Saturday 6 August 2016

BUDAK USRAH POYO

Sebenarnya, ukhuwah fillah tu apa eh?

Adakah ukhuwah fillah itu dizahirkan melalui perkataan "ana-enti", atau ia bermaksud simbolik salam laga-laga pipi, atau sekadar ucapan warisan yang meniti di bibir ahli-ahli usrah yang kosong tidak berisi..

Jika sahabat yang "masuk air" itu yang datang hulurkan tangan membantu kita bila kita ditimpa kesusahan, adakah ia dikira sebagai ukhuwah fillah juga? Atau mereka tidak layak diberi gelaran eksklusif itu kerana tiada unsur Islamik dalam tali persahabatan?

Bila mana sahabat "sorga" kita tinggalkan kita di saat kita memerlukan mereka, adakah di saat itu konsep ukhuwah fillah dimansuhkan?

                                     ***

Tengah bersiap hendak ke tempat kerja, tiba-tiba telefon bergegar (baca: vibrate) tanda ia mendapat notifikasi "whatsapp" daripada seseorang..

Rupa-rupanya daripada Siti, sahabat seusrahku..

"Enti, malam ni ada daurah.."

Sambil kelam kabut bersiap, jari aku pantas membalas..

"Maaf, saya tak boleh hadir, saya kerja malam ni..Maaf sangat.."

Doble grey tick - Blue tick
Whatsapp tidak berbalas 10 minit..

Kemudian Typing.....

"Enti, boleh ana jumpa enti lepas habis kerja?"

"Boleh insyaAllah.."

Aku pun meluru pergi kerja..
Jarak ke tempat kerja dari pusat pegajian aku cuma 15 minit..
Hanya berpakaian kasual, bertudung bawal, berbaju t-shirt, berseluar slack..

Bersiap siaga untuk memulakan tugas menjual pakaian terpakai..Woha!

10.30 pm.....

Selepas habis kerja..
Segera aku buka phone dan menaip mesej..

"Awak, cakap nak jumpa.."

"Kita jumpa di kafe.."

Kakiku terus melangkah ke kafe..
Ku lihat dia sudah duduk di sudut bangku sebelah kiri, membelakangi ku..

"Assalamualaikum.." 

Sapaku..

"Waalaikumussalam warahmatullah.."

Jawabnya sambil tersenyum..

Setelah duduk sebentar melepas lelah, lalu kami memesan teh O ais, aku menghirup seteguk air untuk melepaskan lelah..

Dia masih diam, dan memandang aku dengan muka umpama penyiasat yang penuh dengan tanda tanya..

"Enti, dah lama ke enti buat kerja sambilan sambil belajar ni? Enti balik pukul berapa selalu?"

Aku pun menjawab..

"Dah lama jugak..Memang biasanya saya balik dalam pukul 10 lebih..Kenapa wak?"

"Ana bukan apa..Ana tengok enti ni terlalu mengejar keduniaan.."

Mataku sedikit terbeliak..Mujur air teh o ais yang sedang dihirup tidak tersembur keluar..Tidak sangka perkataan sebegitu akan keluar dari mulutnya..

Mataku bertentangan dengan mata dia.. Mulutku terus berkunci..Hanya telinga yang setia memasang mood mendengar..

Melihat aku yang tidak memberikan sebarang respons, dia terus menyambung..

"Enti, minggu lepas masa usrah pun enti cakap ada urusan, masa perjumpaan tahunan jemaah kita weekend lepas, enti cakap enti kena balik rumah, kenapa ni enti.."

Belum sempat aku menjawab, aku terus diasak dengan soalan lain bertubi-tubi..

"Ana nak tanya, enti belajar kat sini, ada dapat biasiswa apa-apa tak?"

Aku pun menjawab,

"Sendiri.." sambil menggeleng kepala..

Dia teruskan menembak soalan,

"Parent kerja?"

Aku mengangguk sambil menyebut "Abah sorang"..

"Ayah kerja apa?" tanya dia..

"Meniaga.."

Matanya sedikit terbeliak, sambil dahi berkerut, menunjukkan riak muka kurang berpuas hati..

"Enti, tak rasa berdosa ke? Tak jaga amanah Allah bagi betul-betul? Enti tak rasa bersalah ke khianat mak ayah enti yang sanggup berniaga sebab nak sekolahkan enti sampai ke peringkat ijazah ni?"

Aku terkedu tak tahu ingin memberi maklum balas yang bagaimana..

........

........

Lama kami mendiam..

"Enti, boleh ana bagi nasihat sikit?" Katanya meneruskan perbualan..

"Hish, mestilah boleh..Nasihat free siapa tak nak ye tak..Hehe.." sengihku..

Masih cuba sembunyikan perasaan terkejut ditembak soalan sangkaan secara membuta tuli..Aku gagahkan juga otot pipi ku untuk tersenyum meski payah..

"Tak adalah, ana tengok enti ni, asyik sibuk je..Enti sibuk dengan dunia kesibukan yang enti sendiri cipta..sekarang ni sepatutnya enti luangkan masa sepenuhnya untuk belajar, untuk Islam, bukan buat kerja sambilan..Ingat enti, dua nikmat yang ramai manusia tertipu, nikmat sihat, dan nikmat masa lapang..Gunakan dua nikmat tu sebaik-baiknya.."

Aku hanya diam..

