tak pernah missed, kereta penuh sticker Islamik tapi sering bergaduh, kawan selalu salah kita saja yg betul, sedara mara mula menjauhi  kita..kawan susah, kawan sakit, kita tak kesah, apatah lg nak melawat dan berkunjung usah diharap.

Kadang, kita terlupa..dalam kita usaha mengejar benda yg besar, kita abaikan banyak benda yg kecil..

Moga Allah mudahkan segala urusan kita..

Monday 28 August 2017

LA TAHZAN! INNALLAHA MA'ANA


Kalau diikutkan rentak emosi, pasti ada banyak perkara yang menyebabkan kita berkecil hati..Tapi, andai kita menginsafi setiap detak takdirnya, banyak perkara yang menuntut kita agar muhasabah diri..

Ujian datang bukan saja-saja dalam hidup kita, banyak tujuannya..

Kadang, apa yang kita tak suka itu juga, banyak manfaatnya untuk dunia dan akhirat kita..Kita boleh kutip pahala kalau kita mampu tabah, kita juga boleh hapuskan dosa kalau kita mampu redha..

Lalu di saat kita masih punya 1001 nikmat yang mesti disyukuri, mengapa mesti memikirkan satu hal yang menyakitkan hati?

Jika bergaul dengan orang-orang hebat mampu membara hasad dengki, merasa rendah diri dan benci dengan takdir hidup sendiri, lalu ambillah sedikit masa untuk duduk sebaris dengan orang-orang di kaki lima, orang-orang kurang berkemampuan, orang-orang jahil, pasti tiada ruang untuk dengki-mendengki kerana di hati kini sarat dengan simpati dan syukuri..

"Maka, mana satukah antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"

Buat jiwa yang sedang bermuram durja, moga hari ini, lebih baik dari semalam..

Kerana Allah yang memberi kau ujian tanpa diduga, Allah itu juga yang memberi kau nikmat tanpa dipinta..

Jadi, selagi hidup berbumbungkan langit, selagi itu masih ada peluang untuk jiwa dikait..Jangan sampai sudah mati bertimbunkan tanah, menyesal sudah tidak berguna walau bernanah..

La tahzan! Innallaha ma'ana..😊

SAMPAH MASYARAKAT VS SAMPAH TUHAN


"Sampah" pada mata masyarakat, tidak semestinya "sampah" pada pandangan Tuhan..

Amal baik disusuli riak agar orang melihat diri ini, ibadah di malam hari diselit dengan ujub bangga diri, perbuatan baik orang lain dilihat dengan pandangan hasad dengki..

Akulah daie..Akulah pendakwah yang terbaik..

Betapa busuknya hati..

Sering menyangka amalan telah banyak..Dan memandang jelek pendosa lain, seolah-olah dirinya suci tanpa sezarah habuk dosa..

Sedang dia terlupa, bahawa tidak masuk syurga orang-orang di dalam hatinya terdapat secebis kesombongan walau sebesar biji sawi..

Dia juga terleka, bahawa sebaik-baik daie; adalah mereka yang "PERBAIKI DIRI, DAN SERU ORANG LAIN.."

Bukan HANYA seru orang lain, sedang diri sendiri ego dan tercabar pabila dinasihati..

Dia begitu yakini dirinya sedang berlari laju ke JannahNya, sedang Tuhan mungkin sudah "memateri" nama itu pada JahannamNya..

Duhai Tuhan, apa munafikkah kami selama ini?

Tersanjung sungguh dia dengan licin lidahnya bertutur. Terpegun betul dia dengan penanya yang bertinta kalam Tuhan. Meski dalam hatinya tandus tidak punya apa pun..

Diludah habis bisik-bisik masyarakat yang menegur..Lalu dia bersangka pesong bahwa orang berhati jernih itu adalah dia; seorang yang soleh, 'alim, 'abid lagi mujahid, lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri..Sedangkan semua itu hanya bayang-bayangnya yang cuma menari-nari dalam dunia fantasi ciptaan sendiri..

