Friday 1 June 2018

Kenapa Mesti Malu?

 Waktu bulan ramadhan ni, nampak ramai manusia berlumba-lumba membaca Al-Quran..Ada yang membacanya di dalam train, ada yang membacanya sambil menunggu bas, ada yg membacanya di surau sementara menunggu waktu berbuka..Alhamdulillah, satu budaya yang bagus..
.
Cuma, saya agak terkesima apabila terbaca satu post daripada seorang "ustaz" yang mengatakan bahawa; buat amal perlu sembunyi-sembunyi, bimbang riak menyapa.. "dalam banyak-banyak waktu yang kau ada, kenapa masa dalam train jugak kau nak mengaji Quran? Nak menunjuk kat sape? Elok-elok dapat pahala, hangus terus.."
.
Ya Allah.. berbaik sangkalah..kadangkala perkataan kita sebeginilah yang membunuh niat baik orang lain untuk berbuat amal..orang akan jadi "takut-takut dan segan" untuk zahirkan benda baik..
.
Persoalannya, kenapa mesti malu? Zaman sekarang, orang buat dosa dengan selamba di depan kita. Akhirnya yang selamba itulah yang menjadi budaya. Budaya dosa. Yang buat baik pula, terpaksa menyorok-nyorok. Kalau buat amalan baik di depan orang lain, bimbang dituduh riak dan menunjuk- nunjuk..
.
Mahu bersedekah, terpaksa sembunyi-sembunyi. Mahu tegur salah orang pun rasa tidak berani. Mahu ajak orang buat amalan sunat, bimbang dikata poyo dan tidak ikhlas beribadat. Akhirnya, apa yang akan berlaku kepada masyarakat kita? Budaya baik sudah tidak 'nampak muka'. Budaya dosa sahaja yang berleluasa..
.
Sekarang, mari kita keluar dari kepompong untuk menyelamatkan diri kita sahaja. Kita kena fikirkan sesuatu yang lebih besar. Masalah ummah. Zaman sekarang ni, budaya dosa terlalu banyak berleluasa. Yang buat jahat sudah tidak rasa apa-apa, malah berbangga menayang dosa..
.
Sedang yang hendak buat baik masih sibuk hendak jaga niat sahaja. Padahal menzahirkan teladan yg baik kepada orang lain itu maslahahnya lebih besar. Kita dapat pahala atas amalan kita, dan kalau ada orang yang terbuka hati untuk menurutinya, pahala kita berganda-ganda.
.
Ya, kita kena cuba wujudkan budaya baik dalam masyarakat kita. Untuk wujudkan budaya ini, kita perlu berani, tidak perlu sembunyi-sembunyi. Yang penting niat kita..
.
Ikhlas tidak ikhlas lain cerita, yang penting itu budaya yang baik. Kita mesti sokong. Kenapa apabila ada usaha membuat kebaikan, ada sahaja yang mempertikaikan? Padahal, kalau ada yang melakukan kejahatan mudah sahaja kita berlepas tangan malah ada yang membela dan menyokong!
.
Kesimpulannya, ikhlaskan hati membuat kebaikan dan serulah orang lain juga. Apabila budaya baik sudah menjadi biasa, insya-Allah, kita yang buat pun tidak akan rasa istimewa. Jadi, masalah riak, sum'ah dan ujub dengan amalan sendiri pun secara automatik akan hilang begitu sahaja.
.
Selepas ini, jangan malu-malu lagi baca nak al-quran depan orang, jangan malu lagi pamerkan kebaikan. Akan tetapi jaga niat kita. Niatkan agar menjadi teladan. Niatkan untuk dapat pahala berganda. Sama-sama kita berusaha untuk mewujudkan budaya kebaikan di mana- mana sahaja. Itu yang akan membentuk masyarakat kita. Wassalam..

Thursday 29 March 2018

JANGAN RASA KITA LEBIH BAIK DARI ORANG



"Bulan2 puasa ni lah, baru sibuk nak pergi masjid..tu pun aku tengok solat terawih je..selama ni solat fardhu, ada dia solat kat masjid?? takdeee.."

"Musim2 exam, baru sibuk buat solat sunat..nampak sangat tak ikhlas nak buat ibadah.."

"Tu tak pakai tudung, tapi solat..neraka kirim salam..kena viral ni.." (sambil ambik video malukan orang)

"Eh tu bukan ke si Minah, pelik nau tetibe je dah pakai tudung labuh sekarang, dia dulu kaki clubbing tu..nak tutup dosa la tu.."

"Tu tengok pakcik tu, dah tua-tua pun solat salah..apa benda lah..buat malu je baik tak payah pergi masjid..kena rakam ni tunjuk kat orang.."

"Tu sedekah time ada orang, nampak sangat nak menunjuk..hek elleh, aku tengok seringgit je..poyo lebih.."

"Mengaji kuat2 time ada orang je tu, nampak sangat la nk menunjuk tarannum suara dia tu, elleh bukan sedap pun aku dengar..suara aku lagi sedap.."

Persoalannya,
hati kita ada masalah apa sebenarnya dengan orang?

Kadang, aku pelik dengan perangai sesetengah manusia..Manusia suka pada benda-benda baik..Tapi bila ada perkara baik, artikel yang baik, cerita yang baik, takde pulak nak share sampai jadi viral..Takde pulak nak dijadikan topik time bersembang dengan kawan-kawan..