Dia terus menyambung dengan nada kemegahan,

"Enti kena kutip semua peluang yang ada sementara kat universiti ni macam ana..Macam sahabat-sahabat kita yang lain..Banyakkan membaca, banyakkan islah diri dan dakwah, bukannya merapu kerja sampai malam, berkawan dengan budak-budak tak matang sampai abaikan pelajaran,  tak nak datang usrah, abaikan program jemaah..Apa ni enti..Tak berkat masa enti tu kalau asyik fikir soal dunia saja..Lebih-lebin lagi enti ambik bidang pengajian islam..Ingatlah enti, hidup kita untuk menjadi khalifah di bumi Allah, tegakkan islam, bukan buang masa buat benda mengarut.."

Serta merta air teh yang ditelan seakan-akan kelat. Had untuk diri aku menerima nasihat melulu dan tidak kena dengan situasi telah habis..Lantas aku hirup hirupan yang terakhir, kemudian berlalu pergi meninggalkannya terpinga-pinga, sambil aku tersenyum dan membuat isyarat aku letih, perlu balik berehat..



                                        ***

Yelah, aku kan budak picisan, takdalah islamik mana, berkawan pun dengan budak-budak liar walau aku "join" je usrah kadang-kadang, tapi tak adalah sampai aku letak tahap usrah dan program-program tu melebihi had keperluan hidup aku..Tapi, yelah, orang macam aku mana layak nak tegur budak-budak usrah Islamik yang maha sempurna tu..Jadi aku buat keputusan untuk mendiamkan diri dan berlalu pergi..

Aku hairan, ramai orang mampu menilai orang lain, walau mereka tidak pernah kenal rapat pun dengan insan tersebut..Kadang aku pelik dengan dunia ni, orang yang tak kenal kita, yang tak tahu latar belakang kehidupan kita, tiba-tiba boleh bercakap dan memberikan konklusi tentang hidup kita seolah-olah mereka dah hidup dengan kita selama berpuluh tahun..

Tetapi itulah hakikat dunia..Ada air terjun yang damai, pada masa yang sama ada juga longkang yang busuk..

Entah, kadang, aku peliklah dengan cara dakwah budak-budak bajet islamik yang baru nak "up" sekarang ni, ramai orang gambarkan Islam ni susah.. Seakan-akan satu dosa untuk aku menjadi tenang dan gembira dengan apa yang aku buat..

Seolah-olah diri aku berdosa besar andai fikrah yang aku pegang, tidak sealiran dengan mereka..

Semua benda pendakwah-pendakwah muda ni nak haramkan..

Salahkah aku kerja sampai lewat malam sebab nak tampung yuran pengajian aku belajar?

Salahkah aku bekerja sebab nak ringankan beban ayah aku yang kena sara ramai lagi adik-beradik aku yang masih sekolah?

Salahkah aku kawan dengan dengan budak-budak "biasa" yang tak join usrah dan tak sertai mana-mana jemaah? Walhal setiap kali aku perlukan apa-apa pertolongan, budak-budak "biasa"  itu lah yang biasanya akan muncul dulu bantu aku..Waktu keluarga aku kemalangan teruk dulu, mereka orang pertama yang sampai hospital..Mereka yang datang melawat..Mereka yang bantu aku pinjam duit..Mereka yang bantu naikkan semangat aku..

Sahabat-sahabat "syurga" aku mana masa tu, sibuk berdakwah!

Aku tertanya-tanya, salahkah aku balik rumah tiap minggu sebab nak tolong mak aku kat rumah..Nak jaga abang aku yang sakit kat hospital..Nak uruskan adik-adik aku ke sekolah..



                                       ***

Kadang aku pelik dengan cara dakwah individu tertentu..Mereka gambarkan kalau seseorang tu makin dekat dengan Tuhan, makin ''stress'' hidup dia jadi..Semua benda tak boleh nak buat..Makin "join" usrah, makin jauh dengan family, makin renggang dengan mak ayah dan adik-beradik, makin mudah sentap dengan kawan-kawan..Padahal sepatutnya kita jadi makin berhikmah..Ini tidak, mereka gunakan nama dakwah untuk kepuasan peribadi mereka..

Kalau mak ayah tak izinkan dia keluar usrah, dia kata mak ayah dia tak islamik..Dia kata mak ayah dia nak larang dia keluar melakukan suruhan Allah, suruhan Rasul yang menyuruh sebarkan dakwah..Walhal, dakwah itu bukan terbatas pada kehadiran ke usrah saja! Tambahan pula, patuh ibu bapa itu fardhu ain..sudah termaktub dalam Al-Quran akan kewajipannya..

Kalaulah usrah itu dikatakan fardhu kifayah sekalipun, tetap tuntutan mentaati perintah ibu bapa lebih perlu untuk diutamakan selagi perintah tersebut tidak bertentangan dengan syarak..Apa guna kita lancang mengeluarkan kata-kata dakwah dengan orang luar, sangat menjaga hubungan dengan rakan-rakan seusrah, tapi ibu bapa dan adik-beradik sendiri di rumah tunggang langgang..

Lepas tu, kalau kawan-kawan tak selesa dengan mereka selepas mereka sertai dakwah, mereka menggunakan alasan dalam dakwah mesti ada yang menentang, inilah ujian para pendakwah ketika menegakkan islam..Rasulullah dulu lebih teruk diuji.. Kami ni insan terpilih..Pfffttt..

