Thursday 28 July 2016

MAAF KOSONG-KOSONG YE~

Dahulu, waktu saya masih kecil, bagi saya kegembiraan menyambut Syawal adalah apabila mak dan abah belikan pakaian baru, dapat main bunga api, setiap kali bersalaman dengan saudara-mara  pasti dapat "habuan" duit raya.

Tetapi itu dulu. Waktu saya masih belum matang. Kini, kenangan itu semakin luput dimamah masa. Kini, walaupun sambutan hari raya kami sekeluarga sudah tidak semeriah dahulu, mungkin kerana faktor usia masing-masing yang sudah semakin matang dan berusia, malah kesemua kami sudah mempunyai kehidupan sendiri. Namun, baru kini saya dapat belajar dan memahami satu nilai yang saya tidak pernah rasa sebelum ini. Ia adalah nilai kemaafan dan berkasih sayang kerana Allah.

Sebenarnya, waktu raya inilah peluang yang sesuai untuk kita berkumpul, bergurau-senda, bergelak-tawa dan bermaafan sesama ahli keluarga, sanak-saudara, sepupu-sepapat, pakcik-makcik, atuk-nenek, serta moyang. Jika pada hari lain ibu ayah sibuk dengan kerja, anak-anak sibuk ke sekolah, maka pada hari raya inilah peluang kita untuk mendekatkan yang jauh, mengeratkan yang renggang.

Pada hari ini, ibu ayah maafkan kesalahan anak, anak-anak pula maafkan kekhilafan ibu ayah, isteri minta maaf pada suami, suami pula tidak ego untuk memohon maaf daripada isteri. 

Namun, ada juga sesetengah daripada kita yang masih menyimpan dendam. Dendam terhadap kekhilafan ayah, dendam dengan ibu tiri, kecil hati dengan perangai emak, lalu merajuk tak mahu balik ke kampung. Ada juga yang dengki-mendengki dengan adik-beradik sendiri, ada juga yang saling mengadu-domba sesama saudara dan sebagainya.

Lalu kita tidak berasa apa-apa setiap kali Syawal menjelma. Hati terasa kosong. Segala-galanya serba tak kena. Kadang dari pagi hingga ke petang gangguan hati itu datang. Sedangkan tangan masih ditadah, masih setia berbicara memohon doa daripada Allah. Walaupun sudah genap sebulan berpuasa, sudah genap 30 juz' Al-Quran dikhatamkan, sudah genap 30 hari melakukan solat sunat terawih secara berjemaah di masjid. Tetapi perasaan pelik itu masih ada. Masih juga buntu menemui erti ketenangan yang sebenar.

Syawal yang sepatutnya dirai dengan penuh kebahagiaan dan keceriaan, sebagai simbol kemenangan selepas sebulan berusaha membina tembok-tembok amal sewaktu Ramadhan, hancur lebur begitu sahaja pabila dendam kesumat masih lagi belum pudar ketika tibanya Syawal.

Mungkin kita tidak sedar, rupanya ketika bibir laju memohon ampun, kita sendiri belum lagi menghulur maaf. Bagaimana harus menemui ketenangan, andai hati masih lagi berbekas rasa? Kita ingin Allah megampunkan dosa-dosa kita, tetapi kita lupa memberi maaf pada orang-orang yang bersalah.

Ya! Memaafkan bukanlah mudah. Kita manusia, fitrahnya sentiasa berteman khilaf. Dengan berhujah "kita bukan Nabi, kita manusia biasa" bukanlah alasan untuk kita terus membenci seseorang. 

Memang, kadangkala apabila kita mengenang betapa diri diperlakukan dengan tidak adil, betapa diri dizalimi, betapa diri tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu, lantas sukar sekali rasa hati untuk memberi kemaafan.

Tapi kita terlupa, hati manusia, seperti saya, seperti dia, seperti kita semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang terjadi tanpa izin dariNya. Setiap sesuatu yang berlaku, telah dirancang dengan sebaiknya. Baik atau buruk mereka hanyalah di mata kita, sedangkan hakikatnya mata dan hati manusia itulah sebenarnya yang terhijab dari segala kebaikan tersirat yang Allah telah terlebih dahulu aturkan.

Erti kata lain, andai kita fikir kita dizalimi oleh manusia, lalu enggan pula memaafkannya, maka kitalah sebenarnya yang zalim kerana sedikit sebanyak kita ini telah menuduh perancangan dan gerakan Allah itu zalim. Na'uzubillahi min zalik.

Sedangkan Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan di bumi, sedia mengampunkan dosa kita hatta setinggi gunung Everest! Sedangkan Allah, di dalam Al-Quran berkali-kali menegaskan bahawasanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dia sedia mengampunkan hamba-hambanya walau berkali-kali mereka melakukan dosa.

Tapi kita, hanya hamba yang kerdil, satu antara jutaan butiran pasir manusia, seakan-akan mahu menumpang hakNya, dengan tidak bersedia memaafkan manusia kerdil lain.

Janganlah kita terlebih tuhan berbanding Tuhan itu sendiri.

Benar, memaafkan itu tidak mudah. Memaafkan sedang hati masih berdarah kerana disakiti, memang sukar sekali. Apalagi jika yang mengkhianati itu tidak pernah menunjuk kesal. Malah seakan bergembira, seolah-olah perkara yang menjengkelkan kita itu tidak pernah berlaku.

Tapi ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Hatta mahu masuk ke tandas pun perlukan bayaran, inikan pula mahu masuk ke kediaman istimewa untuk selama-lamanya. Mestilah ada "harga" yang perlu dibayar. Mahu menapak ke syurga itu perlu diselubungi dengan jerih payah.

Maka, perlu apa kita mengeluh kesah? Percayalah, bila mana kita memaafkan, maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang. Rasa tenang, rasa damai, rasa lapang Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasa hati bersorak girang. Hati terasa bebas dari dendam dan amarah kerana jiwa kita tidak lagi menangisi sesuatu yang telah ditakdirkan terjadi.

Didiklah hati itu agar sentiasa mendoakan mereka yang telah mengkhianati kita. Walau sakitnya bagai ditusuk sembilu, doakanlah kebaikan buat mereka kerana tidak rugi orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan.

Kerna kita tidak tahu bagaimana pengakhiran sebuah kehidupan di masa akan datang antara kita dengan orang yang menzalimi kita itu. Boleh saja orang tersebut menjadi lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding diri kita sendiri.

Andai kita belum pernah mendoakan yang baik-baik untuk mereka, maka doakanlah. Setiap kali berdoa, selitkanlah nama mereka. Jangan sesekali kita medoakan keburukan buat mereka. Kerana sebaik-baik dan sekuat-kuat mukmin itu, ialah mereka yang mampu memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya sekalipun dia mampu untuk membalasnya.

Kesalahan mereka dengan kita, kita maafkan. Kesalahan mereka dengan Allah, kita doakan.

Akhir kalam, janganlah kita menghukum seseorang hanya kerana dosa mereka berbeza daripada kita. Kerna hakikatnya, kita semua pendosa.

Wallahu A'lam..

Salam Syawal,
23 Syawal 1437H 

No comments:

Post a Comment