Manusia tak suka kejahatan, tapi kenapa cerita yang mengundang dosa mengumpat, atau lebih teruk lagi memfitnah itu jugaklah yang kita jaja, kita share, kita like sampai jadi viral..Sangat pelik..Tapi itulah hakikatnya manusia zaman sekarang..

Nak buktikan apa? Nak buktikan orang lain tu jahil, jahat? Atau nak tunjuk diri kita baik? Cubalah cari sekecik-kecik kebaikan dalam setiap perkara. Kadang-kadang kita rasa kita dah cukup baik hanya kerana kita tak buat apa yang orang tu buat..Jangan rasa diri kita lebih baik hanya kerana dosa kita berbeza dengan mereka..

Banyak sebenarnya hikmah yang kita boleh renung dari perubahan dan amalan seseorang yang kita nampak, tapi kenapa yang buruk jugak kita nak cari? Bukankah itu menggambarkan yang hati kita sebenarnya yang buruk, busuk?

Sudah-sudahla tu cari buruk orang..Dosa kita sendiri masih banyak belum terampun, taubat kita sendiri masih bertangguh-tangguh, aib kita sendiri masih banyak Allah tutup..

"Eh korang ingat tak dia ni dulu kaki clubbing, hari-hari balik rumah mabuk, bawak balik jantan..haa dialah yang pakai tudung labuh sekarang ni.."

Nama pun dulu..Kenapa nak diungkit-ungkit? Bila orang tu kaki clubbing kau nerakakan dia..Bila dia dah tak ke sana, dia dah berubah, kau ungkit balik nak bagi semua orang ingat..Kau nak apa sebenarnya?

Yang pastinya dia dah jadi lebih baik..Tapi kita? Masih lagi tak berubah-ubah terbenam di takuk yg lama..

Ye, memang, kau mampu melangkahkan kaki ke masjid setiap hari, solat jemaah tak tinggal, luaran kau mungkin nampak zuhud dan tunduk patuh..Tapi dalaman kau sedang bernanah dengan ujub dan riyak..

Yes, kau memang tutup aurat sempurna dari atas ke bawah, bserstokin, berstongan lengkap, zahir kau memang tidak nampak, tapi batin kau mungkin sedang bengkak..Bengkak dengan pujian dan kebanggaan..

Hati-hati!

Boleh jadi, kaki maksiat yang menangisi secebis taubat itu lebih baik daripada si taat yang berasakan dia sudah hebat dan sudah selamat..

Kau tahu siapa yang berada di neraka paling bawah?

Bukan si kafir yang menyekutukan Allah..Tapi si munafik..Yang berpura-pura baik depan manusia, tapi bila dia duduk seorang diri tanpa ada seorang pun manusia yang melihat, dialah yang paling syaiton sekali..

Dia fikir mampu memanipulasikan pandangan manusia terhadapnya, tapi dia lupa..syurga dan neraka itu Allah yang punya..Dan Allah tahu setiap inci keluk busuk hatinya..

Banyakkan muhasabah hati sendiri..Jangan sibuk nak mengintai aib orang sana sini..Hidup ni takda masa nak nilai orang..Nilai dulu hati sendiri..

Boleh jadi, keikhlasan si penzina yang membuang duri di jalanan, asbab Allah merahmatinya dan memberi kunci kepadaNya untuk masuk ke syurga..

Dan boleh jadi, kotoran riak dan ujub yang kau baja dalam hati, asbab pohon amalan kau rosak menjadi debu di hari akhirat nanti!

Thursday 22 March 2018

JOM MUHASABAH DIRI

Kawan saya beritahu dah berapa tahun dia tak dapat mengerjakan umrah. Sudah berapa kali dia ke sana. 

"Untuk apa kau buat umrah selalu?"
Saya tanya dia..
"Buat amal ibadatlah.."
Marah aje muka dia.....

"kata Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya. Dia ada cakap tak pergi umrah selalu tu  amalan yang tidak terputus?"

Kawan tu diam.

"Ada duit lebih tu sedekahlah. Sedekah sekolah tahfiz, bantu anak.yang mahu sambung belajar, beli tanah kubur wakafkan. Amalan yang tidak terputus kalau kau kaji semuanya berkaitan dengan orang lain. Orang lain yang dapat manfaat dari apa yang kita ada. Harta kita ada kalau kita gunakan untuk diri kita sendiri sahaja. Esok-esok Allah tanya kita balik. Aku kongsi rezeki dekat kau. Kau bolot semua. Kau senangkan diri kau, walau duit tu buat pergi.umrah pun kalau ada adik beradik.yang susah Allah tanya juga tau? Kalau ada jiran yang susah pun Allah tanya juga.."

Kawan tu terkebil-kebil. Merenung muka saya

"Aku sebenarnya kalau bulan ni tak ada orang datang minta tolong aku susah hati. Tertanya tanya Allah marah aku ke sampai Allah tak hantar dekat aku orang minta tolong. Bila Allah hantar orang susah minta bantuan dekat kita bermakna Allah mahu kita buat pahala. Kita kadangkala.tak ada masa nak cari orang susah ni"

"Betul juga kata kau ni ya...."

"Berapa ramai antara kita yang kumpul duit untuk pergi umrah anak beranak. Mesti ramaikan begitu? Tetapi berapa ramai yang kumpul duit untuk wakaf air, wakaf masjid, bantu anak anak belajar. Tolong orang susah?"

Akhir perjumpaan kami. Kawan itu peluk saya sambil berkata

"Insaf aku jumpa kau ni".....