Mereka masih buta dan tuli dengan kekurangan diri..Masih tidak cuba perbaiki kelemahan diri, sebaliknya masih menggunakan nama Islam untuk menegakkan benang yang sudah sedia basah..Walhal perangai mereka yang menjengkelkan buat orang menjauh dari didikan Islam yang sebenar..

Perkara-perkara macam nilah yang menjauhkan aku dari budak-budak usrah..Aku jadi geli dengan mereka..Selalu merasakan hanya diri mereka saja berada di pihak yang benar, serta ego untuk menerima teguran orang lain yang dikira tidak sekufu dengan mereka..

Sebenarnya, orang yang dilihat secara zahir yang jauh dari islam ni, bukan dia tak nak berubah, bukan dia tak nak patuh perintah Allah, bukannya dia benci agama pun..Dia cuma tak tahu nak mula berubah dari mana, sebab tiada orang yang nak membimbing mereka dengan teguran berhikmah, kebanyakannya hanya tuduh melulu sambil memalit ancaman dosa..Tanpa terlebih dahulu menerangkan apa itu pahala..

Serius aku tak faham dengan sebahagian pendakwah-pendakwah yang perangainya tidak lain hanya reti nak menyentap orang yang kurang kefahaman agama berbanding diri mereka..

Kita kena faham, bukan semua orang dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana keluarga dan persekitaran yang mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka..Ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu pun apa itu aurat, apa itu puasa, apa itu solat..Mereka tidak tahu dan tidak pernah diberi pendedahan pun!

Jadi, tak boleh ke kalau kita menjadi pendakwah yang tidak menakut-nakutkan orang dengan azab Allah saja, sebaliknya galakkan mereka yang baru berjinak-jinak untuk berubah dengan memberikan satu rangsangan positif dalam jiwa mereka, agar mereka suka melakukan kebaikan kerana syurga itu indah dan masih ada harapan untuk mereka menjejakkan kaki ke sana kalau mereka berusaha..

Bukannya terus takutkan mereka dengan azab Allah sehinggakan mereka mendapat gambaran yang kurang tepat bahawa murka Allah melebihi kasihnya..

Aku ada seorang kawan, yang tak pernah solat, puasa, menutup aurat apatah lagi..Satu hari tu, saat pintu hati dia hampir terbuka untuk solat berjemaah di masjid, kaki dia terus melangkah laju ke rumah Allah tersebut dengan riang, tapi, sebaik saja dia sampai di bilik wudhuk, dia dijeling atas bawah dengan jelingan yang sangat menjengkelkan oleh sekumpulan akhawat bertudung labuh, seolah-olah manusia sepertinya tidak layak masuk ke tempat mulia itu.. Mungkin juga asbab pemakaian dia yang tidak menutup aurat pada masa itu..Dia terus berlari keluar, dan terus berazam tak mahu dah solat kat masjid sampai bila-bila..

Hanya dengan satu jelingan kau, kau telah menutup pintu hati orang yang baru berjinak hendak berubah..Tapi kau tak perasan semua ni..Kau tetap rasa kau bagus..Kaulah daie millenia, kaulah pendakwah yang terpilih, kaulah yang paling berilmu..

Hanya dengan sangkaan buruk kau yang suka melahirkan lambakan sikap "labelist" dan "judgementalist", telah menolak semula seseorang ke lembah jahiliyah!

Hakikatnya, pendakwah yang suka menghentam dan melabel ni, mereka sebenarnya bukan nak tunjuk pada masyarakat bahawa Islam itu hebat, tetapi mereka nak buktikan pada masyarakat bahawa mereka itu yang sebenarnya hebat..Tanpa mereka sedar, mereka telah menarik masyarakat untuk menyanjung mereka, bukan menyanjung agama mereka..Mereka meletakkan diri mereka sebagai sembahan dalam hati masyarakat..

Andai kata-kata mereka dibangkang, mereka mengeluarkan segala dalil dan kenyataan yang mengkafirkan orang..Menghukum orang ke neraka..Mengira dosa orang lain tanpa sedar dosa diri sendiri sedang bertimbun dengan timbunan hawa nafsu yang bertopengkan agama..

Hakikat dakwah ini, bukanlah perjuangan untuk membuktikan diri sendiri betul..Tetapi perjuangan untuk menjadikan masyarakat islam itu betul..Pendakwah tidak semestinya sempurna dan betul sentiasa, ada masa, kita juga boleh tersilap langkah..Saat itu, kita perlu rendahkan hati kita untuk menerima nasihat dan teguran daripada orang lain walaupun secara zahirnya orang itu nampak kurang berilmu..

                     
                                   ***

Sebenarnya, hidup kita ini penuh dengan pilihan..Setiap pilihan, ada yang membawa kebaikan, ada juga yang membawa kemudaratan..Jika kita rasa pilihan itu yang terbaik buat diri dan agama kita, maka teruskanlah..Semuanya bergantung pada perspektif masing-masing..Persetan dengan sok sek - sok sek masyarakat yang sering membusuk, kita ada Tuhan yang menilai!

Andai kita tidak mampu menghalang diri seseorang dari melakukan kejahatan, jangan pula kita menjadi penyebab untuk mereka tidak mahu lagi melakukan kebaikan..Jangan menghukum dan menilai dosa seseorang, hanya kerana dosa mereka berbeza dengan kita..

