Wednesday 26 October 2016

AIR RUQYAH PENAWAR KE?

Baru2 ni saya terbaca satu iklan, "(Air Ruqyah - Self healing - Tak perlu ke hospital - Mampu menyembuhkan pelbagai penyakit - Mampu membunuh sel kanser - Mampu menurunkan darah tinggi - Mampu menghilangkan kencing manis - Mampu menyembuhkan penyakit jantung - Anda sudah tidak perlukan doktor - Hanya perlukan air kami - Sila hubungi kami untuk tempahan)"

Semakin hari kita lihat semakin galak penggunaan air ruqyah dalam promosi, boleh menyembuhkan penyakit jantung la, darah tinggi la, kencing manis la, kanser la dan segala macam jenis penyakit lain TANPA PERLU MERUJUK KEPADA DOKTOR.

Kadangkala saya kasihan melihat pelajar medic, pharmacy, n etc. Punyalah susah mereka nak belajar kenal ubat sampai 6-7 tahun di universiti, sehingga tidak tidur malam semata2 mahu menghafal jenis2 ubat.

Sekali datang mereka2 yang bergelar "ostad jadian", pakai kopiah, bercelak sikit, terus mengaku mampu sembuh macam2 penyakit. Dijamin mujarab dan tak perlu pergi hospital pula tu. Ikhlas kerana Allah. Tup2 pegi kaunter, "sebotol kecik 300 ringgit cik.." *tersedak*

Saya memetik kata-kata Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (Gappima), Mohd. Fauzi Mustaffa, beliau berkata :

"Prinsip perubatan Islam itu sendiri ialah kita mengaku bahawa hanya Allah sahaja boleh menyembuhkan penyakit dan bukannya disebabkan oleh air, makanan dan bahan-bahan lain.."

"Oleh itu, perbuatan sebahagian para pengusaha yang mengeluarkan iklan dan testimoni yang mengelirukan orang ramai, dibimbangi boleh mendatangkan fitnah kepada perubatan Islam malah agama tersebut sendiri."

"Sebagai contoh, pesakit menghidap barah meminum air yang dijampi al-Quran, selepas minum beliau tidak sembuh."

"Maka orang ramai akan kata, apalah ayat-ayat suci al-Quran tidak menyembuhkan sedangkan testimoni dan iklan air jampi mendakwa boleh mengubat penyakit."

"Jadi dalam soal ini, boleh membawa fitnah kepada al-Quran itu sendiri sekiranya masyarakat tidak dibimbing dengan mendidik mereka bahawa penyakit boleh diubati dengan hanya izin Allah" 



-Mohd. Fauzi-




Maaf, "even though" saya mengambil bidang pengajian islam di universiti islam, kalau saya sakit, saya takkan jumpa "ostad" dulu, saya akan jumpa doktor dulu sebagai ikhtiar yang pertama. Jika tidak berjaya, baru saya akan ikhtiar benda lain.


Memang, doktor bukan Tuhan, tapi air ruqyah pun bukan sebab sembuhnya sesuatu penyakit melainkan dengan izin Allah.

Kita kena faham, profesion sebagai seorang doktor adalah satu entiti yang paling berautoriti dalam menangani hal2 yang berkaitan dengan kesihatan. 

Setiap golongan profesional ada autoriti dan prioriti mereka yang tersendiri.

Tapi kenapa bila hal2 yang kadang bagi saya bukan autoriti seorang yang bergelar ustaz untuk menyelesaikannnya, kita rujuk juga. 

Sebagai contoh, anak demam panas jumpa ustaz minta air penawar, padahal bila check anak kena denggi. Bila barang hilang jumpa ustaz, bukan nak buat report polis. Hatta isteri nak bersalin pun jumpa ustaz.

Mahunya lepas ni ada pula wujud nasi lemak ruqyah buatan air tangan ustaz Sufi, sebungkus RM29.90 dan dijamin tanpa kolestrol. 

Masyarakat pun berbondong2 beli. Haih la masyarakat.

Perniagaan adalah satu pekerjaan yang sangat digalakkan oleh nabi. Oleh itu, janganlah kita cemarkan konsep perniagaan itu sendiri melalui unsur-unsur penipuan. Apatah lagi jika unsur penipuan tersebut melibatkan isu agama.
Semoga keimanan menjadikan kita semakin matang.
Wallahu a'lam.

BANTUAN TUHAN VS BANTUAN HAMBA TUHAN

Terbaca satu entri yang cukup mengetuk pintu hati saya.

Saya simpulkan secara ringkas, antara input entri tersebut yang sempat terakam di dalam memori.

Kenapa kita lihat umat Islam di Gaza, Syria, dan sebagainya, masih lagi hidup dalam peperangan sedangkan umat Islam ramai yang membantu?