Abu Bakar selalu gementar saat dipuji orang-orang.. “Ya ALLAH, jadikanlah diriku lebih baik dari sangkaan mereka, janganlah Engkau hukum aku kerana ucapan mereka dan ampunilah daku lantaran ketidaktahuan mereka”, ucapnya lirih..

Sedangkan dia sudah tahu, bahwa dia antara 10 orang yang dijamin syurgaNya..Bahkan kita semua sudah tahu, bahwa imannya seorang mampu menandingi iman seluruh umat akhir zaman..

Namun beliau masih meratib kalam-kalam hiba bimbang riak menyapa..Berbeza sungguh dengan kita..Baru dipuji seorang dua, sudah mengaku akulah ahli syurga!

Saturday 26 August 2017

KASIH SAYANG DAN PERANCANGAN ALLAH ITULAH YANG TERBAIK

Adakalanya, kita terlalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan.. Kita begitu yakin bahawa hanya dengan kemampuan dan kebijaksanaan diri, semuanya akan berhasil seperti yang dirancang.. Sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri.

Tidak salah mengharap, berusaha, dan berdoa.. tetapi apabila takdir telah berbicara, bukalah pintu hati untuk menerimanya..

Apabila sesuatu berlaku tidak seperti yang kita impikan..Bencilah..Tapi, bukan benci kepada orang lain.. Bencilah pada diri sendiri yang selalu meletakkan takdir pada impian, bukan pada Tuhan..

Dalam setiap musibah, pasti ada hikmah..Dalam setiap hikmah semestinya ada rahmat dan maghfirah yang istimewa dan khusus dari Allah..

Lambat cepat semuanya akan terjawab.. Bahawa kasih sayang Allah sentiasa hadir dalam setiap duka dan air mata!

BUAT BAIK KERANA NAMA



Jika kita rasa kita buat perkara yang baik, jaga ayat kita..


Usah berbicara hingga memperkecil usaha dan perjuangan orang lain yang juga baik..Kalau orang tegur, muhasabah diri dan perbaikilah..


Usah kita menimbang tara siapa yang paling baik antara kita hingga mendabik dada pada apa yang kita buat, serta memandang enteng pada usaha orang lain..


Kalau kita mendakwa kita pihak yang paling benar, itu tak menjamin semua yang kita buat betul belaka tanpa perlu ditegur..


Cuba tanamkan keyakinan dan rasa percaya, yang semua orang di dunia ni nak masuk syurga..Semua orang nak buat baik..Semua orang ada hak untuk ditarbiyah..


Bila dalam usrah kita hanya ada sahabat-sahabat yang bertudung labuh, bila dalam program yang kita buat hanya ada kawan-kawan yang dah terbiasa dengan biah agama, sedang kita mengabaikan sahabat lain yang nampak kurang islamik, there must be something wrong with our system and our heart itself..


Buat baik dan syurga tu bukan hak eksklusif kita dan ahli kumpulan kita saja, hingga pada usaha nak tarik orang sukakan islam pun, perlu bertapis-tapis dan pilih memilih..Yang kita rasa sesuai kita ambil, yang kita lihat kurang sesuai secara zahir pada pandangan mata kita yang naif ni, kita terus buang..tanpa kita sedar sebenarnya orang yang kita buang itu lah lebih memerlukan "didikan" itu..


Buatlah yang terbaik di penjuru dan bidang masing-masing..Tetapi pandanglah dengan kebaikan dan toleransi pada mereka yang turut berjuang di tempat lain..


Dakwah itu luas dan berseni..Jangan sampai kita terlalu terikat dengan sistem, hingga kita mengabaikan uslub yang lebih penting..Sistem, boleh diubah dan diperbaiki..ia bukan Tuhan yang perlu disembah secara totally..😉