Hiduplah seperti jantung, yang sentiasa berdetak setiap saat, hingga membuatkan hidup insan terus bernadi..Jadilah seperti akar, yang sentiasa menjadi penyebab suburnya sesuatu pohon, meskipun ia tidak pernah dikenali pepohon itu, dek kerana terbenamnya ia di dalam tanah..

Teruskan menjadi baik, kerana Allah itu sebaik-baik penilai!
''Be a good person, but don't waste time to prove it!''



                                                  ***

Jujur, sebenarnya, sampai sekarang aku masih tak faham maksud ukhuwah fillah tu apa..

Kalau boleh, dalam berkawan (baca: berukhuwah), aku tak nak terlalu menzahirkan nilai Islamik tu hanya sekadar luaran saja; agar orang tak nampak nilai Ukhuwah Islamiyah tu murah dan boleh dipijak-pijak sesuka hati..Biarlah orang pandang aku sebagai seorang manusia biasa-biasa yang tidak punya nilai islamik sejati dan tidak tsiqah pada diri, kerana aku tidak perlukan penilaian murah manusia untuk menilai siapa aku..Aku lebih selesa begini.. Dan, hanya Allah sebaik-baik penilai..

Allahu A'lam..

-Ukhti Hensem-

Sunday 31 July 2016

MEMBACA DAN MENULIS

Dua benda yang saya akan buat setiap hari dan tak akan "skip" walau sehari.

MEMBACA dan MENULIS.

Bagi saya, buku yang sudah dibeli, WAJIB dibaca sehingga habis.

Manakala apa-apa idea yang terlintas dalam kepala, saya akan segera draf untuk diterjemahkan dalam bentuk penulisan. Setakat hari ini saya sudah mempunyai 144 draf penulisan yang masih belum diedit dan belum bersedia untuk di"publish".

Aktiviti membaca dan menulis umpama isi dengan kuku. Pada hemat saya, apabila minat yang ada dalam dunia penulisan tidak diselarikan dengan minat membaca, maka akan lahirlah karya-karya penulisan yang kurang berkualiti dan tiada nilai. Seperti plagiat contohnya.

Kata seorang ilmuwan, "If you doesn't have a time to read, then you don't need to write.."

Penulis yang baik pasti mampu menyentuh hati orang yang membacanya.

Membaca dan menulis itu mudah. Tetapi memahami dan menyentuh itu belum pasti. Memahami hati yang ingin disentuh bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap "kacang" kerana manusia ini tidak boleh dipukul rata sifat di hatinya. 

Lebih-lebih lagi insan seperti saya yang tidak begitu mahir menggunakan medium percakapan untuk menyentuh hati seseorang. Bagi yang mengenali diri saya akan tahu bagaimana rentak bicara saya bila berjumpa.

Saya sarankan, ikatlah ilmu kita melalui method pembacaan dan penulisan. Alangkah ruginya sekiranya ilmu yang diperoleh tidak ditulis dan dikongsikan kepada semua.

Kerna tidak semua daripada kita mempunyai hafalan yang begitu baik dan mantap. Jadi semaikanlah sikap suka membaca dan menulis. Jika bukan untuk kebaikan kita, mungkin untuk kebaikan orang-orang di sekeliling kita.

Semakin banyak buku yang dibaca, semakin unik kalam berbicara, semakin tertarik hati pembaca.

Moga Allah redha! 

Thursday 28 July 2016

HANG PI RAYA~

Cerita balik raya di kampung memang seronok tetapi hakikatnya mudah terpalit dosa jika tidak dirancang dengan baik.

Apa tidaknya, bila beberapa keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur bergelimpangan sehingga ke ruang tamu kerana tidak cukup bilik, maka akan berlakulah penampakan aurat ipar duai, sepupu-sepapat, biras, dan sebagainya semasa tidur, atau semasa keluar bilik, atau semasa keluar dari bilik mandi, atau semasa menyusu badan dan sebagainya. 

Jika sudah namanya tidur, kita sendiri tidak akan tahu bagaimana keadaan anggota badan kita bergerak. Lantaran itu, peluang untuk aurat terbuka sangat besar.

Paling resah adalah golongan wanita yang perlu berbungkus 24 jam. Berasa rimas dan panas. Ditambah pula perlu beratur di bilik mandi. 

Inilah cerita balik raya yang tidak seronok yang tidak terzahirkan kerana hendak menjaga hati pelbagai pihak. Tetapi wanita solehah tetap berkorban demi menjaga hati suami dan mentua serta ipar. 

Namun suami yang prihatin dan mentua yang mengambil berat sepatutnya megambil kira persediaan menyambut kepulangan anak cucu dan menantu agar berkumpul bersama ketika beraya tidak terjadi dalam keadaan dosa terpalit.

Suami yang prihatin sepatutnya mengambil kira untuk tetap menyembunyikan aurat isterinya, serta membantu meringankan pengorbanan mereka yang perlu berbungkus 24 jam. 

Zaman dulu di mana masalah aurat tidak diberi penekanan, hal ini diremehkan. Tetapi pada kita yang sentiasa menjaga aurat dewasa kini jangan diambil mudah bila beraya bersama ipar duai, sepupu, biras, kerana hukum aurat tidak berubah dalam situasi ini.

Pemisahan lelaki wanita yang bukan mahram tetap kena berlaku dan diutamakan berbanding soal kekeluargaan. Maka menyediakan ruang pemisahan ini wajib atau mengasing dengan menyewa "homestay" atau hotel, walaupun belanja tinggi sedikit, tetapi itu lebih baik dari sekali terpandang aurat ipar duai atau ahli keluarga lain yang bukan mahram.