Isu negara-negara ini telah mendapat liputan yang meluas di pelbagai negara. Ramai yang memboikot, ramai juga yang menderma, segala bentuk bantuan telah cuba dihantar bagi membantu meringankan beban mereka. 

Tapi kenapa penduduk di sana masih lagi menderita seolah-olah tiada harapan untuk menang?

Jawapannya, kerana bantuan yang sampai kepada mereka hanyalah bantuan dari manusia, bukan dari Allah. 

Persoalannya, kenapa Allah tak hantar bantuan macam zaman lepas-lepas? Islam menang hampir dalam setiap peperangan walaupun mempunyai jumlah tentera yang sedikit.

Hal ini kerana, lihatlah perbezaan antara umat dahulu dan sekarang.

Lihatlah pemuda pemudi mereka. Sangat hebat!

Yang ikhwah tak pernah miss solat berjemaah, berlumba-lumba hafal Al-Quran, yang akhawat penuh dengan sifat malu.

Tapi kita, yang pemuda sibuk dengan DOTA, sibuk nak kahwin awal, tulang rusuk bergetar sana bergetar sini.. Yang pemudi pula tak habis-habis upload gambar di media sosial. Gambar kembung pipi la, muka itik la (baca : duckface), kalau yang alim sikit upload gambar pegang quran la, gambar sengih kat taman bunga la..

Apa kaitan pulak dengan isu Palestin.. Kau ni macam-macam la Ukhti Hensem, bajet hensem betul choii..

Yeke takda kaitan??

Meh sini nak cakap..

Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, yang mengatakan :

" AKAN DATANG SATU MASA APABILA MAKSIAT TELAH BERLELUASA DAN TIADA AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR ANTARA KALIAN, MAKA APABILA KALIAN BERDOA DAN MEMINTA BANTUAN ALLAH, MAKA ALLAH TIDAK AKAN MEMBANTUMU.."

Jadi, muhasabah balik diri kita sendiri. Tak perlu tuding jari pada orang lain. 

Adakah kita termasuk golongan-golongan yang menyebabkan bantuan Allah tidak turun di Palestin dan Syria?

Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing, dan akan kembali dalam keadaan asing juga. Maka, beruntunglah orang-orang yang asing.

Allahu A'lam..

KELUARGA VS DAKWAH. MANA LAGI UTAMA?

Di kampus aktif dengan kerja-kerja dakwah.
Hingga cuti sem pun jarang balik.

Tapi bila balik rumah, jarang sangat tolong mak abah buat kerja rumah.
Sampai mak kecil hati.

Sampai mereka yang kena telefon kita tanya bila nak balik.

Mungkin kita anggap benda ni remeh, tapi tidak bagi mereka.

Di luar, bukan main hebat berkata-kata, tapi bila dengan keluarga sendiri?

Jika di dalam usrah bukan main menjaga kebajikan adik-adik usrah. Tapi dengan adik-beradik sendiri?

Mungkin kau lupa usia mak abah kau tidak sepanjang waktu sibuk kau yang tak berapa nak sibuk tu.
Mungkin kau lupa adik-beradik kau pun perlukan kau.

Dan mungkin kau lupa kunci utama untuk masuk syurga bukan bergantung pada program-program yang kau sibukkan tu.

Tapi pada redha mak abah kau.

Berbakti pada mak abah itu lebih penting.

Ada waktu terluang.. layani mereka, santuni mereka..

Atau sekurang-kurangnya telefon mereka.

Kerana tiada yang lebih membahagiakan mak abah selain anak-anak mereka berada di depan mereka, melayan dan menghargai mereka.

Siapa yang kita perlu lebih berbakti sebenarnya?

Nabi sebut 3x ibu, ibu, ibu, kemudian ayah..

Nabi tak sebut persatuan, persatuan, persatuan..

Biarlah mak abah kita tak solat ke, tak puasa ke, tak tutup aurat ke, poligami tak adil ke, kaki pukul ke, kaki judi ke, hisap dadah ke, itu urusan mereka dengan Allah, dosa mereka dengan Allah, bukan dengan kita.

Bukan tugas kita untuk menghukum mereka.

Ada sebab kenapa kita ditakdirkan dapat mak abah yang sebegitu. Tiada yang Allah bagi itu sia-sia. Kita sahaja yang tak tahu.

Kita sebagai anak wajib taat dan patuh perintah mereka selagi tak bertentangan dengan syara'.

Doa mereka untuk kita, langsung tiada hijab. Kalah semua ustaz-ustaz yang ada.

Sekalipun mereka tiada ilmu macam kita yang bajet pandai sebab masuk universiti ni, sekalipun mereka tak tahu baca, tak habis sekolah, tak masuk universiti, darjat mereka tetap jauh lebih tinggi dan mulia dari kita.