Friday 2 March 2018

DAKWAH HAK SEMUA MANUSIA



Teringat dulu masa pernah kerja kat satu restoran eksklusif kat KL..ada sorang customer perempuan, persis datin..berpakaian agak mewah dari tudung sampailah ke kasut..

Tiba-tiba saya terpandang, nampak rambut dia belah belakang terjulur ke luar..niat hati nak menegur..tapi takut pulak kena marah..tapi bila fikir balik, kenapa saya perlu buruk sangka dgn dia..sedangkan saya tak cuba pun lagi..

Lalu saya pun jalan menghampiri beliau..dan saya terus menyapa dia sambil tersenyum..

"assalamualaikum puan..maaf, rambut puan kat belakang terkeluar sikit.."

Terus dia pandang saya atas bawah..ingatkan dia nak marah..

Tiba-tiba..

"eh laa yekee..tak perasan pulak..awak boleh tolong masukkn tak..tangan saya tak sampai pulak.."

"boleh puan takda masalah..tapi puan takpa ke saya pegang rambut puan..bukan apa takut puan tak selesa pulak.."

"eh takpeee..boleh-boleh..masukkan je..terima kasih ye tegur.."

"dah puan..cantik dah..lagi cantik dari tadi.."

Dia senyum..

"awak tahu, awak orang pertama yang saya tak kenal, dan saya bagi pegang rambut saya..thank you.."

See? kebanyakan kita, takut nak buat dakwah sebab perasaan sangka buruk kita ni terlalu kuat dekat golongan2 sebegini..

Golongan yang bagaimana?

Golongan yang kita rasa tidak perlu ditegur, sebab neraka dah kirim salam kat dorang..Sedangkan, secara hakikatnya, golongan sebeginilah yang lebih layak dan utama untuk ditegur dan didakwahkan..

Kita takut, kalau kita tegur..kita kena marah..kita takut, kalau kita tegur, dia tak terima..kita takut itu..kita takut ini..sedangkan kita tak pernah cuba pun nak dekat dengan dorang!

Lepas ni..cubalah ubah..ubah moga perasaan sangka baik kita sentiasa melebihi sangka buruk kita pada manusia..dakwah saja pada sesiapa tanpa mengira siapa mereka..kerana fitrah manusia itu, adalah suka pada kebaikan..☺

#DakwahHakSemuaManusia

Thursday 1 March 2018

DAIE YANG SYOK SENDIRI



Bila kita nampak ada orang melayu islam yang tak tutup aurat.

Bila kita nampak ada remaja islam yang tak solat, tak tahu solat, tak tahu mandi wajib, tak tahu mengaji.

Bila kita nampak remaja islam minum arak, berjudi, bertatu, berzina.

Bila kita nampak kawan-kawan sekeliling kita terlalu asyik ber"couple".

Kita kena rasa sedih.

Pertama, rasa sedih sebab kita pentingkan diri sendiri dan tak cuba nak sampaikan dakwah kepada mereka.

Kedua, sebab kita tak doakan mereka, malah kita bersangka buruk hanya dengan melihat luaran mereka saja.

Yang kita tahu, pandang jelik, pandang jijik, pandang hina pada mereka. Kita berbisik dalam hati sendiri "teruknya mereka" atau "ish mak ayah tak ajar ke".

Yang kita tahu, kitalah manusia yang terbaik atas muka bumi, kitalah yang paling banyak buat kerja untuk islam, kitalah yang paling banyak buat dakwah.

Sedangkan, dalam kita seronok kecapi nikmat "bercurhat" dalam usrah, kita tak pernah pun pelawa "roommate" sebelah "compartment" kita untuk "join" sekali..

Dalam kita seronok tadabbur quran bersama-sama dgn sahabat-sahabat sorga, kita tak peduli pun kawan-kawan kita masih ada lagi yang merangkak-rangkak mengaji, ada yang tajwidnya masih tunggang langgang.

Dalam kita kecapi nikmat solat jemaah di masjid, hadirkan diri ke ta'lim, daurah, atau majlis-majlis ilmu yg lain, kita tak pernah pun rasa nak berkongsi apa yang kita dapat dan rasa, pada orang-orang sekeliling kita. Malah kadang kita berasa rimas dan benci bila ada sahabat-sahabat kita sendiri yang kita anggap sebagai "orang luar" dalam kumpulan kita, atau lebih tepat lagi dalam jemaah kita, di mana bila mereka minta kita berkongsi input tentang apa yang kita peroleh dari majlis-majlis ilmu yang kita dah pergi, kita berpaling muka, kerana kita rasa mereka tidak layak untuk tahu.

Yang kita tahu, lepas usrah, wajib selfie kemudian update status

#doneusrah
#usrahbest
#rugisiapayangtakdatang

Muhasabah, kadang, punca masyarakat luar masih ramai tak kenal islam dan iman, adalah disebabkan diri kita yang masih lagi syok sendiri dan berangan-angan dengan novel tarbiyah cinta bersulam fantasi, yang lalok dengan ukhuwah fillah bercipika-cipiki, tanpa berpijak di bumi realiti tarbiah dan dakwah itu sendiri.

Ayuh bangkit! masih banyak lagi kerja yg perlu dibuat!!

#FastabiqulKhairat

Saturday 6 January 2018

BIARLAH APA ORANG NAK KATA



Ada orang luah..

"Duit judi yang saya menang ni kadang saya buat sedekah..tapi orang dok kata macam2..kata saya tak cukup sorang makan duit haram dok pi bagi orang lain makan sama..buat apa nak sedekah dah lepas ni..saya memang jahat.."

