Saturday 29 October 2016

BICARA SANG HAMBA

Beribu langkah ku berjalan,
Mencari sebuah ketenangan,
Duduk berjam-jam di meja bacaan,
Mencari puisi pengubat hati..

Oh aku terlupa..

Puisi indah sudah tersedia,
Dalam genggamanku sejak tadi..

Semushaf kalam-kalam indah sudah terangkai,
Secangkir barakah kalam ilahi sudah berbingkai,
Memancarkan puisi cinta Si Maha Tinngi..

Ku selak helaian demi helaian,
Nah terbentang Surah Ar-Rahman..

Maka yang mana satu antara nikmat-nikmat Tuhan kamu,
Yang kamu hendak dustakan?

Hati terpana meraung tanpa melodi..

Ya Rabb..

Sungguhlah aku ini,
Sangat lemah dalam bermujahadah..

Semangatku tidak setanding kekuatan Sumayyah,
Cintaku tidak seagung kasih Rabiatul Adawiyah,
Peribadiku tidak semulia sifat Fatimah Az-Zahrah..

Tuhan,

Hanya padaMu ku serahkan seluruh nadiku,
Sungguh hidup dan matiku hanyalah untukMu,
Kau berhak di atas segalanya..

Ketenanganku jua datangnya dariMu.

Mungkin aku terlupa,
Aku hanya hamba biasa..

Maafkan aku, Tuhan..

Thursday 27 October 2016

SEDEKAH SAMPAH

Kalau berniaga contohnya jual nasi lemak, kalau mahu bersedekah sebaiknya waktu awal mula menjual.. Lebih baik waktu lauk pun masih panas..

Bukan sebab tak habis jual pergi sedekah kat orang sebab sayang nak buang dalam tong sampah..

Ingat lagi kisah Habil dan Qabil yang masing-masing memberikan sedekah kepada Allah untuk dinilai? Seorang memberi hasil yang baik, seorang lagi memberikan hasil yang kurang baik. Maka Allah telah memilih hasil yang baik.

Maksud sebenar sedekah adalah kita keluarkan apa yang kita sayang, bukan beri sisa atau benda yang mahu dibuang..

Tidak salah hulurkan makanan yang tidak habis kepada mereka yang memerlukan..

Tapi sesekali tu cuba belajar menghayati apa itu nilai sedekah yang sebenar..

Begitu juga jika kita mahu bersedekah pada seekor kucing, sebaiknya kita berikan ikan atau kopekkan sedikit isi dari ikan yang kita sedang makan.. Bukannya beri tulang sampai kucing tu tercekik..

Kadang, adakala kita rasa kita seperti bersedekah, tapi hakikatnya, yang kita beri itu adalah sampah!

Teringat kisah kaum Muhajirin dan Ansar yang saling bantu-membantu antara satu sama lain. Ada antara mereka yang sanggup menawarkan tempat tinggal, malah ada yang menawarkan isteri!

Tapi kita, baru diuji dengan sebungkus nasi lemak dan seekor ikan goreng pun dah tewas!

SYAITAN BODOH KE KAU YANG BODOH?

Syaitan itu tidak bodoh..

Bila seseorang lelaki berjaya menahan pandangannya dari melihat perempuan seksi, maka syaitan akan menukar taktik lain..

Iaitu dengan membuat mata itu suka melihat kepada muslimah yang bertudung labuh, berjubah, dan berniqab..

Yang perempuan, jangan ingat kamu terlepas..

Sekali lagi, syaitan itu tidak bodoh..

Jika selama ini kamu mampu menahan diri dari melihat abam-abam sado, maka syaitan akan mengubah taktik dengan membuat mata kamu tertarik untuk melihat lelaki yang berjubah, berjanggut sejemput, imam muda, pencetus ummah, daie millenia, dan sebagainya..

Jika selama ini kamu mampu menahan diri untuk menahan diri dari couple dan dating, maka syaitan akan menukar kepada "ukhuwah fillah couple halal"..