Hal ini bukan sahaja perlu dilakukakn apabila balik raya, tetapi juga boleh dipraktikkan ketika berkampung kerana kenduri kendara dan sebagainya.

Jangan ambil mudah soal aurat, kasihanilah isteri anda dan anak perempuan anda, kerana suami dan ayah juga tetap terseret ke dalam neraka jika aurat isteri dan ank perempuannya terdedah jika dia tidak berusaha untuk memikirkan inisiatif bagi mengelaknya.

Kisah Tsa'labah bin Abdul Rahman yang terlihat betis wanita bukan mahram, merasa amat berdosa lalu mengasing diri ke gua hingga nabi menemuinya, adalah contoh betapa beratnya dosa melihat aurat wanita bukan mahram (hadis ini dikatakan dhoif tetapi boleh dijadikan teladan).

Keluarga yang memerli dengan menyebut, "eleh, balik kampung tapi sombong tidur kat hotel.. orang dah biasa hidup senang memang tak boleh rasa susah sikit.." adalah perkara biasa, kerana boleh jadi  mungkin mereka tidak faham kita nak mengelak dari terbuat dosa.

Selain itu faktor keperluan untuk mandi manda dan membuang air juga penting kerana itu keperluan hidup yang boleh menjejas kesihatan.

Kesimpulannya, apa jua yang kita buat, janganlah sekadar merancang untuk melaksanakannya, tetapi rancanglah supaya apa yang dibuat menjadi kebajikan serta terelak dari dosa,

Bantulah isteri anda dalam memelihara auratnya, bahkan memelihara aurat isteri itu satu kecemburuan yang mandatori, atau erti lainnya, ia wajib dilaksanakan.

Wallahu A'lam.  

MAAF KOSONG-KOSONG YE~

Dahulu, waktu saya masih kecil, bagi saya kegembiraan menyambut Syawal adalah apabila mak dan abah belikan pakaian baru, dapat main bunga api, setiap kali bersalaman dengan saudara-mara  pasti dapat "habuan" duit raya.

Tetapi itu dulu. Waktu saya masih belum matang. Kini, kenangan itu semakin luput dimamah masa. Kini, walaupun sambutan hari raya kami sekeluarga sudah tidak semeriah dahulu, mungkin kerana faktor usia masing-masing yang sudah semakin matang dan berusia, malah kesemua kami sudah mempunyai kehidupan sendiri. Namun, baru kini saya dapat belajar dan memahami satu nilai yang saya tidak pernah rasa sebelum ini. Ia adalah nilai kemaafan dan berkasih sayang kerana Allah.

Sebenarnya, waktu raya inilah peluang yang sesuai untuk kita berkumpul, bergurau-senda, bergelak-tawa dan bermaafan sesama ahli keluarga, sanak-saudara, sepupu-sepapat, pakcik-makcik, atuk-nenek, serta moyang. Jika pada hari lain ibu ayah sibuk dengan kerja, anak-anak sibuk ke sekolah, maka pada hari raya inilah peluang kita untuk mendekatkan yang jauh, mengeratkan yang renggang.

Pada hari ini, ibu ayah maafkan kesalahan anak, anak-anak pula maafkan kekhilafan ibu ayah, isteri minta maaf pada suami, suami pula tidak ego untuk memohon maaf daripada isteri. 

Namun, ada juga sesetengah daripada kita yang masih menyimpan dendam. Dendam terhadap kekhilafan ayah, dendam dengan ibu tiri, kecil hati dengan perangai emak, lalu merajuk tak mahu balik ke kampung. Ada juga yang dengki-mendengki dengan adik-beradik sendiri, ada juga yang saling mengadu-domba sesama saudara dan sebagainya.

Lalu kita tidak berasa apa-apa setiap kali Syawal menjelma. Hati terasa kosong. Segala-galanya serba tak kena. Kadang dari pagi hingga ke petang gangguan hati itu datang. Sedangkan tangan masih ditadah, masih setia berbicara memohon doa daripada Allah. Walaupun sudah genap sebulan berpuasa, sudah genap 30 juz' Al-Quran dikhatamkan, sudah genap 30 hari melakukan solat sunat terawih secara berjemaah di masjid. Tetapi perasaan pelik itu masih ada. Masih juga buntu menemui erti ketenangan yang sebenar.

Syawal yang sepatutnya dirai dengan penuh kebahagiaan dan keceriaan, sebagai simbol kemenangan selepas sebulan berusaha membina tembok-tembok amal sewaktu Ramadhan, hancur lebur begitu sahaja pabila dendam kesumat masih lagi belum pudar ketika tibanya Syawal.

Mungkin kita tidak sedar, rupanya ketika bibir laju memohon ampun, kita sendiri belum lagi menghulur maaf. Bagaimana harus menemui ketenangan, andai hati masih lagi berbekas rasa? Kita ingin Allah megampunkan dosa-dosa kita, tetapi kita lupa memberi maaf pada orang-orang yang bersalah.

Ya! Memaafkan bukanlah mudah. Kita manusia, fitrahnya sentiasa berteman khilaf. Dengan berhujah "kita bukan Nabi, kita manusia biasa" bukanlah alasan untuk kita terus membenci seseorang. 