😇

first sekali kita tanya balik diri kita..kita buat baik sebab nak dapat redha siapa? redha Allah ke redha manusia? bukan mereka yang bagi kita pahala..bukan mereka yang boleh masukkan kita dalam syurga..tapi Allah..bukan amalan mereka yang dapat selamatkan kita "nanti", tapi amalan kita sendiri..

so kalau orang cakap macam tu, ambik yang positif..yang baik teruskan, yang jahat slow2 tinggalkan..orang kata kat kita main judi baik tak payah sedekah, so kita jangan tinggal yang sedekah..kita tinggal yang judi..sebab sedekah tu baik, judi tu yang tak baik..yang sedekah tu tak berdosa, sedekahlah takpa..takda masalah..yang masalahnya judi..

sama jugak orang kata kita pakai tudung labuh tapi mengumpat..so jangan tinggal yang tudung labuh..sebab tudung labuh tu benda baik..tinggalkan yang mengumpat..sebab yang masalah tu mengumpat..tudung labuh takda salah apa..

orang dok kata kat kita.."diri hang pun tak betui..sibuk nak dakwah orang, hang pun bukan pakai stokin pun, dok pakai tudung pendek ja aku tengok.." takpa..yang dakwah tu teruskan..yang hat tudung pendek dengan tak pakai stokin tu yang kene ubah slow2..sebab dua benda tu yang salah..dakwah tak salah apa..dakwahlah..

lepas orang tegur.."kau ni solat pun tak betul, sibuk nak solat jemaah kat masjid.." terus kita taknak pergi masjid..salah tu..sepatutnya betulkanlah solat yang salah tu..bukannya tinggal terus solat jemaah kat masjid..sebab solat jemaah kat masjid tak salah..

sentap dengan kalam murabbi.."join usrah tapi couple.." lepas tu merajuk terus tak datang usrah..orang jangan tinggalkan usrah..usrah tu baik..tinggalkan couple..couple tu yang tak baik..

ramai orang salah faham..bila kena tegur, dia tinggalkan yang part baik..yang hok jahat tu dia teruskan buat..lepas ni tukar..yang benda baik mana2 kita dah buat, teruskan..yang bahagian jahat slow2 kita ubah..orang nak mengata jugak lepas tu biaq pi depa..tak luak pun pahala kita..

dan yang paling penting solat jangan tinggal..jahat macam mana pun solat jangan tinggal..sebab orang yang jaga solat ni, Allah jaga dia..Allah sayang dia..insyaAllah sama2 berubah ke arah yg lebih baik..kita manusia semua sama je..takda yg membezakan kita semua kecuali iman dan takwa..dan yang boleh nilai kedua2 tu hanya Allah..bukan manusia macam kita..😊

#PerbaikiDiriDanSeruOrangLain

Thursday 28 December 2017

MAKNA REZEKI



Rezeki tu bukan bermakna kau dapat apa kau nak. Tapi bila kau terima apa yang Tuhan beri. 

Kau belajar tentang sirah. Tahu Mariam tak berkahwin tapi dapat anak. Itu rezeki dia. 

Kau tengok pula sirah Aishah. Kahwin tapi tak dapat anak. Itu pula rezeki dia. 

Tuhan hantar Musa ke rumah Firaun sebagai anak angkat untuk membawanya ke syurga. Tapi tetap juga Firaun menjadi manusia paling celaka yang memilih neraka. 

Tuhan hantar Nuh untuk menyelamatkan kaumnya tapi anak isterinya sendiri derhaka dan enggan terima. 

Pelajari sesuatu dari kisah-kisah seperti itu. Sungguh. Rezeki masing-masing tak sama. Semua ada pro dan kontranya! 

Orang yang ada suami, ada isteri, ada anak ni bermakna ada tanggungjawab juga. Mudah dapat pahala. Tapi mudah juga dapat dosa. 

Yang tak bertemu jodoh, yang tak dikurniakan zuriat pun satu rezeki juga. Rezeki terlepas tanggungjawab dan risiko nak menjawab depan Allah nanti. 

Jadi, sebelum kau terus mengeluh tentang itu ini, kena faham dulu konsep rezeki. Ada, tak semestinya untung. Tak ada, tak semestinya rugi. 

Kau dapat apa kau nak, tak semestinya kau boleh terus bergembira. Kau tak dapat apa kau nak, tak semestinya kau tak boleh bahagia. 

Takdir Allah ni misteri sifatnya. Entah-entah airmata redha yang kau titiskan dalam mengharung kecewa itulah yang menghanyutkan kau ke syurga. 

So..again and again.. 

"Rezeki tu bukan bermakna kau dapat apa kau nak. Tapi bila kau terima apa yang Tuhan beri."

Ya! Yang penting, kau percaya.. kalau dah itu takdir kau, itulah yang sebaik-baiknya. 

Kau hanya akan bahagia kalau kau terima. 

Percaya dan terima.

Thursday 7 December 2017

KAU YANG MANA SATU?



Memang..

Manusia memang tak boleh lari dari buat silap..Setiap orang pasti pernah melakukan dosa..

Kecil atau besar..
Tertutup atau terbuka..
Sengaja atau tak sengaja..

Soalannya sekarang,

Antara banyak2 golongan pendosa..

KAU YANG MANA SATU?

Ada golongan yang melakukan dosa, dalam keadaan dia sendiri sedar, yang itu adalah dosa..

Dia belajar hukum-hakam, halal haram..

Tapi ilmunya tiada amal..