Kejut tahajud, istikharah cinta..Bergambar berduaan antara 'ostad' 'ostajah'.. Yang ostajah hujung sebelah kiri, yang ostad hujung sebelah kanan..Sambil kedua-duanya buat muka MALU TAPI MAHU..

Hati-hati, syaitan itu sangat licik!

RUKUN SOLAT

RUKUN SOLAT

RUKUN SOLAT TERBAHAGI 3, IAITU :-

1- RUKUN QALBI ( DALAM HATI)

2- RUKUN FI'LI ( PERBUATAN)

3- RUKUN QAULI (PERKATAAN)


13 RUKUN SOLAT

1. Niat semasa takbiratul ihram (contoh niat: ''Aku solat fardhu zuhur'' - sudah memadai)

2.  Berdiri betul - bagi yang berkuasa

3. Takbiratul ihram

4. Membaca surah al-fatihah

5. Rukuk - iaitu membongkok badan ke hadapan sekurang-kurangnya sampai tangan ke lutut

6. Iktidal - iaitu bangun semula daripada rukuk

7. Sujud - iaitu dengan melibatkan tujuh anggota sujud (dahi, dua tapak tangan, dua lutut, dua ibu jari kaki)

8. Duduk antara dua sujud

9. Duduk tahiyat akhir

10. Membaca tahiyat akhir

11. Selawat ke atas nabi Muhammad dalam tahiyat akhir

12. Ucapan salam yang pertama

13. Tertib - iaitu dengan mengikut susunan semua di atas


MOGA BERMANFAAT.. =)

MANDI WAJIB

6 PERKARA YANG MEWAJIBKAN MANDI:

1- BERSETUBUH

2- KELUAR MANI

3- MENINGGAL DUNIA

4- HAID

5- NIFAS

6- WILADAH


RUKUN MANDI WAJIB :

1- NIAT 
    ( SAHAJA AKU MANDI WAJIB / JUNUB UNTUK MENGHILANGKAN HADAS KERANA ALLAH TAALA) 
* KETIKA AIR SAMPAI KE BADAN *

2- HILANGKAN SEGALA KEKOTORAN DAN NAJIS DI SELURUH BADAN.

3- RATAKAN AIR MUTLAK
    ( AIR PAIP, AIR SUNGAI, AIR PERIGI, AIR MATA AIR, AIR HUJAN, AIR EMBUN, AIR SALJI, AIR LAUT ) KE SELURUH ANGGOTA BADAN BERMULA DARI KEPALA ( TERMASUK CELAH-CELAH RAMBUT) HINGGA KE SELURUH KULIT BADAN.

BERUBAH TAK BERMAKNA TERUS SEMPURNA

Dia..

Yang dahulunya jahat,

Yang dahulunya tidak suka ditegur,
Yang dahulunya tidak menutup aurat,
Yang dahulunya kaki disko,
Yang dahulunya kaki botol,
Yang dahulunya kaki lepak,
Yang dahulunya kaki dadah,
Yang dulunya tidak menjaga ikhtilat,
Yang dulunya suka bergaduh,
Yang dahulunya langsung tidak mempunyai walau sezarah kebaikan..

Tapi kini,


Sudah berhijrah menjadi seorang yang lebih baik,

Seorang yang sedang berusaha meninggalkan karat-karat jahiliah, 
yang pernah ada dalam dirinya suatu ketika dahulu,
Seorang yang sudah punya secebis kebaikan dalam dirinya..

Namun,


Dia masih orang yang sama,

Yang suka ketawa,
Suka berjenaka,
Kasar,
Cakapnya kadang merapu,
Masih dengan hobi lama..

Berhijrah,


Bukan bermakna dia terus berubah menjadi orang yang baru..


Jangan hanya kerana sedikit penghijrahannya,

Dia terus diangkat menjadi alim sempurna,
Tahu hukum segala..