Memang, kadangkala apabila kita mengenang betapa diri diperlakukan dengan tidak adil, betapa diri dizalimi, betapa diri tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu, lantas sukar sekali rasa hati untuk memberi kemaafan.

Tapi kita terlupa, hati manusia, seperti saya, seperti dia, seperti kita semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang terjadi tanpa izin dariNya. Setiap sesuatu yang berlaku, telah dirancang dengan sebaiknya. Baik atau buruk mereka hanyalah di mata kita, sedangkan hakikatnya mata dan hati manusia itulah sebenarnya yang terhijab dari segala kebaikan tersirat yang Allah telah terlebih dahulu aturkan.

Erti kata lain, andai kita fikir kita dizalimi oleh manusia, lalu enggan pula memaafkannya, maka kitalah sebenarnya yang zalim kerana sedikit sebanyak kita ini telah menuduh perancangan dan gerakan Allah itu zalim. Na'uzubillahi min zalik.

Sedangkan Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan di bumi, sedia mengampunkan dosa kita hatta setinggi gunung Everest! Sedangkan Allah, di dalam Al-Quran berkali-kali menegaskan bahawasanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dia sedia mengampunkan hamba-hambanya walau berkali-kali mereka melakukan dosa.

Tapi kita, hanya hamba yang kerdil, satu antara jutaan butiran pasir manusia, seakan-akan mahu menumpang hakNya, dengan tidak bersedia memaafkan manusia kerdil lain.

Janganlah kita terlebih tuhan berbanding Tuhan itu sendiri.

Benar, memaafkan itu tidak mudah. Memaafkan sedang hati masih berdarah kerana disakiti, memang sukar sekali. Apalagi jika yang mengkhianati itu tidak pernah menunjuk kesal. Malah seakan bergembira, seolah-olah perkara yang menjengkelkan kita itu tidak pernah berlaku.

Tapi ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Hatta mahu masuk ke tandas pun perlukan bayaran, inikan pula mahu masuk ke kediaman istimewa untuk selama-lamanya. Mestilah ada "harga" yang perlu dibayar. Mahu menapak ke syurga itu perlu diselubungi dengan jerih payah.

Maka, perlu apa kita mengeluh kesah? Percayalah, bila mana kita memaafkan, maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang. Rasa tenang, rasa damai, rasa lapang Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasa hati bersorak girang. Hati terasa bebas dari dendam dan amarah kerana jiwa kita tidak lagi menangisi sesuatu yang telah ditakdirkan terjadi.

Didiklah hati itu agar sentiasa mendoakan mereka yang telah mengkhianati kita. Walau sakitnya bagai ditusuk sembilu, doakanlah kebaikan buat mereka kerana tidak rugi orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan.

Kerna kita tidak tahu bagaimana pengakhiran sebuah kehidupan di masa akan datang antara kita dengan orang yang menzalimi kita itu. Boleh saja orang tersebut menjadi lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding diri kita sendiri.

Andai kita belum pernah mendoakan yang baik-baik untuk mereka, maka doakanlah. Setiap kali berdoa, selitkanlah nama mereka. Jangan sesekali kita medoakan keburukan buat mereka. Kerana sebaik-baik dan sekuat-kuat mukmin itu, ialah mereka yang mampu memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya sekalipun dia mampu untuk membalasnya.

Kesalahan mereka dengan kita, kita maafkan. Kesalahan mereka dengan Allah, kita doakan.

Akhir kalam, janganlah kita menghukum seseorang hanya kerana dosa mereka berbeza daripada kita. Kerna hakikatnya, kita semua pendosa.

Wallahu A'lam..

Salam Syawal,
23 Syawal 1437H 

TERAWIH VS SUBUH

Memang, solat terawih itu sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Bahkan dituntut agar dilaksanakan secara berjemaah.

Istimewanya solat sunat terawih ni, bulan Ramadhan sahaja ada. Bulan lain tiada.

Namun, bagaimana pula dengan solat Subuh?

Adakah kita bersemangat menunaikannya sebagaimana solat terawih?

Malamnya berselawat bagai nak rak, siap bersaing suara siapa yang paling kuat menyebut kalimah mulia "Allahumma Solli 'Ala Muhammad" di masjid-masjid.

Tetapi paginya, waktu Subuh sunyi sepi di masjid hingga kucing kentut pun boleh dengar.

Ketahuilah, terawih itu sunat, tetapi Subuh itu wajib.

Budak-budak pun tahu yang mana patut lebih diutamakan.

Jadi, sesiapa yang punya azam untuk mencatat kehadiran penuh terawih berjemaah, cubalah juga untuk mencatat kehadiran penuh subuh berjemaah. Barulah anda akan jadi pemuda luar biasa!

Sebelum masuk Ramadhan lagi, dah kena "set"kan "target" macam tu. InsyaAllah jika kita sungguh-sungguh berazam, Allah akan mudahkan.

Moga Allah redha..


DAIE SYOK SENDIRI

Di hati daie para ikhwah dan akhawat sudah semestinya menikmati setiap detik hari-hari kita dalam bulan Ramadhan.

Setiap waktu kita memperingatkan sesama kita sejauh mana pecutan kita dalam bulan Ramadhan.

''Akhi, berapa juz' dah?"

"Kak murobbiah ohsem bam-bam cikebum-cikebum, dah habis separuh Ramadhan dah, sedih rasanya.. Tak tahu dapat jumpa lagi ke tak dengan "next" Ramadhan.."