Tahu hukum meninggalkan solat itu sebesar-besar dosa, tapi masih degil taknak solat..

Tahu batasan aurat bagi seorang perempuan adalah seluruh anggota kecuali muka dan telapak tangan..Lima tahun sekolah agama pakai tudung labuh pakai stokin, tapi sayang..makin lama tinggal sekolah makin singkat pakaian..

Ilmu itu ada, tapi tidak diamalkan..

Ibarat beli pinggan mangkuk mahal-mahal, hanya untuk dipamerkan di almari kaca saja tanpa digunakan..

Ada golongan yang buat dosa, tapi disebabkan dia malas belajar, dia jahil, dia tak tahu pun benda tu dosa..

Apabila ada orang mahu mengajar, dia tutup telinga..

Alasannya, 

"Aku sibuk banyak kerja..nanti dah tua aku pergilah masjid belajar agama.."

Dan akhirnya, nikmat dan istidraj sudah tidak dapat dibezakan lagi..

Tanpa dia sedar, tiap detik yang berlalu, menandakan semakin singkat hayatnya untuk bertemu pencipta..entahkan esok..entahkan lusa..

Ada orang yang berbuat dosa, dan dia malu untuk dedahkan dosa dia pada orang lain..

Di depan orang ramai..
Di facebook..
Di instagram..
Dialah ustaz..imam muda..daie..

Tetapi di belakang orang,
dialah yang paling fasik sekali..

"Lepas tengok video xxx ni aku delete lah bukan orang tahu..nanti aku delete la history lepas tengok.."

Itu belum masuk..
Dosa2 yang berpunca dari penyakit hati lagi..

Yang hasadnya..yang ujubnya..yang riaknya..yang takabburnya..

Sesetengahnya pula, tak tahu apakah itu perasaan malu..

Depan orang, belakang orang..
sama saja tiada beza..

"Biarlah..asalkan kami tak hipokrit..ada je orang yang pakai tudung tapi perangai teruk"

"Kubur masing2 kot.."

"Tiada paksaan dalam agama.."

"Tunggu saya dapat hidayah dan ikhlaskan hati dulu baru saya pakai tudung.."

Sehingga menggunakan hujah2 agama, untuk mempertahankan dosa masing2 yang sudah terang lagi bersuluh..

Ada juga golongan yang memilih-milih..

Yang mana dia rasakan dosa besar, dia tinggal..Yang mana dia rasa dosa kecil, dia buat..

"Orang islam mana boleh makan babi! haram!!"

"Takpa sayang, kita couple pegang2 tangan sikit je, bukannya berzina pun..tengok wayang je pun..takda apalah..sikit je..nanti kita nak kahwin kan.."

Mungkin dia lupa..pesanan nabi SAW dalam kbutbah baginda yang terakhir..

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara2 besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara2 kecil.."

Dia lupa bahawa dosa ini ibarat titik2 hitam..

Setiap kali berdosa, titik2 hitam ini akan muncul..

Sedikit demi sedikit, hingga menutup segenap ruang dan dimensi hati..

Sehingga akhirnya, hatinya menjadi buta..tidak dapat melihat dan membezakan lagi..mana yang haq, mana yang batil..

Dan ketahuilah, kesemua dosa yang dilakukan di dunia..walau sebesar zarah..pasti akan diadili dan dihukum..

Balasan ngeri dan azab seksa akan menanti buat semua golongan pendosa tadi..

KECUALI SATU..

Golongan apakah itu??

Merekalah golongan PENDOSA, yang apabila mereka melakukan sesuatu dosa..

Mereka SEGERA BERTAUBAT..dengan TAUBAT NASUHA..

"Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah juga yang Maha Pengampun, lagi Maha mengasihani.."

(Surah Az-Zumar : ayat 53)

Jadi, sekali lagi aku ingin bertanya..

Antara seramai2 golongan pendosa..

Kau yang mana satu??

"Aku........"

Credit karya asal: Abeben Artworks

Saturday 28 October 2017

HUKUM BERCOUPLE



"Bercinta", "Bercouple", "Berikhtilat" dan sebagainya mempunyai takrifan berbeza dan sangat subjektif dengan merujuk kepada setiap individu.

Ada yang kata bercinta itu halal, sedang "couple" itu haram. Ada juga yang mengatakan kedua-duanya haram, sebahagian yang lain pula mengatakan ia harus namun bersyarat. Namun ada juga yang menjustifikasikannya dengan penggunaan kalimah "ikhtilat".

Bagi saya, istilah bercinta itu sendiri terlalu subjektif, berbeza mengikut pemahaman setiap orang dan apa yang mereka lakukan berdasarkan pemahaman masing-masing.
Ada yang menggunakan istilah bercinta, namun mereka tidak melanggar batas-batas agama. Jadi, adakah perbuatan tersebut diharamkan?

Ada juga yang menggunakan istilah "kami hanya berkawan saja", tetapi pergaulan mereka mengalahkan suami isteri, pun begitu adakah berkawan juga patut diharamkan?

Saya tertarik dengan satu kenyataan seorang penceramah sewaktu saya masih menuntut di zaman asasi dulu, beliau mengatakan dengan lantang bahawa; "Bercinta, berikhtilat dan bercouple itu haram".

Lama saya termenung selepas itu, memikirkan adakah bercinta itu haram secara keseluruhannya? Adakah langsung tiada ruang untuk manusia memanifestasikan cinta mereka kepada seseorang? Mengapa Allah mengurniakan rasa hati ini jika perasaan ini diharamkan secara terus?