Hakikatnya, 


Dia masih manusia biasa,

Punya dosa,
Punya khilaf..

Mengenal orang yang dikagumi,

Usah terlalu hampir..

Dikhuatiri nanti,

Tidak dapat menahan hati pabila terlihat kekurangan atau kelemahannya..

Kerna semakin sempurna gading,

Semakin ketara retaknya..

Walau sesempurna mana pun dia,

Tidak mungkin dia jadi malaikat..

Malang, ramai manusia yang jadi malaikat ketika mengenal manusia lain..


Lalu, dia merasa hampa kerana yang dikaguminya tidaklah seindah mana..

Seolah-olah dia tidak sedar, yang dilihatnya juga adalah manusia sepertinya..

Mohon pada semua,
Tegur dia jika dia silap,
Dia terbuka untuk terima..

Tapi satu dia pinta,

Selarikanlah akal dan adab saat menegur..

Kerna sumbu api yang baru ingin menyala,

Akan terus terpadam dan tidak dapat digunakan lagi,
 jika terus dijirus dengan air..

Maafkan dia, andai dosa dia terpalit pada kalian..




Wednesday 26 October 2016

AIR RUQYAH PENAWAR KE?

Baru2 ni saya terbaca satu iklan, "(Air Ruqyah - Self healing - Tak perlu ke hospital - Mampu menyembuhkan pelbagai penyakit - Mampu membunuh sel kanser - Mampu menurunkan darah tinggi - Mampu menghilangkan kencing manis - Mampu menyembuhkan penyakit jantung - Anda sudah tidak perlukan doktor - Hanya perlukan air kami - Sila hubungi kami untuk tempahan)"

Semakin hari kita lihat semakin galak penggunaan air ruqyah dalam promosi, boleh menyembuhkan penyakit jantung la, darah tinggi la, kencing manis la, kanser la dan segala macam jenis penyakit lain TANPA PERLU MERUJUK KEPADA DOKTOR.

Kadangkala saya kasihan melihat pelajar medic, pharmacy, n etc. Punyalah susah mereka nak belajar kenal ubat sampai 6-7 tahun di universiti, sehingga tidak tidur malam semata2 mahu menghafal jenis2 ubat.

Sekali datang mereka2 yang bergelar "ostad jadian", pakai kopiah, bercelak sikit, terus mengaku mampu sembuh macam2 penyakit. Dijamin mujarab dan tak perlu pergi hospital pula tu. Ikhlas kerana Allah. Tup2 pegi kaunter, "sebotol kecik 300 ringgit cik.." *tersedak*

Saya memetik kata-kata Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (Gappima), Mohd. Fauzi Mustaffa, beliau berkata :

"Prinsip perubatan Islam itu sendiri ialah kita mengaku bahawa hanya Allah sahaja boleh menyembuhkan penyakit dan bukannya disebabkan oleh air, makanan dan bahan-bahan lain.."

"Oleh itu, perbuatan sebahagian para pengusaha yang mengeluarkan iklan dan testimoni yang mengelirukan orang ramai, dibimbangi boleh mendatangkan fitnah kepada perubatan Islam malah agama tersebut sendiri."

"Sebagai contoh, pesakit menghidap barah meminum air yang dijampi al-Quran, selepas minum beliau tidak sembuh."

"Maka orang ramai akan kata, apalah ayat-ayat suci al-Quran tidak menyembuhkan sedangkan testimoni dan iklan air jampi mendakwa boleh mengubat penyakit."

"Jadi dalam soal ini, boleh membawa fitnah kepada al-Quran itu sendiri sekiranya masyarakat tidak dibimbing dengan mendidik mereka bahawa penyakit boleh diubati dengan hanya izin Allah" 



-Mohd. Fauzi-




Maaf, "even though" saya mengambil bidang pengajian islam di universiti islam, kalau saya sakit, saya takkan jumpa "ostad" dulu, saya akan jumpa doktor dulu sebagai ikhtiar yang pertama. Jika tidak berjaya, baru saya akan ikhtiar benda lain.