Hargailah mereka, sayangilah mereka, doakan mereka.

Jangan heret mereka ke neraka disebabkan perbuatan kita.

Oleh itu, berpada-padalah dalam berpersatuan.

Jangan sampai makan diri.

Kadang-kadang apa yang kita perjuangkan tu, bukan sebab masyarakat sangat pun.. Tapi sebab nak puaskan nafsu kita. Kita nak tunjuk kat orang yang kita ni hebat.

Mungkin kali pertama niat kita betul. Tapi disebabkan beberapa faktor sehingga mengakibatkan berlaku ketidak puasan hati kita, mohon muhasabah diri balik.. Betul ke cara kita? Betul ke kita perjuangkan hak mereka?

Tiba-tiba teringat kisah Saidina Ali yang tidak jadi membunuh seorang musuh yang meludah mukanya, kerana khuatir dia membunuh bukan kerana Allah, tapi kerana nafsu marahnya..

Sekian, salam renungan~

CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Teori dan praktikal adalah dua benda yang berbeza..
Namun, kedua-duanya sama penting dalam menjayakan sesuatu tugasan atau organisasi..

Jangan hanya tahu bercakap, tapi, bila terkena batang hidung sendiri, sendiri gelabah..Sendiri melatah..

Hebat bila berkata-kata, hancur bila melaksanakannya..

Kita akan diuji dengan apa yang kita ucapkan..

Di dalam satu hadis, Usamah bin Zaid melaporkan yang dia pernah mendengar rasulullah saw bersabda, di akhirat kelak akan ada seorang lelaki yang diseksa di dalam neraka. Semua penghuni neraka pun berkumpul dan mereka bertanya kepada lelaki tersebut bagaimana dia boleh diseksa?

Mereka berkata, " Bukankah dahulu kamu yang mengajak ke arah kebaikan dan kamu mencegah kejahatan?"

Dia berkata, " Dahulu aku mengajak kamu semua ke arah kebaikan, tetapi aku tidak melakukannya, dan aku mencegah kamu dari melakukan kejahatan, tapi aku melakukannya.."

( Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Dalam hidup ni, jangan suka cakap tak serupa bikin.. Nanti orang menyampah..

Buat sekadar yang kita mampu, berjanji sekadar yang kita mampu laksankan..

A great leader doesn't tell you how to do, they show you how it's done..

They also create more leaders, not followers..

Besides, I don't words, I trust actions..

Sekadar bercakap, semua orang boleh bercakap. Tindakan? Mampu tak?

Andai kita melakukan sesuatu amanah atau tugasan, tetapi hati dan jiwa sentiasa dahagakan pujian dan sanjungan, ketahuilah sesungguhnya kita akan dapat apa yang kita impikan. Allah akan bagi.

Tapi percayalah, kita takkan rasa puasa dengan apa yang kita buat. 
Hati dan jiwa akan sentiasa tertekan.

Sebab apa?

Sebab apa yang kita buat, kita hanya dapat penat. Tiada nilai di sisi Allah.

Alangkah ruginya kita.

Moga Allah sentiasa memandu hati kita untuk beramal semata-mata keranaNya..

Allahu A'lam.. 

TAUBAT




Allah sentiasa sayangkan kita..

Jangan putus asa untuk memohon ampun daripadaNya..

Dia akan ampunkan dosa2 kita..

Percayalah..

Tiada pendosa yang tiada masa depan, tiada hamba soleh yang tidak punya masa silam..

Kerna hakikatnya, kita semua pendosa..

If Allah didn't forgive sinners, jannah would be empty.. =)

Jom taubat..

Mulakan dengan malam ni, kita buat solat sunat taubat 2 rakaat..

Solat taubat ni kena buat selalu, sampai hati tu rasa lapang, rasa bersih.

Solat taubat ni elok buat malam-malam..Sebelum tidur, atau sebelum Subuh.

Bersihkan diri, ambil wudhu'..

Bila dah siap berdiri, istighfar dulu.. Astaghfirullahalazim..
Baca seberapa banyak yang kita nak, sampai hati tu bebetul tenang.

Pastu baru niat,

أصلي سنة التوبة ركعتين لله تعالى
[ Sahaja aku solat sunat taubat 2 rakaat kerana Allah Ta'ala]

Kemudian baca Al-Fatihah macam biasa..

Rakaat pertama, baca surah Al-Kafiruun 1x, kalau tak hafal, boleh baca surah Al-Ikhlas ( Qul Huwa Allahu Ahad......) Kalau tak tahu juga, boleh baca mana-mana surah..

Rakaat kedua, baca surah Al-Ikhlas 1x ( atau mana-mana surah)

Kemudian rukuk dan sujud macam biasa..