Dalam Al-Quran, Allah SWT mengulang-ulang kalimah cinta sebanyak 76 kali. Apabila Allah sendiri meletakkan kalimah cinta sebanyak itu dalam Al-Quran, tentu sahaja perkara itu penting. Maha suci Allah! Dia tidak akan meletakkan sesuatu yang remeh-temeh dalam kitab-Nya sebagai rujukan umat keseluruhannya.

Perasaan cinta ini normal bagi seorang manusia. Perasan ingin mencintai dan dicintai adalah fitrah insani. Namun, naluri yang menjadi fitrah insani ini, mampu bertukar menjadi fitnah diri jika tidak dikawal dengan rapi.

Kata orang, cinta itu buta. Apabila sudah bercinta, bukan sahaja mata, malah hati juga turut menjadi buta. Yang buruk terlihat indah. Yang busuk terhidu wangi. Perasaan cinta ini umpama garam dalam masakan, perlu dibubuh untuk menyedapkan makanan, tetapi apabila berlebihan, mampu mengundang pelbagai penyakit dalam badan.

Seseorang akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya, dan alangkah baiknya jika kita salurkan perasaan cinta kita, kepada pemilik segala cinta di dunia dan akhirat iaitu Allah 'Azza Wajalla. Biarlah kita menjadi hamba, dan meng’abdikan diri pada yang sepatutnya terlebih dahulu.

Kemudian, barulah kita boleh memandu hati ini untuk mencintai mereka yang mencintai Allah. Apabila kita mencintai orang yang mencintai Allah, in shaa Allah cinta yang kita serahkan kepadanya itu, akan diserahkan kepada Allah. Lalu, jadilah kita insan yang saling mencintai kepada pencinta kebaikan. Itulah cinta yang utama!

Bagi saya, bercinta itu perlu bagi mengenali dengan lebih mendalam pasangan yang akan kita kahwini, hal ini bagi mengelakkan kita tersilap membuat keputusan malah menyesal di kemudian hari. Bercinta itu tidak salah, asalkan kita menjauhi segala perkara yang haram dan dilarang oleh agama. Berta'aruflah sekadarnya untuk mengetahui ciri-ciri umum bakal pasangan kita saja.

Namun begitu, Islam adalah agama yang syumul, ia tidak akan membiarkan penganutnya hidup tanpa sebarang panduan dan hanya berpaksikan hawa nafsu semata, agama Islam sendiri telah menggariskan beberapa tips dan adab ketika bercinta atau berta'aruf melalui kalam-kalam ulama' terdahulu dan kontemporari.

Rasulullah juga pernah bersabda, bahawa seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu beruntung.

Golongan asatizah telah menggariskan beberapa panduan bagi mengenali bakal pasangan kita berlandaskan syariat, antaranya dengan menyelidik latar belakangnya dengan cara yang sopan dan bermaruah.

Dalam era teknologi kini, bukanlah menjadi satu masalah sukar untuk kita mendapatkan maklumat mengenai bakal pasangan kita, kita boleh saja menyelidik mengenai dirinya melalui media sosial yang pelbagai, kita boleh mengenali perwatakannya, siapa ahli keluarganya, siapa rakan karibnya, bagaimana bahasa yang digunakannya di dunia maya itu.

Selain itu, kita juga boleh berhubung melalui orang tengah yang dipercayai akan akhlak dan agama mereka bagi merisik corak kehidupan dan juga keperibadiannya, seperti melalui keluarga, teman sekuliah, saudara-mara, guru, atau rakan sekerjanya. Jadi, bukan diri kita sendiri yang perlu berta'aruf dengan mendekati dan mengenali hati budinya secara berlebihan. Itulah yang dimaksudkan menyelidik secara bermaruah.

Namun begitu, dalam menilai ciri-ciri idaman bakal pasangan kita, kita juga perlu terlebih dahulu berusaha ke arah ciri-ciri tersebut. Hal ini diumpamakan bagai sekati sama berat, diuji sama merah. Usahlah mengharap bakal pasangan kita sempurna bagai malaikat andai kita sendiri solat subuh masih terlewat!

Bercinta tidak salah, tetapi ramai yang menyalahgunakan makna sesebuah percintaan untuk melakukan perkara yang ditegah oleh hukum syarak. Bertemu janji atau "dating" dalam gambaran yang mudah difahami hari ini, merupakan amalan yang sangat bertentangan dengan hukum Islam, misalnya menonton wayang bersama, berpegangan tangan, berdua-duaan, dan tidak menutup aurat sudah dianggap biasa. Sedangkan hukumnya adalah haram dan berdosa.

Selain itu, komunikasi yang tidak berkenaan juga perlu dikurangkan, kita juga perlu mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Elakkan dari membuang masa menelefon pasangan kita setiap malam. Elakkan juga komunikasi yang "mencagarkan" agama untuk kepentingan nafsu sendiri, misalnya dengan menelefon pasangan kita setiap dinihari untuk sama-sama bangun tahajud. Bahkan urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram sepatutnya dihentikan pabila menjelang malam.

Sedangkan isteri-isteri rasulullah selaku ummahatul mukminin yang mulia, telah diarahkan agar berselindung di sebalik tabir apabila berurusan dengan para sahabat yang diiktiraf iman mereka. Inikan pula kita yang tahap keimanan jauh panggang dari api berbanding mereka. Ingat! Niat tidak pernah menghalalkan cara, apatah lagi jika niat itu sendiri sudah terpesong berkiblatkan nafsu serta bertopengkan tipu daya syaitan.