Memang, doktor bukan Tuhan, tapi air ruqyah pun bukan sebab sembuhnya sesuatu penyakit melainkan dengan izin Allah.

Kita kena faham, profesion sebagai seorang doktor adalah satu entiti yang paling berautoriti dalam menangani hal2 yang berkaitan dengan kesihatan. 

Setiap golongan profesional ada autoriti dan prioriti mereka yang tersendiri.

Tapi kenapa bila hal2 yang kadang bagi saya bukan autoriti seorang yang bergelar ustaz untuk menyelesaikannnya, kita rujuk juga. 

Sebagai contoh, anak demam panas jumpa ustaz minta air penawar, padahal bila check anak kena denggi. Bila barang hilang jumpa ustaz, bukan nak buat report polis. Hatta isteri nak bersalin pun jumpa ustaz.

Mahunya lepas ni ada pula wujud nasi lemak ruqyah buatan air tangan ustaz Sufi, sebungkus RM29.90 dan dijamin tanpa kolestrol. 

Masyarakat pun berbondong2 beli. Haih la masyarakat.

Perniagaan adalah satu pekerjaan yang sangat digalakkan oleh nabi. Oleh itu, janganlah kita cemarkan konsep perniagaan itu sendiri melalui unsur-unsur penipuan. Apatah lagi jika unsur penipuan tersebut melibatkan isu agama.
Semoga keimanan menjadikan kita semakin matang.
Wallahu a'lam.

BANTUAN TUHAN VS BANTUAN HAMBA TUHAN

Terbaca satu entri yang cukup mengetuk pintu hati saya.

Saya simpulkan secara ringkas, antara input entri tersebut yang sempat terakam di dalam memori.

Kenapa kita lihat umat Islam di Gaza, Syria, dan sebagainya, masih lagi hidup dalam peperangan sedangkan umat Islam ramai yang membantu?

Isu negara-negara ini telah mendapat liputan yang meluas di pelbagai negara. Ramai yang memboikot, ramai juga yang menderma, segala bentuk bantuan telah cuba dihantar bagi membantu meringankan beban mereka. 

Tapi kenapa penduduk di sana masih lagi menderita seolah-olah tiada harapan untuk menang?

Jawapannya, kerana bantuan yang sampai kepada mereka hanyalah bantuan dari manusia, bukan dari Allah. 

Persoalannya, kenapa Allah tak hantar bantuan macam zaman lepas-lepas? Islam menang hampir dalam setiap peperangan walaupun mempunyai jumlah tentera yang sedikit.

Hal ini kerana, lihatlah perbezaan antara umat dahulu dan sekarang.

Lihatlah pemuda pemudi mereka. Sangat hebat!

Yang ikhwah tak pernah miss solat berjemaah, berlumba-lumba hafal Al-Quran, yang akhawat penuh dengan sifat malu.

Tapi kita, yang pemuda sibuk dengan DOTA, sibuk nak kahwin awal, tulang rusuk bergetar sana bergetar sini.. Yang pemudi pula tak habis-habis upload gambar di media sosial. Gambar kembung pipi la, muka itik la (baca : duckface), kalau yang alim sikit upload gambar pegang quran la, gambar sengih kat taman bunga la..

Apa kaitan pulak dengan isu Palestin.. Kau ni macam-macam la Ukhti Hensem, bajet hensem betul choii..

Yeke takda kaitan??

Meh sini nak cakap..

Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, yang mengatakan :

" AKAN DATANG SATU MASA APABILA MAKSIAT TELAH BERLELUASA DAN TIADA AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR ANTARA KALIAN, MAKA APABILA KALIAN BERDOA DAN MEMINTA BANTUAN ALLAH, MAKA ALLAH TIDAK AKAN MEMBANTUMU.."