Bila sampai waktu sujud terakhir sebelum salam, selepas baca bacaan biasa waktu sujud, kita sambung baca doa nabi Yunus as 
" LA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINA DZOLIMIN "

Bacalah 10x, atau 20x, atau 30x, ikut suka..

Waktu ni dahi kita sujud menyentuh bumi, kita berada dalam keadaan hina sehina-hinanya sebagai hamba memohon keampunan daripada Tuhan kita. Sujudlah lama-lama..

Lepas tu baru duduk tahiyat akhir, baca tahiyat akhir dan terus bagi salam.

Lepas bagi salam, istighfar lagi.. Astaghfirullahalazim..

Baca seberapa banyak yang kita nak. Baca sampai hati tu rasa lemah..

Bila rasa dah cukup kita istighfar, baru doa. 

Boleh guna doa sendiri dalam bahasa melayu. Luahkan apa yang terbuku kat hati tu. Menangislah, merayulah.. Mohon Allah ampunkan dosa-dosa tu..

Bayangkan kita cuma ada satu je ni peluang nak minta ampun dengan Allah. Bayangkan malaikat Izrail dah ada kat belakang nak cabut nyawa kita. Agak-agaknya apa kita akan mohon pada Allah?

Dah selesai berdoa, tutup doa kita tu dengan 
[ ROBBANA AATINA FID DUNYA HASANAH WA FIL AKHIRATI HASANAH WAQINAA ADZA BANNAR]

Pastu duduk diam kejap atas sejadah, muhasabah diri. Tengok balik apa yang boleh kita perbaiki lepas ni.

Sambil2 tu boleh buka Al-Quran, baca dan hayati surah 
Az-Zumar, ayat 53 dan surah Al-Baqarah, ayat 186..
Baca maksud sekali..

Dah, tak mahu sedih2.. Allah kan hado..

INGATLAH, TIADA PENDOSA YANG TIADA MASA DEPAN, TIADA HAMBA SOLEH YANG TIDAK PUNYA MASA SILAM =)

CINTA KASIH BUAH HATI



Rasulullah sangat-sangat cintakan kita..

Cuba kita renungi semula, adakah cinta baginda kepada kita berbalas?

Jika baginda melihat diri kita pada hari ini, adakah baginda akan gembira, atau berduka?

Allahumma Solli 'Ala Muhammad Wa 'Ala Aali Muhammad..

TUTORIAL BERTUDUNG ALA-ALA ISLAMIK



Pakai tudung tak wajib.. Yang wajib tutup aurat ye sayang-sayang..

Bertudung tapi berseluar jeans ketat, SALAH..

Bertudung tapi berbaju lengan pendek, SALAH..

Bertudung "on -off" , bertudung bila hanya keluar berjalan-jalan, tapi bila keluar sidai kain kat luar rumah, tak pakai, keluar buang sampah, tak pakai, bila ajnabi datang rumah, tak pakai = SALAH.. Aurat kita bukan bermusim ye kakak-kakak..

Nak tahu macam mana tutorial pemakaian tudung yang sebenar, boleh rujuk Al-Quran, Surah An-Nur, ayat 31 :


" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Nak tahu lebih lanjut, jom tonton video ni.. Moga bermanfaat..

Akhir kalam, jadilah kalian wanita yang dihormati, bukan diminati..


MAKNA BACAAN DALAM SOLAT




Makna bacaan dalam solat..

Moga bila kita dah tahu apa yang kita baca dalam solat, mampu menambahkan kehusyukan kita setiap kali menghadapNya..

Moga bermanfaat..

NIQOBIS GEDIK



Bismillah..

Suatu masa dahulu, saya pernah taksub dengan ideologi berniqob tanpa terlebih dahulu mengkaji apa sebenarnya perkara yang tersirat di sebalik amalan itu.

Suatu hari, saya pernah terdengar seorang niqobis ditegur oleh seorang adik, "Wahhh, pakai purdah, tapi baju colourful, ni mesti orang Malaysia ni.."

Terpukul. Memang amat terpukul. Sejak itu saya mula mengkaji dan mencari ilmu mengenainya. Hari ini, di dalam negara saya sendiri iaitu Malaysia, saya lihat ramai perempuan yang telah mula berniqob. Alhamdulillah. Tetapi, saya agak keliru dengan konsep yang dibawa.

Wajahnya tertutup rapi, tetapi pakaiannya walaupun jubah, walaupun berwarna hitam, masih ada lip-lap lip-lap, masih ada bling-bling, masih ada bunga-bunga, yang berwarna-wari apatah lagi.

Ditambah lagi dengan maskara setebal 8 inci, belum dikira upload gambar lagi.