Hati-hati dengan makhluk yang bernama syaitan ini, dia amat licik. Andai dia tidak mampu menghasut kita ke jalan maksiat, dia mungkin akan memanipulasikan taktik halus dengan menyuntik racun berhalusinasikan agama pada sanubari kita, supaya di mata kita tidak nampak perbuatan itu salah. Justeru, jangan terpedaya. Lebih baik kita kejut teman serumah kita untuk sama-sama tahajud berjemaah jika betul niat kita ingin berdakwah!

Tambahan pula, cinta itu letaknya di hati. Oleh sebab itu, jatuh cinta kerap juga disebut sebagai jatuh hati. Hati itu adalah raja yang mengawal seluruh anggota dan pancaindera manusia. Jika hati baik, maka baiklah seluruh jasad. Begitulah sebaliknya. Apabila kita mencintai seseorang, kita tidak akan tergamak membawa dirinya ke kancah maksiat. Kita tidak akan sanggup membuatkan dirinya bergelumang dengan dosa. Sebagai seorang muslim, cinta kita tidak sama dengan cinta seorang yang bukan muslim. Cinta kita di batasi syarak.

Justeru, jika kita telah berpuas hati dengan segala corak keperibadiannya, dan kedua-duanya sudah saling meredhai antara satu sama lain, maka segerakanlah dengan ikatan pertunangan. Ikatan ini mudah saja, cukup dengan persetujuan pasangan dan keluarga terdekat seperti ibu bapa kedua-dua belah pihak, sudah dikira sebagai bertunang. Pelamin tunang, hantaran, rombongan, kenduri dan lain-lain itu semua cuma adat.

Bertunang itu penting kerana dalam tempoh itu, tiada lelaki lain boleh mengganggu atau merisik pasangan kita. Dalam Islam, memikat atau melamar tunang orang hukumnya adalah haram. Andainya semua umat Islam faham akan hal ini, maka tidak akan berlaku istilah rampas kekasih orang.

Jaga batasan-batasan pergaulan ketika bertunang. Jika mahu keluar bersama atas urusan persiapan perkahwinan misalnya, mestilah berpakaian sopan dan menutup aurat, bawa sekali seorang mahram seperti adik atau abang kepada perempuan itu. Membawa budak kecil bersama tidak dikira sebagai membawa mahram. Mahram yang dimaksudkan ialah seorang yang waras, boleh mengenal pasti hukum halal haram dan mempunyai kekuatan untuk menegur.

Semasa melalui tempoh bertunang, tentukan dan pastikan terus sama ada kita dengan si dia sesuai bersama atau tidak. Jika sesuai, teruskan kepada perkahwinan. Jika tidak, putuskan tali pertunangan itu dengan baik.

Tiada istilah malu apabila putus tunang. Islam sudah menganjurkan kepada kita bahawa semasa bertunang, usah dikhabarkan hal pertunangan kita itu kepada orang ramai. Bertunang itu lebih baik dibuat secara diam-diam. Bukan dengan rombongan Cik Joyah yang masyarakat Melayu amalkan sekarang.

Bertunang itu adalah ikatan pengenalan, bukan kepastian. Hubungannya boleh diteruskan dan boleh juga diputuskan. Jika ramai yang mengetahui dan ikatan itu putus, maka akan membawa malu besar kepada diri sendiri dan keluarga. Jika tiada orang tahu, maka perkara seumpama itu tidak akan berlaku. Aturan Islam itu sangat mudah dan indah. Cuma kita sahaja yang kurang memahaminya.

Cinta ini, andai dibaja dengan hukum syarak, maka ia berbunga mekar penuh keberkatan. Perlu diingat, keberkatan hidup berkait rapat dengan corak kehidupan yang seseorang amalkan. Jika hukum syarak dipelihara dengan baik, maka in shaa Allah hidupnya berkat. Jika tidak dijaga, maka kemanisan dan barakahnya akan hilang sedikit demi sedikit.

Tuntasnya, percintaan itu biarlah dengan niat kita ingin berkahwin dengannya. Bukan sekadar "bercouple" dan berkasih semata tanpa sebarang matlamat dan hala tuju. Maksud ingin berkahwin yang saya nyatakan ini adalah seperti proses ta'aruf yang sekadarnya, kemudian segerakan dengan ikatan pertunangan dan teruskan kepada perkahwinan. Jika belum bersedia untuk proses-proses tersebut, maka usahlah melibatkan diri dalam hal-hal percintaan seperti "bercouple", kerana ia hanya akan mengundang dosa dari menghampiri pahala. Ia hanya akan menambahkan kemudaratan berbanding kerahmatan. Ia hanya membuang masa dan membazir usia dengan perkara sia-sia.


Moga kita semua mampu menjaga batas pergaulan dengan sempurna, kerana Allah telah berjanji, bahawa lelaki yang baik, untuk perempuan yang baik, dan perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik. Setiap manusia Allah telah jadikan berpasangan. Jadi, usahlah terlalu bermuram durja, kerana saat bahagia itu pasti tiba, jika tidak di dunia ini, di akhirat sana pasti ada! 

Allahu a'lam.

Wednesday 25 October 2017

BERUBAH

"kau senangla..mak ayah kau org berilmu..ustaz ustazah..mak ayah aku, solat pun tak..bercerai berai..kaki pukul..kaki judi..macam mana aku nak solat kalau dorang pun tak pernah buat benda2 tu.."

