Monday 24 October 2016

HUKUM SEBAR GAMBAR MAYAT DALAM MEDIA SOSIAL

Apabila kita berurusan dengan orang ramai, ada etikanya.

Begitu juga apabila kita berurusan dengan kematian. Ada adabnya, ada santunnya.

Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia, yang tinggal hanyalah jasadnya yang kaku di tempat dia meninggal, tanpa boleh bergerak untuk menutup segala keaiban dirinya yang tersingkap.

Namun, masayarakat kita hari ini ramai sangat yang pelik.

Suka benar mengambil gambar mayat orang yang sudah mati, lalu menyebarkannya di media sosial. Niatnya untuk memberitahu orang lain ada berlaku kematian, ada berlaku kemalangan maut, dan sebagainya. 

Namun, perlukah mengambil gambar mereka dalam keadaan tak sepatutnya lalu letakkan di Facebook?

Kenapa? Untuk apa?

Masalah masyarakat kita sekarang, suka sangat sebar sesuatu berita yang mereka rasa hangat. Biar dapat Like dan Share yang banyak, tanpa menghiraukan perasaan keluarga orang lain, perasaan keluarga si mati yang tengah bersedih.

Sebab itu, saya cukup terkilan setiap kali melihat masyarakat menyebar luas gambar-gambar kemalangan yang mengakibatkan kematian contohnya, atau gambar pembunuhan, mangsa lemas, mangsa rogol, dan sebagainya di media sosial terutama dalam aplikasi Whatsapp. 

Kematian bukanlah satu perkara yang boleh dipertontonkan kepada umum!

Jika rasa nak bagitahu juga ada berlaku kemalangan, cukup sekadar kongsikan gambar kenderaan yang terlibat dengan kemalangan atau censoredkan gambar dan keadaan mangsa yang mengaibkan.

Saya masih ingat sewaktu saya masih kecil, sesampainya van jenazah di perkarangan rumah, saya terus melihat orang ramai berkerumun dan berpusu-pusu mengambil gambar saudara terdekat saya yang meninggal dunia akibat kemalanagan. 

Sehingga kami ahli keluarga si mati sendiri terpaksa duduk di luar rumah kerana rumah kami sudah sedia penuh sesampainya kami dari hospital. 

Selepas itu, saya melihat masing-masing manusia di tempat itu, berkongsi gambar dengan orang lain dengan menggunakan aplikasi Bluetooth dan Infrared tanpa fikir perasaan kami sekeluarga.

Hal ini terjadi juga sama ada di tempat kemalangan, hospital, hatta di dalam bilik mayat sewaktu proses post-mortem sedang dijalankan juga masih berdegil mahu mengambil gambar!

Kita sebagai masyarakat Muslim, usahlah memuat naik sebarang gambar atau video, dan jangan Share video atau gambar yang sudah sedia ada di laman sosial.

Bayangkan, jika di dalam gambar itu, adalah ibu bapa kita, kakak kita, ahli keluarga kita, apa kita rasa? Bila kita lihat orang ramai tberpusu-pusu ambil gambar mak kita tanpa sedikit pun perasaan bersalah, kemudian upload di Facebook untuk meraih Like dan Share yang banyak? Dan tiba-tiba gambar yang diupload pula viral di internet dengan tajuk-tajuk yang sensasi, apa perasaan awak? Apa perasaan ahli keluarga awak yang lain?

Tak suka kan?

Jadi hentikan budaya sebar gambar mayat!

Mungkin sekarang awak takkan faham perassan tu sebab awak tak pernah alami. Hanya orang yang pernah alami situasi seperti ini sahaja yang faham.

Itu belum sentuh lagi bila jiran-jiran dan sedara-mara yang menokok tambah cerita.

"We, aku dengar kapala dia putus eh?"

"Teruk we mayat yang eksiden semalam. Mesti banyak dosa mati macam tu.."

"Takut aku tengok gambar dia, teruk mayat dia.."

Rasulullah SAW bersabda :
1- " Barangsiapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya.."
(HR Al-Bukhari no 2442 dan Muslim no 2580 dari hadis Ibn Umar rdh serta Muslim no 2699 dari hadis Abu Hurairah rdh)

2- " Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya akan tetapi iman belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian menggibahi kaum muslimin, dan janganlah pula mencari-cari aib mereka, sesunggunhnya barangsiapa yang mencari-cari aib saudaranya, sesama Muslim, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya, dan barangsiapa yang Allah mencari-cari kesalahannya, maka Allah akan mempermalukannya meskipun ia berada di dalam rumahnya.."
(HR Abu Dawud no 4880)

Penjelasan dah bagi, dalil pun dah bagi. Lepas ni kalau buat juak tak tahulah nak kata apa. Lepas ni, jika kita terlihat orang upload gambar mayat di Facebook atau ada orang hantar gambar mayat terutama mangsa kemalangan jalan raya, mangsa rogol, mangsa bunuh, mangsa lemas dan sebagainya yang begitu jelas di Whatsapp, mohon tegur atau maki terus andai tak makan saman.

Wallahu A'lam..

No comments:

Post a Comment