Bila difikirkan semula, tafsiran bagi sikap seperti itu sebenarnya adalah :

" SAYA MALU DAN MERASA MURAH SEKALI ANDAI WAJAH SAYA MENJADI TATAPAN AJNABI, TETAPI SAYA TIDAK KISAH JIKA PERHIASAN DAN PAKAIAN YANG ADA PADA TUBUH BADAN SAYA DILIHAT ORANG BAHKAN LEBIH SERONOK LAGI KALAU DIPUJI.."

Adakah betul itu sebenarnya konsep berniqob sepertimana yang dibawa oleh ummul mukminin kita?

Bagi diri saya yang tiada ilmu ini, saya memandang perbuatan memakai niqob dan menutup aurat dengan sempurna itu fungsinya bukanlah sekadar untuk menutup sahaja. Signifikan utamanya adalah jauh lebih besar dari itu. Ia sebenarnya adalah sebuah latihan untuk hati kita, untuk menundukkan nafsu orang-orang perempuan yang sememangnya amat suka dipandang dan dipuji. 

Ia mengajar kita untuk bagaimana bersederhana dan merendah diri. Kerana itulah pemilihan warna dan perhiasan yang terdapat pada diri seseorang perempuan itu. 

Saya suka memetik kata-kata ulama' ini;

"Seorang perempuan itu, sebaik-baiknya apabila ia turun ke tengah-tengah orang ramai, orang tidak perasan pun akan kehadirannya, di situ, lantaran sederhananya pakaian dan perhiasan yang ada pada dirinya.."

Sebab itulah bagi saya, kalaulah di dalam hati kita masih lagi ada keinginan untuk berhias da dipuji orang;

"Eh, lawalah maskara awak.."

"Eh, cantiknya manik-manik pada jubah awak ni.."

"Wahhh, beg tangan Gucci ke tu.."

Itu membawa maksud,  masih jauh lagi perjalanan mujahadah hati kita. Dan kerana itulah juga saya fikir, kita perlu mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan untuk menjadi niqobis sepenuh masa. Kerana niqob bukanlah tentang menyembunyikan wajah, ia sebenarnya tentang menyembunyikan hati.

Adakalanya, saya lebih menghormati perempuan yang tidak berniqob, tetapi pakaiannya cuma sederhana, warnanya tidak membuat orang memuji-mujinya, dan perhiasannya pula tidak membuat orang terteleng-teleng memandangnya. Hatinya rendah, tidak berkehendak kepada pujian mahupun pandangan orang, baik dari lelaki mahupun perempuan. Memandang kepadanya sahaja pun, hati kita turut merasa rendah dan insaf, tidak langsung menimbulkan keinginan di hati untuk kelihatan lebih cantik. 

Istimewa dan mahalnya perempuan seperti ini, kerana kecantikannya disimpan elok-elok, buat tatapan seorang insan yang bernama suami sahaja. 

Pilihan ada di tangan kita, sama ada untuk menjadi seindah-indah perhiasan dunia, atau sebesar-besar fitnah.

Saya tidak kisah andai ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini, kerana saya berbicara ini sambil membayangkan agaknya bagaimanalah sekiranya ummul mukminin masih ada bersama-sama dengan kita pada hari ini.

Maafkan saya, andai saya telah mengguris hati sesiapa.

Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang tidak baik itu datang dari kejahilan diri saya sendiri.

Allahu A'lam..   




Tuesday 25 October 2016

GENG USRAH

Kelompok..

Kau akan jumpa kelompok pertama; yang merasa diri mereka sentiasa dekat dengan Allah, yang perasan diri mereka dipilih Allah.

Dan kelompok kedua; iaitu mereka yang "smokers", "drinkers", "couples", dan sebagainya yang probably jauh dari Allah.

Kau nak baca fikrah kelompok kedua ni, kau perlu terlebih dahulu masuk dalam dunia mereka. Teaching people not only by saying itu ini haram dan halal. But but showing them something yang relevan dan masuk akal dalam fikiran mereka, dan masukkan diri kau ke dalam alam mereka.

Kau tak akan tahu mengapa dalam dunia ni, wujudnya kelompok seperti mereka yang jauh dari Allah ni.

Yang kau tahu, " Astaghfirullah, mohon bertaubat, neraka Allah itu panas". Kau tak akan tahu apa sebab mereka tidak jadi seperti golongan kelompok pertama.

Everything happen must be a reason with it. Takkan berkocak air di perigi, jika tidak jatuhnya timba. Takkan bergoyang dedaun di pohon, andai tiada angin yang mengusik.

Saya ada kenalan yang "smoking", "drinking", "coupling", "lepaking", "free hair", berzina, colour rambut, colour kuku, berpakaian tak cukup kain, solat dan puasa jauh sekali. and I know why they become them.