"kau lainla, ambik kos pengajian islam, biah solehah belaka..aku ni ambik kos duniawi je..U pun biasa-biasa je..member aku ramai yang free hair kot..tak solat..couple..hisap vape..geng kunyit..geng halia..geng serai..daun limau purut semua ada..sebab tu aku susah sikit nak berubah.."

Tak jugak..

Asiah isteri firaun..duduk serumah dengan firaun kot, tapi dia still boleh beriman..

Isteri dan anak2 nabi luth, duduk dgn nabi kot..tapi diorang kufur..

Abu Jahal..Abu Lahab..bapa sedara nabi Muhammad tu, hari-hari jumpa nabi, dengar dakwah nabi, tengok mukjizat-mukjizat nabi, tapi sampai ke mati diorang kafir..

ramai lagi sebenarnya..😇

"habis tu mcm mana nak berubah..aku ni dah lama sangat tak solat..nasi dah jadi bubur..takleh buat apa dah..Allah mesti benci kat aku.."

taklah..nasi kalau dah jadi bubur..bila kita alter balik tambah ikan bilis sikit, bawang goreng, telur masin, kangkung, sambal kicap..sedap kan? kadang lagi sedap dari nasi campur..😊

pointnya kt sini, kalau kita betul2 nak berubah, kita takkan salahkan orang lain..kita takkan cipta alasan untuk terus-terusan bermalasan tanpa ada usaha untuk berubah..insyaAllah kalau niat kita nak berubah kerana Allah, Allah pasti mudahkan dan bukakan jalan untuk kita seluas-luasnya..

kerana Allah itu, Ar-Rahman dan Ar-Rahim..kasihNya pada seorang hamba, lebih hebat dari kasih ibu pada anaknya..dah pergi solat..dah azan kan?😊

Monday 2 October 2017

HUKUM QADHA’ PUASA RAMADHAN BERSEKALI DENGAN PUASA 6 SYAWAL

HUKUM QADHA’ PUASA RAMADHAN BERSEKALI DENGAN PUASA 6 SYAWAL

Mukaddimah:

Alhamdulillah, kita baru selesai melaksanakan ibadat puasa Ramadhan dengan jayanya. Semoga Allah kurniakan kepada kita penerimaan segala ibadat yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan sama ada yang wajib mahupun yang sunat. 

Dengan menjelmanya Syawal, disamping kita berhari-raya dengan penuh kesyukuran, kita juga digalakkan untuk melaksanakan puasa enam Syawal. Ini kerana ia mempunyai banyak kelebihan.

Banyak persoalan yang ditimbulkan berkenaan dengan Hukum Qadha’ Puasa Ramadhan Bersekali Dengan Puasa 6 Syawal.

Justeru, pada kali ini akan menjawab persoalan berkaitan dengan isu ini. Semoga kita semua menjadi hamba-hamba Allah yang bertakwa dan cintakan amalan soleh.

Kelebihan Puasa Enam:

Terdapat hadis yang menunjukkan kelebihan puasa enam. Antaranya:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتَّا مِنْ شَوَّالٍ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ

Maksudnya: “Sesiapa yang puasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.”

Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Turmuzi, Al-Nasaie, Ibn Majah, Ahmad dan lain-lain. 

Imam al-Turmuzi berkata hadis hassan.

Ini menunjukkan bahawa maksud puasa Ramadhan seolah-olah setiap hari mewakili gandaan 10 hari. Justeru, ditambah dengan enam hari Syawal, maka jadilah ia 360 hari.

Itulah tafsiran sebahagian ulama.


Hukum Puasa Qada’ Ramadhan Beserta Dengan Puasa Sunat Syawal:

Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:

PERTAMA: SAH

Hukumnya sah dan terjadi kepada kedua-duanya, iaitu qada’ dan sunat. 

Inilah pendapat:
Imam Ibn Hajar al-Haitami
Syeikh Muhammad Ramli. Lihat al-Nihayah (1/162) dan juga Fatawa al-Ramli (2/339)
Imam al-Barizi. Lihat al-Ashfah wa al-Nazhair (1/161) Syeikhul Islam Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Haasyiah al-Syarqawi ala al-Tahrir (1/427)


Inilah juga pendapat kebanyakan ulama mutakhirin.


KEDUA: TIDAK SAH

Tidak sah tetapi terhasil yang fardhu sahaja iaitu puasa qada’ Ramadhan tidak kepada puasa sunat Syawal.

Inilah pendapat Imam al-Asnawi, Syeikh Ibn al-Solah, Abu Makhramah. Lihat Bughiah al-Mustarsyidin (3/95-96).


Hujah mereka tidak boleh tasyrik atau sekutukan dua jenis ibadah dalam satu ibadah.



Tarjih:

Setelah meneliti dua hujah, kami lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya. Ini kerana ia merupakan jenis ibadah yang sama tetapi dengan dua niat. Ini juga pendapat sebahagian ulama berdasarkan pengamatan kepada beberapa nas.

Walaupun begitu, yang terbaiknya adalah memisahkan antara qada’ puasa Ramadhan dengan puasa enam Syawal untuk keluar daripada khilaf.

Imam Ibn Hajar menggunakan bahasa dengan katanya terhasil asal pahala tetapi bukan dalam bentuk sempurnanya jika ia berniat untuk kedua-duanya 
(niat qada Ramadhan dan sunat Syawal). Lihat al-Tuhfah (3/390).


Semoga dengan penjelasan ini, akan memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan isu puasa qada’ Ramadhan dan puasa enam Syawal.

Sekian.
Akhukum fillah,


Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan