Wednesday 26 October 2016

NIQOBIS GEDIK



Bismillah..

Suatu masa dahulu, saya pernah taksub dengan ideologi berniqob tanpa terlebih dahulu mengkaji apa sebenarnya perkara yang tersirat di sebalik amalan itu.

Suatu hari, saya pernah terdengar seorang niqobis ditegur oleh seorang adik, "Wahhh, pakai purdah, tapi baju colourful, ni mesti orang Malaysia ni.."

Terpukul. Memang amat terpukul. Sejak itu saya mula mengkaji dan mencari ilmu mengenainya. Hari ini, di dalam negara saya sendiri iaitu Malaysia, saya lihat ramai perempuan yang telah mula berniqob. Alhamdulillah. Tetapi, saya agak keliru dengan konsep yang dibawa.

Wajahnya tertutup rapi, tetapi pakaiannya walaupun jubah, walaupun berwarna hitam, masih ada lip-lap lip-lap, masih ada bling-bling, masih ada bunga-bunga, yang berwarna-wari apatah lagi.

Ditambah lagi dengan maskara setebal 8 inci, belum dikira upload gambar lagi.

Bila difikirkan semula, tafsiran bagi sikap seperti itu sebenarnya adalah :

" SAYA MALU DAN MERASA MURAH SEKALI ANDAI WAJAH SAYA MENJADI TATAPAN AJNABI, TETAPI SAYA TIDAK KISAH JIKA PERHIASAN DAN PAKAIAN YANG ADA PADA TUBUH BADAN SAYA DILIHAT ORANG BAHKAN LEBIH SERONOK LAGI KALAU DIPUJI.."

Adakah betul itu sebenarnya konsep berniqob sepertimana yang dibawa oleh ummul mukminin kita?

Bagi diri saya yang tiada ilmu ini, saya memandang perbuatan memakai niqob dan menutup aurat dengan sempurna itu fungsinya bukanlah sekadar untuk menutup sahaja. Signifikan utamanya adalah jauh lebih besar dari itu. Ia sebenarnya adalah sebuah latihan untuk hati kita, untuk menundukkan nafsu orang-orang perempuan yang sememangnya amat suka dipandang dan dipuji. 

Ia mengajar kita untuk bagaimana bersederhana dan merendah diri. Kerana itulah pemilihan warna dan perhiasan yang terdapat pada diri seseorang perempuan itu. 

Saya suka memetik kata-kata ulama' ini;

"Seorang perempuan itu, sebaik-baiknya apabila ia turun ke tengah-tengah orang ramai, orang tidak perasan pun akan kehadirannya, di situ, lantaran sederhananya pakaian dan perhiasan yang ada pada dirinya.."

Sebab itulah bagi saya, kalaulah di dalam hati kita masih lagi ada keinginan untuk berhias da dipuji orang;

"Eh, lawalah maskara awak.."

"Eh, cantiknya manik-manik pada jubah awak ni.."

"Wahhh, beg tangan Gucci ke tu.."

Itu membawa maksud,  masih jauh lagi perjalanan mujahadah hati kita. Dan kerana itulah juga saya fikir, kita perlu mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan untuk menjadi niqobis sepenuh masa. Kerana niqob bukanlah tentang menyembunyikan wajah, ia sebenarnya tentang menyembunyikan hati.

Adakalanya, saya lebih menghormati perempuan yang tidak berniqob, tetapi pakaiannya cuma sederhana, warnanya tidak membuat orang memuji-mujinya, dan perhiasannya pula tidak membuat orang terteleng-teleng memandangnya. Hatinya rendah, tidak berkehendak kepada pujian mahupun pandangan orang, baik dari lelaki mahupun perempuan. Memandang kepadanya sahaja pun, hati kita turut merasa rendah dan insaf, tidak langsung menimbulkan keinginan di hati untuk kelihatan lebih cantik. 

Istimewa dan mahalnya perempuan seperti ini, kerana kecantikannya disimpan elok-elok, buat tatapan seorang insan yang bernama suami sahaja. 

Pilihan ada di tangan kita, sama ada untuk menjadi seindah-indah perhiasan dunia, atau sebesar-besar fitnah.

Saya tidak kisah andai ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini, kerana saya berbicara ini sambil membayangkan agaknya bagaimanalah sekiranya ummul mukminin masih ada bersama-sama dengan kita pada hari ini.

Maafkan saya, andai saya telah mengguris hati sesiapa.

Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang tidak baik itu datang dari kejahilan diri saya sendiri.

Allahu A'lam..   




No comments:

Post a Comment