"Sebab kami dianggap sampah dan tidak layak nak duduk bersama golongan yang sudah konfem masuk syurga"

"Sebab kami ni busuk dan jijik pada pandangan mereka. Helaian rambut merah hijau kami ni terlalu silau untuk mereka pandang. Sakit mata"

"Sebab bau-bauan kami sahaja sudak cukup memualkan hati mereka, dan menjelekkan pandangan mereka dan menyebabkan mereka bergaul dalam kelompok mereka sahaja"

Sepatutnya, di mana kelompok pertama ini berada, di situ juga seharusnya kelompok kedua juga patut berada. 

Andai waktu kau berusrah tu, atau berdaurah, dan di sebelah kau hanya ada golongan yang warak, yang pegang tafsir quran 24 jam, yang pakaiannya sudah terlebih cukup meter, there must be something wrong.

Yang perlu ada di sebelah kau waktu itu, adalah golongan yang terdiri daripada kelompok kedua. Iaitu orang-orang yang masih jahil yang dahagakan ilmu Allah.

Kau perlu hulur tangan pada mereka, sambut mereka, pimpin mereka, duduk bersama mereka, ajari mereka, layan mereka sebagaimana kau anggap mereka adalah seperti diri kau waktu kau jahil dahulu.

Maka kau akan sedar, bahawa mereka yang kau pandang jelek tulah sebenarnya yang menjadi pilihan Allah.

Kau pernah jadi seperti mereka? Tak pernah? Oh sebab tu kau kata kau dipilih Allah?

Wahai! Sedangkan si pelacur yang memberi minum anjing pun Allah masukkan ke dalam syurgaNya, sedangkan hamba Allah yang telah membunuh 99 nyawa pun diampunkan oleh Allah, manakala ahli ibadah yang sentiasa bermegah dengan amalnya tercampak ke dalam neraka dalam keadaan hina.

Ketahuilah, bahawasanya kita masuk syurga adalah kerana rahmat Allah, bukan totally kerana amalan kita pun. Kita kena sedar, bahawa dalam setiap amalan kita, even just a simple act of kindness pun, perlu tanamkan perasaan "Khauf" dan "Raja' " yakni Takut dan Harap. Kita perlu takut kalau amalan kita tidak diterima Allah, seterusnya membuatkan kita lebih bersungguh-sungguh dan berharap agar amalan kita diterimaNya. Bukan mendabik dada dengan apa yang kita buat.

Tiada pendosa yang tiada masa depan.
Tiada hamba soleh yang tidak punya masa silam.

Kerna hakikatnya, kita semua pendosa.

Don't judge others just because they sin differently than you.

Moga slogan "Ukhuwah Fillah" yang sering disebut-sebut dalam bulatan gembira, dapat dipraktikkan pada semua insan, bukan hanya terbatas pada sahabat sejemaah kita sahaja. Kerana siapa pun mereka, mereka masih saudara seislam kita yang perlu diselamatkan.

Moga Allah redha.

Monday 24 October 2016

HUKUM SEBAR GAMBAR MAYAT DALAM MEDIA SOSIAL

Apabila kita berurusan dengan orang ramai, ada etikanya.

Begitu juga apabila kita berurusan dengan kematian. Ada adabnya, ada santunnya.

Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia, yang tinggal hanyalah jasadnya yang kaku di tempat dia meninggal, tanpa boleh bergerak untuk menutup segala keaiban dirinya yang tersingkap.

Namun, masayarakat kita hari ini ramai sangat yang pelik.

Suka benar mengambil gambar mayat orang yang sudah mati, lalu menyebarkannya di media sosial. Niatnya untuk memberitahu orang lain ada berlaku kematian, ada berlaku kemalangan maut, dan sebagainya. 

Namun, perlukah mengambil gambar mereka dalam keadaan tak sepatutnya lalu letakkan di Facebook?

Kenapa? Untuk apa?

Masalah masyarakat kita sekarang, suka sangat sebar sesuatu berita yang mereka rasa hangat. Biar dapat Like dan Share yang banyak, tanpa menghiraukan perasaan keluarga orang lain, perasaan keluarga si mati yang tengah bersedih.

Sebab itu, saya cukup terkilan setiap kali melihat masyarakat menyebar luas gambar-gambar kemalangan yang mengakibatkan kematian contohnya, atau gambar pembunuhan, mangsa lemas, mangsa rogol, dan sebagainya di media sosial terutama dalam aplikasi Whatsapp. 

Kematian bukanlah satu perkara yang boleh dipertontonkan kepada umum!

Jika rasa nak bagitahu juga ada berlaku kemalangan, cukup sekadar kongsikan gambar kenderaan yang terlibat dengan kemalangan atau censoredkan gambar dan keadaan mangsa yang mengaibkan.

Saya masih ingat sewaktu saya masih kecil, sesampainya van jenazah di perkarangan rumah, saya terus melihat orang ramai berkerumun dan berpusu-pusu mengambil gambar saudara terdekat saya yang meninggal dunia akibat kemalanagan. 

Sehingga kami ahli keluarga si mati sendiri terpaksa duduk di luar rumah kerana rumah kami sudah sedia penuh sesampainya kami dari hospital. 

Selepas itu, saya melihat masing-masing manusia di tempat itu, berkongsi gambar dengan orang lain dengan menggunakan aplikasi Bluetooth dan Infrared tanpa fikir perasaan kami sekeluarga.

Hal ini terjadi juga sama ada di tempat kemalangan, hospital, hatta di dalam bilik mayat sewaktu proses post-mortem sedang dijalankan juga masih berdegil mahu mengambil gambar!

Kita sebagai masyarakat Muslim, usahlah memuat naik sebarang gambar atau video, dan jangan Share video atau gambar yang sudah sedia ada di laman sosial.

Bayangkan, jika di dalam gambar itu, adalah ibu bapa kita, kakak kita, ahli keluarga kita, apa kita rasa? Bila kita lihat orang ramai tberpusu-pusu ambil gambar mak kita tanpa sedikit pun perasaan bersalah, kemudian upload di Facebook untuk meraih Like dan Share yang banyak? Dan tiba-tiba gambar yang diupload pula viral di internet dengan tajuk-tajuk yang sensasi, apa perasaan awak? Apa perasaan ahli keluarga awak yang lain?

Tak suka kan?

Jadi hentikan budaya sebar gambar mayat!

Mungkin sekarang awak takkan faham perassan tu sebab awak tak pernah alami. Hanya orang yang pernah alami situasi seperti ini sahaja yang faham.

Itu belum sentuh lagi bila jiran-jiran dan sedara-mara yang menokok tambah cerita.

"We, aku dengar kapala dia putus eh?"

"Teruk we mayat yang eksiden semalam. Mesti banyak dosa mati macam tu.."

"Takut aku tengok gambar dia, teruk mayat dia.."

Rasulullah SAW bersabda :
1- " Barangsiapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya.."
(HR Al-Bukhari no 2442 dan Muslim no 2580 dari hadis Ibn Umar rdh serta Muslim no 2699 dari hadis Abu Hurairah rdh)

2- " Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya akan tetapi iman belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian menggibahi kaum muslimin, dan janganlah pula mencari-cari aib mereka, sesunggunhnya barangsiapa yang mencari-cari aib saudaranya, sesama Muslim, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya, dan barangsiapa yang Allah mencari-cari kesalahannya, maka Allah akan mempermalukannya meskipun ia berada di dalam rumahnya.."
(HR Abu Dawud no 4880)

Penjelasan dah bagi, dalil pun dah bagi. Lepas ni kalau buat juak tak tahulah nak kata apa. Lepas ni, jika kita terlihat orang upload gambar mayat di Facebook atau ada orang hantar gambar mayat terutama mangsa kemalangan jalan raya, mangsa rogol, mangsa bunuh, mangsa lemas dan sebagainya yang begitu jelas di Whatsapp, mohon tegur atau maki terus andai tak makan saman.

Wallahu A'lam..

Saturday 6 August 2016

BOIKOT IKUT TREND~

Kadang-kadang saya tak faham bila perhatikan sesetengah orang yang sangat bersemangat tukar ''Default Picture" (DP) whatsapp, facebook, instagram, dan update status dengan perkataan-perkataan seperti 


#MYINTIFADHAH



#WESUPPORTPALESTINE



#WELOVESYRIA



Aktif berflashmob, aktif berdemonstrasi, aktif berpersatuan yang bertemakan Palestin dan Syria, tayang gambar kanak-kanak Palestin yang mati ditembak dan dibom.



Tetapi pada masa yang sama, bila selak "locker" penuh dengan produk-produk makanan yang menyokong zionis laknatullah. Produk Nestle sebagai contoh yang paling ketara. Milo, Maggi, Nescafe dan sebagainya.



Setiap kali "hang out" dengan kawan-kawan, mesti singgah Mcd, lepas tu bajet minum kopi hipster kat Starbucks.



Adakah tukar DP ni hanya sekadar trend yang akan luput dimamah masa?



Itu belum sentuh lagi kalau makan di kafe atau mana-mana kedai makan, mesti order Milo, Horlicks, Nescafe, Neslo (Nescafe + Milo), semua ni produk Nestle. Setiap kali saya makan di kafe tempat saya belajar, bersepah orang order Milo. Hampir setiap meja!



