Thursday 28 July 2016

HANG PI RAYA~

Cerita balik raya di kampung memang seronok tetapi hakikatnya mudah terpalit dosa jika tidak dirancang dengan baik.

Apa tidaknya, bila beberapa keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur bergelimpangan sehingga ke ruang tamu kerana tidak cukup bilik, maka akan berlakulah penampakan aurat ipar duai, sepupu-sepapat, biras, dan sebagainya semasa tidur, atau semasa keluar bilik, atau semasa keluar dari bilik mandi, atau semasa menyusu badan dan sebagainya. 

Jika sudah namanya tidur, kita sendiri tidak akan tahu bagaimana keadaan anggota badan kita bergerak. Lantaran itu, peluang untuk aurat terbuka sangat besar.

Paling resah adalah golongan wanita yang perlu berbungkus 24 jam. Berasa rimas dan panas. Ditambah pula perlu beratur di bilik mandi. 

Inilah cerita balik raya yang tidak seronok yang tidak terzahirkan kerana hendak menjaga hati pelbagai pihak. Tetapi wanita solehah tetap berkorban demi menjaga hati suami dan mentua serta ipar. 

Namun suami yang prihatin dan mentua yang mengambil berat sepatutnya megambil kira persediaan menyambut kepulangan anak cucu dan menantu agar berkumpul bersama ketika beraya tidak terjadi dalam keadaan dosa terpalit.

Suami yang prihatin sepatutnya mengambil kira untuk tetap menyembunyikan aurat isterinya, serta membantu meringankan pengorbanan mereka yang perlu berbungkus 24 jam. 

Zaman dulu di mana masalah aurat tidak diberi penekanan, hal ini diremehkan. Tetapi pada kita yang sentiasa menjaga aurat dewasa kini jangan diambil mudah bila beraya bersama ipar duai, sepupu, biras, kerana hukum aurat tidak berubah dalam situasi ini.

Pemisahan lelaki wanita yang bukan mahram tetap kena berlaku dan diutamakan berbanding soal kekeluargaan. Maka menyediakan ruang pemisahan ini wajib atau mengasing dengan menyewa "homestay" atau hotel, walaupun belanja tinggi sedikit, tetapi itu lebih baik dari sekali terpandang aurat ipar duai atau ahli keluarga lain yang bukan mahram.

Hal ini bukan sahaja perlu dilakukakn apabila balik raya, tetapi juga boleh dipraktikkan ketika berkampung kerana kenduri kendara dan sebagainya.

Jangan ambil mudah soal aurat, kasihanilah isteri anda dan anak perempuan anda, kerana suami dan ayah juga tetap terseret ke dalam neraka jika aurat isteri dan ank perempuannya terdedah jika dia tidak berusaha untuk memikirkan inisiatif bagi mengelaknya.

Kisah Tsa'labah bin Abdul Rahman yang terlihat betis wanita bukan mahram, merasa amat berdosa lalu mengasing diri ke gua hingga nabi menemuinya, adalah contoh betapa beratnya dosa melihat aurat wanita bukan mahram (hadis ini dikatakan dhoif tetapi boleh dijadikan teladan).

Keluarga yang memerli dengan menyebut, "eleh, balik kampung tapi sombong tidur kat hotel.. orang dah biasa hidup senang memang tak boleh rasa susah sikit.." adalah perkara biasa, kerana boleh jadi  mungkin mereka tidak faham kita nak mengelak dari terbuat dosa.

Selain itu faktor keperluan untuk mandi manda dan membuang air juga penting kerana itu keperluan hidup yang boleh menjejas kesihatan.

Kesimpulannya, apa jua yang kita buat, janganlah sekadar merancang untuk melaksanakannya, tetapi rancanglah supaya apa yang dibuat menjadi kebajikan serta terelak dari dosa,

Bantulah isteri anda dalam memelihara auratnya, bahkan memelihara aurat isteri itu satu kecemburuan yang mandatori, atau erti lainnya, ia wajib dilaksanakan.

Wallahu A'lam.  

No comments:

Post a Comment