"Abam sado murobbi, malam ni kita nak pergi iktikaf kat mana? Rindu nak beriktikaf berjemaah macam tahun-tahun sebelum ni.."

Kalam-kalam kesyurgaan terus bermain-main di bibir dan hati-hati para daie di bulan mulia ni. Betapa gembiranya mereka dengan nikmat ramadhan.

Namun Ikhwah Akhawat sekalian, cukupkah nikmat Ramadhan ini berpusing-pusing dalam kelompok kita sahaja?

Terfikirkah kita akan teman-teman kita di luar sana yang tidak sedikit pun ada dalam jiwa mereka kegembiraan dalam bulan ini malah subur dengan kebencian dan kebosanan.

"Menyusahkan betul lah tak boleh nak makan minum bagai.. Dah la penat kerja.. Hish rimas la bila Ramadhan ni.."

"Malas la nak pegi terawih.. Duduk rumah jela.. Tak pun keluar lepak mamak malam-malam ni best jugak.."

Malah, senior saya sekarang yang sedang melakukan praktikal di Mahkamah Syariah dan Majlis Agama menceritakan dalam "group whatsapp" kami,

" Hari ni kami tangkap khalwat..seorang ibu bawa anak kecil dua orang dengan seorang lelaki di sebuah bilik hotel..Allahurabbi.."

" Pening aku jaga kaunter ni, hari-hari suami isteri datang gaduh depan mata aku sebab nak bercerai..siap bertumbuk lagi.."

" Sedih tengok statistik orang yang tak puasa tahun ni..semakin meningkat setiap tahun..setiap hari kalau kami "rush" di kedai-kedai mamak mesti akan ada seorang dua yang sangkut.."

Semua ni berlaku pada bulan Ramadhan. Bulan yang mulia. Bulan yang sangat indah di mata daie. Namun cukupkan ia?

Sentiasalah kita ingat dan usaha untuk sebar kebaikan bulan Ramadhan ni pada semua orang. Bukan sekadar dalam linkungan jemaah kita sahaja. Jangan "racist" boh!

Kita punya tanggungjawab lebih besar luar dari linkungan kelompok kita. Keluarga kita, adik-beradik kita, jiran-jiran kita, serta sahabat-sahabat kita yang tidak kenal pun apa itu tarbiah.

Cukuplah kita syok sendiri di bulan Ramadhan ini. Sedang ramai lagi di sekeliling kita yang terkapai-kapai mencari nikmat iman dan islam. Cuma mereka tak tahu hendak bermula dari mana kerana tiada orang yang mahu membimbing.

Tidak salah untuk merasakan kegembiraan bersama sahabat sejemaah kita. Namun, kita juga perlu sedar hakikat sebenar tugas kita.

Muhasabah buat para du'at yang suka syok sendiri.

Moga Allah redha!

Tuesday 26 July 2016

MUNAJAT RAMADHAN

Ya Allah.. Ya Rahman.. Ya Rahim..

Dalam dakapan Ramadhan yang suci ini, dengan rasa rendah diri, kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepadaMu ya Allah..

Semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar..

Ya Fattahu Ya 'Alim..

Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar dari semua masalah yang membelenggu diri kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirMu..

Ya Allah..

Takdirkanlah yang baik-baik untuk diri kami, janganlah Kau menguji kami pada apa yang tidak mampu Kami lalui. Bukakanlah pintu-pintu rahmatMu untuk kami ya Allah..

Ya Allah Rabbul Jalil..

Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik, supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMu ya Allah. Ampunkanlah segala dosa-dosa kami, kerana kami terlalu banyak dosa kepadaMu ya Allah.

Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMu bila ditimpa sakit. Kami lupa kepadaMu ketika senang, kami ingat kepadaMu bila datang kesusahan. Kami lupa kepadaMu di saat kami gembira, kami ingat kepadaMu ketika sedih dan kecewa. Kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingatiMu ketika usia sudah tua. 

Justeru ya Allah, ampunilah semua dosa kami. Berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami daripada mengingatiMu ya Allah..

Ya Allah.. Ya Rahman.. Ya Rahim..

Ampunkanlah dosa kedua ibu bapa kami. Setiap titik susu ibu yang mengalir dalam diri kami, Kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurgaMu..

Ya Rahman, pada setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada kami sekeluarga, Kau gantikanlah dengan keampunan yang membawanya ke syurgaMu ya Allah..

Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan. Justeru ya Allah, kurniakanlah kepada kedua ibu bapa kami tempat yang teristimewa dan tertinggi di syurgaMu ya Allah..

Ya Allah, kami juga memohon ampun kepada kaum kerabat kami, sahabat-sahabat kami, dan guru-guru kami yang masih hidup mahupun yang telah terlebih dahulu meninggalkan kami menuju ke alam barzakh. Golongkanlah mereka dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai. Apabila tiba pula giliran kami menuju barzakhMu, maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik-baik dalam keampunan dan rahmatMu ya Allah..

Ya Allahu Ya 'Aziz..

Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram. Hiasilah hati kami dengan sifat redha, syukur, sabar, ikhlas, amanah, dan bertanggungjawab. Kau jauhkanlah kami dari sifat 'ujub, riak, takabbur, fitnah-memfitnah, mengadu domba, berburuk sangka, dan khianat..

Ya Rashid.. Ya Rahman.. Ya Rahim..

Jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan kesusahan, maka Kau bantulah mereka, permudahkankah urusan mereka. Jika ada di kalangan kami mereka yang bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jalan keluar kepada mereka. Jika ada di kalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka, dan cukupkanlah keperluan mereka. Jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan sakit, maka Kau sembuhkanlah mereka ya Allah, agar mereka dapat beribadah bersama-sama kami. Ya Allah, jika ada dalam kalangan kami yang derhaka kepada ibu bapa atau terkurang dalam melayani mereka, maka Kau ampunilah mereka. Jadikanlah kami anak-anak yang taat dan berbakti. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Mengasihi..

Ya Allah.. Ya Razzaq.. Ya Fattahu Ya 'Alim..

Kurniakanlah kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati. Dan jadikanlah kami dengan rezeki itu semakin dekat denganMu. Sebaliknya janganlah Kau jadikan kami golongan yang lupa diri setelah mendapat kurniaanMu..

Ya Allah..

Bantulah kami dalam menjalankan urusan agama kami, elokkanlah urusan dunia kami, yang padanya tempat kami mencari kehidupan. Elokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat kami akan kembali untuk selama-lamanya. Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami, dan jadikanlah kematian kami sebagai ketenangan kepada kami dari segala kejahatan. Sesungguhnya kami ingin kembali kepadaMu dengan jiwa yang tenang..

Ya Allah.. Ya Zal Jala Li Wa Al-Ikram..


Janganlah Kau jadikan ramadhan ini sebagai ramadhan terakhir buat kami. Temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang. Akan tetapi Ya Allah, andai ini ramadhan terakhir buat kami, jadikanlah puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati. Jadikanlah ramadhan ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangMu ya Allah. Jadikanlah ramadhan ini sebagai penghapus dosa kami ya Allah. Temukanlah kami dengan malam Al-Qadr. Pilihlah kami dari kalangan hambaMu yang dapat beramal pada malam AL-Qadr..

Ya Allah..

Terimalah amalan kami. Terimalah taubat kami. Ampunkanlah segala dosa kami. Menangkanlah kami dalam menghadapi musuh-musuhMu. Amankanlah kehidupan kami di sini dan di sana nanti yang kekal abadi. Kurniakanlah kepada kami syurgaMu yang Maha luas nikmatnya..

Aamiin ya rabbal 'alamin..



Monday 25 July 2016

MALAM AL-QADR

"Pokok tak sujud pun malam ni.."

"Air tak beku pun.."

"Tak dapat lagila kita jumpa Lailatul Qadr malam ni.."

Sayangnya, kebanyakan kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al-Qadr pada alam, pada pokok, pada air, dan lain-lain.

Sedangkan tanda mendapat Al-Qadr itu ada pada diri sendiri.

Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al-Qadr amat bertuah kerana doa, taubat, dan hajatnya "diangkat" oleh malaikat lalu dimakbulkan oleh Allah?

Jadi, jika seseorang mendapat malam Al-Qadr tentu jiwanya menjadi lebih tenang, akhlaqnya menjadi lebih baik, dan ibadahnya (sama ada hablun min Allah dan hablun min An-nas) bertambah lebat dan hebat.

Malam Al-Qar adalah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (ibarat trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajr.

Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya dalam kalangan mereka - malaikat Jibril.

Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.

Salah satu urusan adalah "bertamu" dalam hati orang Islam yang bersih. Hanya sekali bertamu, tetapi kesannya berpanjangan.

Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah.

Bisikan para malaikat akan mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu.

Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.

Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan "hati kecil" yang suci dan baik. Kedua, bisikan "hati besar" yang kotor dan jahat.

Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan was-was.

Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh "penakluknya."

Firman Allah : "Dan beruntunglah orang yang membersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.." [Surah As-Syams : 9-10]

Orang yang mendapat malam Al-Qadr sungguh bertuah. Hal ini kerana, hasil mujahadah, doa, serta taubatnya pada malam berkenaan, akan menyebabkan malaikat akan terus mendominasi hatinya.

Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya.

Mujahadahnya akan terbantu.

Perjalanannya menuju Tuhan akan lebih terpimpin dan terjamin.

Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan, maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan.

Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.

Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al-Qadr.

Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai pada orang yang mengalaminya sahaja.

Rasa tenang, bahagia, lapang, dan sejuk.

Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara. Eh, dia sudah berubah. Eh, indahnya perilaku dia. SubhanaAllah, dia lain sangat sekarang. 

Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. 

Itulah antara tanda-tanda malam Al-Qadr yang paling ketara dan terasa. Satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bukan pada alam dan jagat raya, tetapi pada diri manusia itu sendiri.

Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada malam Al-Qadr telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu.

Kita tidak sepatutnya menunggu kerana kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. 

Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, seolah-olah setiap malam adalah malam Al-Qadr. 

Al-Qadr boleh datang, boleh pergi. Tetapi Penciptanya sentiasa ada, sampai bila-bila.

Persediaan menemuinya bukan dibuat semalaman, seharian, mingguan, atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan menemuinya.

Mengapa?

Kerana perjuangan "membersihkan hati" adalah perjuangan sepanjang hayat!

"Qalbun Salim" ( hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita.

Moga Ramadhan kali ini menjadi kekuatan untuk kita terus tsabat di atas jalanNya.

Moga Allah redha.

Wallahu A'lam.

Salam Ramadhan,
Jumaat/19 Ramadhan 1437H