Jadi, muhasabah balik diri kita sendiri. Tak perlu tuding jari pada orang lain. 

Adakah kita termasuk golongan-golongan yang menyebabkan bantuan Allah tidak turun di Palestin dan Syria?

Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing, dan akan kembali dalam keadaan asing juga. Maka, beruntunglah orang-orang yang asing.

Allahu A'lam..

KELUARGA VS DAKWAH. MANA LAGI UTAMA?

Di kampus aktif dengan kerja-kerja dakwah.
Hingga cuti sem pun jarang balik.

Tapi bila balik rumah, jarang sangat tolong mak abah buat kerja rumah.
Sampai mak kecil hati.

Sampai mereka yang kena telefon kita tanya bila nak balik.

Mungkin kita anggap benda ni remeh, tapi tidak bagi mereka.

Di luar, bukan main hebat berkata-kata, tapi bila dengan keluarga sendiri?

Jika di dalam usrah bukan main menjaga kebajikan adik-adik usrah. Tapi dengan adik-beradik sendiri?

Mungkin kau lupa usia mak abah kau tidak sepanjang waktu sibuk kau yang tak berapa nak sibuk tu.
Mungkin kau lupa adik-beradik kau pun perlukan kau.

Dan mungkin kau lupa kunci utama untuk masuk syurga bukan bergantung pada program-program yang kau sibukkan tu.

Tapi pada redha mak abah kau.

Berbakti pada mak abah itu lebih penting.

Ada waktu terluang.. layani mereka, santuni mereka..

Atau sekurang-kurangnya telefon mereka.

Kerana tiada yang lebih membahagiakan mak abah selain anak-anak mereka berada di depan mereka, melayan dan menghargai mereka.

Siapa yang kita perlu lebih berbakti sebenarnya?

Nabi sebut 3x ibu, ibu, ibu, kemudian ayah..

Nabi tak sebut persatuan, persatuan, persatuan..

Biarlah mak abah kita tak solat ke, tak puasa ke, tak tutup aurat ke, poligami tak adil ke, kaki pukul ke, kaki judi ke, hisap dadah ke, itu urusan mereka dengan Allah, dosa mereka dengan Allah, bukan dengan kita.

Bukan tugas kita untuk menghukum mereka.

Ada sebab kenapa kita ditakdirkan dapat mak abah yang sebegitu. Tiada yang Allah bagi itu sia-sia. Kita sahaja yang tak tahu.

Kita sebagai anak wajib taat dan patuh perintah mereka selagi tak bertentangan dengan syara'.

Doa mereka untuk kita, langsung tiada hijab. Kalah semua ustaz-ustaz yang ada.

Sekalipun mereka tiada ilmu macam kita yang bajet pandai sebab masuk universiti ni, sekalipun mereka tak tahu baca, tak habis sekolah, tak masuk universiti, darjat mereka tetap jauh lebih tinggi dan mulia dari kita.

Hargailah mereka, sayangilah mereka, doakan mereka.

Jangan heret mereka ke neraka disebabkan perbuatan kita.

Oleh itu, berpada-padalah dalam berpersatuan.

Jangan sampai makan diri.

Kadang-kadang apa yang kita perjuangkan tu, bukan sebab masyarakat sangat pun.. Tapi sebab nak puaskan nafsu kita. Kita nak tunjuk kat orang yang kita ni hebat.

Mungkin kali pertama niat kita betul. Tapi disebabkan beberapa faktor sehingga mengakibatkan berlaku ketidak puasan hati kita, mohon muhasabah diri balik.. Betul ke cara kita? Betul ke kita perjuangkan hak mereka?

Tiba-tiba teringat kisah Saidina Ali yang tidak jadi membunuh seorang musuh yang meludah mukanya, kerana khuatir dia membunuh bukan kerana Allah, tapi kerana nafsu marahnya..

Sekian, salam renungan~

CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Teori dan praktikal adalah dua benda yang berbeza..
Namun, kedua-duanya sama penting dalam menjayakan sesuatu tugasan atau organisasi..

Jangan hanya tahu bercakap, tapi, bila terkena batang hidung sendiri, sendiri gelabah..Sendiri melatah..

Hebat bila berkata-kata, hancur bila melaksanakannya..

Kita akan diuji dengan apa yang kita ucapkan..

Di dalam satu hadis, Usamah bin Zaid melaporkan yang dia pernah mendengar rasulullah saw bersabda, di akhirat kelak akan ada seorang lelaki yang diseksa di dalam neraka. Semua penghuni neraka pun berkumpul dan mereka bertanya kepada lelaki tersebut bagaimana dia boleh diseksa?

Mereka berkata, " Bukankah dahulu kamu yang mengajak ke arah kebaikan dan kamu mencegah kejahatan?"

Dia berkata, " Dahulu aku mengajak kamu semua ke arah kebaikan, tetapi aku tidak melakukannya, dan aku mencegah kamu dari melakukan kejahatan, tapi aku melakukannya.."

( Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Dalam hidup ni, jangan suka cakap tak serupa bikin.. Nanti orang menyampah..

Buat sekadar yang kita mampu, berjanji sekadar yang kita mampu laksankan..

A great leader doesn't tell you how to do, they show you how it's done..

They also create more leaders, not followers..

Besides, I don't words, I trust actions..

Sekadar bercakap, semua orang boleh bercakap. Tindakan? Mampu tak?

Andai kita melakukan sesuatu amanah atau tugasan, tetapi hati dan jiwa sentiasa dahagakan pujian dan sanjungan, ketahuilah sesungguhnya kita akan dapat apa yang kita impikan. Allah akan bagi.

Tapi percayalah, kita takkan rasa puasa dengan apa yang kita buat. 
Hati dan jiwa akan sentiasa tertekan.

Sebab apa?

Sebab apa yang kita buat, kita hanya dapat penat. Tiada nilai di sisi Allah.

Alangkah ruginya kita.

Moga Allah sentiasa memandu hati kita untuk beramal semata-mata keranaNya..

Allahu A'lam.. 

TAUBAT




Allah sentiasa sayangkan kita..

Jangan putus asa untuk memohon ampun daripadaNya..

Dia akan ampunkan dosa2 kita..

Percayalah..

Tiada pendosa yang tiada masa depan, tiada hamba soleh yang tidak punya masa silam..

Kerna hakikatnya, kita semua pendosa..

If Allah didn't forgive sinners, jannah would be empty.. =)

Jom taubat..

Mulakan dengan malam ni, kita buat solat sunat taubat 2 rakaat..

Solat taubat ni kena buat selalu, sampai hati tu rasa lapang, rasa bersih.

Solat taubat ni elok buat malam-malam..Sebelum tidur, atau sebelum Subuh.

Bersihkan diri, ambil wudhu'..

Bila dah siap berdiri, istighfar dulu.. Astaghfirullahalazim..
Baca seberapa banyak yang kita nak, sampai hati tu bebetul tenang.

Pastu baru niat,

أصلي سنة التوبة ركعتين لله تعالى
[ Sahaja aku solat sunat taubat 2 rakaat kerana Allah Ta'ala]

Kemudian baca Al-Fatihah macam biasa..

Rakaat pertama, baca surah Al-Kafiruun 1x, kalau tak hafal, boleh baca surah Al-Ikhlas ( Qul Huwa Allahu Ahad......) Kalau tak tahu juga, boleh baca mana-mana surah..

Rakaat kedua, baca surah Al-Ikhlas 1x ( atau mana-mana surah)

Kemudian rukuk dan sujud macam biasa..

Bila sampai waktu sujud terakhir sebelum salam, selepas baca bacaan biasa waktu sujud, kita sambung baca doa nabi Yunus as 
" LA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINA DZOLIMIN "

Bacalah 10x, atau 20x, atau 30x, ikut suka..

Waktu ni dahi kita sujud menyentuh bumi, kita berada dalam keadaan hina sehina-hinanya sebagai hamba memohon keampunan daripada Tuhan kita. Sujudlah lama-lama..

Lepas tu baru duduk tahiyat akhir, baca tahiyat akhir dan terus bagi salam.

Lepas bagi salam, istighfar lagi.. Astaghfirullahalazim..

Baca seberapa banyak yang kita nak. Baca sampai hati tu rasa lemah..

Bila rasa dah cukup kita istighfar, baru doa. 

Boleh guna doa sendiri dalam bahasa melayu. Luahkan apa yang terbuku kat hati tu. Menangislah, merayulah.. Mohon Allah ampunkan dosa-dosa tu..

Bayangkan kita cuma ada satu je ni peluang nak minta ampun dengan Allah. Bayangkan malaikat Izrail dah ada kat belakang nak cabut nyawa kita. Agak-agaknya apa kita akan mohon pada Allah?

Dah selesai berdoa, tutup doa kita tu dengan 
[ ROBBANA AATINA FID DUNYA HASANAH WA FIL AKHIRATI HASANAH WAQINAA ADZA BANNAR]

Pastu duduk diam kejap atas sejadah, muhasabah diri. Tengok balik apa yang boleh kita perbaiki lepas ni.

Sambil2 tu boleh buka Al-Quran, baca dan hayati surah 
Az-Zumar, ayat 53 dan surah Al-Baqarah, ayat 186..
Baca maksud sekali..

Dah, tak mahu sedih2.. Allah kan hado..

INGATLAH, TIADA PENDOSA YANG TIADA MASA DEPAN, TIADA HAMBA SOLEH YANG TIDAK PUNYA MASA SILAM =)

CINTA KASIH BUAH HATI



Rasulullah sangat-sangat cintakan kita..

Cuba kita renungi semula, adakah cinta baginda kepada kita berbalas?

Jika baginda melihat diri kita pada hari ini, adakah baginda akan gembira, atau berduka?

Allahumma Solli 'Ala Muhammad Wa 'Ala Aali Muhammad..

TUTORIAL BERTUDUNG ALA-ALA ISLAMIK



Pakai tudung tak wajib.. Yang wajib tutup aurat ye sayang-sayang..

Bertudung tapi berseluar jeans ketat, SALAH..

Bertudung tapi berbaju lengan pendek, SALAH..

Bertudung "on -off" , bertudung bila hanya keluar berjalan-jalan, tapi bila keluar sidai kain kat luar rumah, tak pakai, keluar buang sampah, tak pakai, bila ajnabi datang rumah, tak pakai = SALAH.. Aurat kita bukan bermusim ye kakak-kakak..

Nak tahu macam mana tutorial pemakaian tudung yang sebenar, boleh rujuk Al-Quran, Surah An-Nur, ayat 31 :


" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Nak tahu lebih lanjut, jom tonton video ni.. Moga bermanfaat..

Akhir kalam, jadilah kalian wanita yang dihormati, bukan diminati..


MAKNA BACAAN DALAM SOLAT




Makna bacaan dalam solat..

Moga bila kita dah tahu apa yang kita baca dalam solat, mampu menambahkan kehusyukan kita setiap kali menghadapNya..

Moga bermanfaat..

NIQOBIS GEDIK



Bismillah..

Suatu masa dahulu, saya pernah taksub dengan ideologi berniqob tanpa terlebih dahulu mengkaji apa sebenarnya perkara yang tersirat di sebalik amalan itu.

Suatu hari, saya pernah terdengar seorang niqobis ditegur oleh seorang adik, "Wahhh, pakai purdah, tapi baju colourful, ni mesti orang Malaysia ni.."