Saya pernah bekerja di beberapa kedai makan setiap kali cuti semester, saya juga berpengalaman bekerja di kantin sekolah, dan saya berani jamin, hampir 90% orang Malaysia khususnya Melayu Islam yang makan di kedai, akan memesan Milo sebagai minuman utama. 



Tidak terkecuali warga pendidik, golongan ustaz ustazah, yang bertudung labuh mahupun yang berniqob, tak terkecuali juga golongan mahasiswa Islam. 



Kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna terbesar minuman Milo di DUNIA. Ulang balik, di DUNIA wo. Bangga tak? 



Fakta ini dijelaskan apabila Nestle menerima anugerah pingat emas untuk Malaysia-Canada Business Excellence Award pada tahun 2006. 



Dinyatakan dalam laman web itu, 



" Malaysia menggunakan 90% dari penggunaan Milo di seluruh dunia. Ianya amat popular sehingga hampir setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu tin Milo. Dan hampir mustahil untuk mencari restoran atau kedai-kedai makan yang tidak menghidangkan minuman Milo."



Dan pernyataan ini telah diakui sendiri oleh Pengarah Urusan Nestle Malaysia, Sullivan O'Carrol dalam akhbar The Star Online. 



Beliau berkata, 



" Milo telah berada di negara ini hampir 60 tahun dan rakyat Malaysia merupakan pengguna terbesar di dunia."



Malangnya setiap hirupan itu akhirnya diterjemahkan oleh Nestle sebagai peluru yang digunakan untuk menembak dada saudara kita di Palestin. Dan ini berlaku hampir setiap hari di Palestin, sedang kita begitu enak dan santai menikmati Nescafe sebagai minuman di waktu pagi dan Milo pada waktu malamnya.



Ada pula yang menikmati minuman Neslo, iaitu gabungan Neccafe dan Milo dalam satu gelas di mana kedua-duanya juga adalah produk Nestle. Gandingan dua produk ini barangkali memberi kepuasan berganda-ganda kepada peminumnya, di mana setiap tegukan itu serentak dengan bedilan berganda-ganda juga ke atas bumi Palestin oleh Yahudi Laknatullah.



Kalau makanan pula, mi segera berjenama Maggi di mana ia juga merupakan produk Nestle, terjual dengan megahnya di pasaraya, kedai makan, kedai runcit, hatta di kiosk tempat saya belajar juga ada.



Produk Nestle ni khususnya Nescafe dan Milo telah menyumbangkan keuntungan sebanyak 63% di Malaysia. Dan keuntungan ini digunakan oleh Nestle untuk membantu Israel melenyapkan bumi Al-Aqsa itu.



Hasil "jasa baik" kita semua ini telah membawa Nestle ke tahap yang tinggi sehingga kini.



Syarikat Nestle juga telah menerima Jublee Award, disampaikan oleh Perdana Menteri Israel sendiri iaitu Benjamin Netanyahu sebagai tanda penghargaan padanya yang telah berjasa kepada kerajaan haram tersebut, sama ada melalui perdagangan atau pelaburan.



Berjasa di sini bermakna individu atau organisasi itu telah membantu ekonomi Israel dan meningkatkan kewangannya untuk membeli lebih banyak senjata api untuk membunuh rakyat Palestin, menghalau mereka dari tanah air sendiri dan membina binaan haram di atas tanah yang dirampas.



Membeli produk Nestle bermakna membantu dan mengiktiraf kerajaan haram Israel. Setiap sen yang dibelanjakan untuk membeli produk mereka akan sampai kepada kerajaan haram tersebut. Dan Israel akan menyampaikan setiap sen yang kita berikan dalam bentuk peluru yang dibedil ke atas umat Islam Palestin.



Oh ye, setiap produk Nestle yang kita jamah itu juga mengandungi satu lagi kandungan ramuan yang terlindung, iaitu darah umat Palestin!



                                         ***



Dulu, saya pernah terserempak dengan beberapa orang mahasiswa yang singgah di kedai untuk minum. Saya lihat kesemua mereka memakai pakaian Palestin. Salah seorang daripada mereka adalah sahabat saya, lalu saya menyapa dia. "Dari mana?", lalu dia pun menjawab "Oh kami dari LRT Gombak, baru habis buat flashmob.." lepas tu saya pun mendengar pelayan kedai bertanyakan pesanan, "Kami nak order Milo ais 12 gelas ye..Haus sangat ni.."



Sebelum keluar kedai, saya sempat mendengar seloroh mereka, " Bro, jom lepak mamak minum Milo, esok nak sambung flahmob lagi.."



Lepas tu mereka ketawa bersama. Mungkin hati girang dah berjaya beri kesedaran kepada orang ramai tentang isu Palestin. Tahniah bro!