Terpukul. Memang amat terpukul. Sejak itu saya mula mengkaji dan mencari ilmu mengenainya. Hari ini, di dalam negara saya sendiri iaitu Malaysia, saya lihat ramai perempuan yang telah mula berniqob. Alhamdulillah. Tetapi, saya agak keliru dengan konsep yang dibawa.

Wajahnya tertutup rapi, tetapi pakaiannya walaupun jubah, walaupun berwarna hitam, masih ada lip-lap lip-lap, masih ada bling-bling, masih ada bunga-bunga, yang berwarna-wari apatah lagi.

Ditambah lagi dengan maskara setebal 8 inci, belum dikira upload gambar lagi.

Bila difikirkan semula, tafsiran bagi sikap seperti itu sebenarnya adalah :

" SAYA MALU DAN MERASA MURAH SEKALI ANDAI WAJAH SAYA MENJADI TATAPAN AJNABI, TETAPI SAYA TIDAK KISAH JIKA PERHIASAN DAN PAKAIAN YANG ADA PADA TUBUH BADAN SAYA DILIHAT ORANG BAHKAN LEBIH SERONOK LAGI KALAU DIPUJI.."

Adakah betul itu sebenarnya konsep berniqob sepertimana yang dibawa oleh ummul mukminin kita?

Bagi diri saya yang tiada ilmu ini, saya memandang perbuatan memakai niqob dan menutup aurat dengan sempurna itu fungsinya bukanlah sekadar untuk menutup sahaja. Signifikan utamanya adalah jauh lebih besar dari itu. Ia sebenarnya adalah sebuah latihan untuk hati kita, untuk menundukkan nafsu orang-orang perempuan yang sememangnya amat suka dipandang dan dipuji. 

Ia mengajar kita untuk bagaimana bersederhana dan merendah diri. Kerana itulah pemilihan warna dan perhiasan yang terdapat pada diri seseorang perempuan itu. 

Saya suka memetik kata-kata ulama' ini;

"Seorang perempuan itu, sebaik-baiknya apabila ia turun ke tengah-tengah orang ramai, orang tidak perasan pun akan kehadirannya, di situ, lantaran sederhananya pakaian dan perhiasan yang ada pada dirinya.."

Sebab itulah bagi saya, kalaulah di dalam hati kita masih lagi ada keinginan untuk berhias da dipuji orang;

"Eh, lawalah maskara awak.."

"Eh, cantiknya manik-manik pada jubah awak ni.."

"Wahhh, beg tangan Gucci ke tu.."

Itu membawa maksud,  masih jauh lagi perjalanan mujahadah hati kita. Dan kerana itulah juga saya fikir, kita perlu mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan untuk menjadi niqobis sepenuh masa. Kerana niqob bukanlah tentang menyembunyikan wajah, ia sebenarnya tentang menyembunyikan hati.

Adakalanya, saya lebih menghormati perempuan yang tidak berniqob, tetapi pakaiannya cuma sederhana, warnanya tidak membuat orang memuji-mujinya, dan perhiasannya pula tidak membuat orang terteleng-teleng memandangnya. Hatinya rendah, tidak berkehendak kepada pujian mahupun pandangan orang, baik dari lelaki mahupun perempuan. Memandang kepadanya sahaja pun, hati kita turut merasa rendah dan insaf, tidak langsung menimbulkan keinginan di hati untuk kelihatan lebih cantik. 

Istimewa dan mahalnya perempuan seperti ini, kerana kecantikannya disimpan elok-elok, buat tatapan seorang insan yang bernama suami sahaja. 

Pilihan ada di tangan kita, sama ada untuk menjadi seindah-indah perhiasan dunia, atau sebesar-besar fitnah.

Saya tidak kisah andai ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini, kerana saya berbicara ini sambil membayangkan agaknya bagaimanalah sekiranya ummul mukminin masih ada bersama-sama dengan kita pada hari ini.

Maafkan saya, andai saya telah mengguris hati sesiapa.

Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang tidak baik itu datang dari kejahilan diri saya sendiri.

Allahu A'lam..