Monday 2 October 2017

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah
Oleh: Dr. Zaharuddin Abd Rahman


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini. Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

NAMUN, ada juga bertanya, habis jika ia ditanya orang atau ketika dipelawa makan? adakah ingin senyap sahaja?

Pertanyaan ini kelihatan sepatutnya mampu disesuaikan dengan nasihat di atas tanpa perlu bertanya lagi. Namun di zaman semua perlu dijelas satu persatu ini, kelihatan semua gagal menggunakan kebijaksanaan memahami mesej dari sebuah nasihat maka memilih untuk membangkang dan membantah. APA YANG dinasihati adalah semua kita berhati-hati agar kita tidak sesuka hati mengumumkan kita berpuasa atau jumlah bilangan puasa kita dan diikuti dengan rasa ingin menunjuk-nunjuk.

Jika diperlukan sekadar menjawab persoalan dan mampu pula dijaga hati agar tidak sum'ah dan tidak pula berlebihan berbicara berkenaannya, seperti menyambung jawapan pertanyaan dengan menyebut jumlah hari yang sudah berpuasa, ditambah pula dengan adakalanya 'memperlekehkan' jumlah puasa orang lain dan yang sepertinya, maka SEKADAR menjawab 'berpuasa' wajarlah tiada masalah dan TIDAKLAH TERMASUK dalam larangan yang dinasihati.

Demikian juga bagi mereka yang memaklumkan puasanya dia kepada ahli keluarga atau rakan dengan niat mendorong kepada kebaikan, maka itu jika dilakukan dengan hati yang terkawal dan niat baik, TIDAK JUGA termasuk dalam riya' dan sum'ah yang merosakkan. Insha Allah. 

Apapun perlu berhati-hati sentiasa kerana Syaitan itu amat licik dalam usaha melencongkan niat manusia seluruhnya.


Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan.

Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.


Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha.

Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." 

(Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu. Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali.

Berdasarkan sabda Nabi Salla Allahu 'Alaihi wasallam :-
‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.."

( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.


Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi Salla Allahu 'Alaihi wasallam dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan banyak lagi rekaan ibadah secara gabungan yang baru kelak termasuklah gabungan Haji beserta Umrah sekaligus dengan satu niat.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) .

Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" 

( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat.

Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" 

(Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

Hujjah ulama yang mengharuskannya datang dari hadith:-

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan."

(Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira.
(Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.


Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini adalah, terdapat IJTIHAD ULAMA yang membolehkan gabung dan wujud juga yang tidak membolehkan, justeru persoalan UTAMA yang tinggal kini boleh BOLEH ATAU TIDAK MENGGABUNGKAN tetapi lebih kepada manakah kaedah yang terbaik untuk DIRI. Jika ditanya kepada saya, jawabnya adalah SANGAT ELOK tidak digabungkan JIKA MAMPU DAN BERKINGINAN GANJARAN TERBESAR, justeru elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai RUKHSAH  "keringanan" bagi mereka yang mempunyai KESUKARAN kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya.

Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.


Sekian

SEGELAS AIR




Seorang wanita memberitahu seorang ustazah :

"Ustazah, saya tidak mahu ikut kelas pengajian ini lagi"

"Apa alasannya?", tanya ustazah.

"Saya lihat di kelas pengajian ini perempuannya suka bergosip, 
laki2 nya munafik, menguruskan cara hidupnya tak betul,
 jemaahnya pula sibuk dg henfon, dll.."

Kata ustazah

"Baiklah. Tapi sebelum kau pergi, tolong lakukan sesuatu untukku. Ambil segelas penuh air dan berjalanlah keliling dalam masjid ini tanpa menumpahkan walaupun setitis air ke lantai. Setelah itu engkau boleh meninggalkan masjid dan majlis ini."

"Itu senang sangat!"

Diapun melakukan apa yg diminta oleh ustazah, sementara pengajian sedang berlangsung. 

Setelah selesai, dia berkata kepada ustazah, bahawa dia sedia utk pergi.

"Sebelum kamu pergi, 
ada 1 soalan. Ketika kamu berjalan keliling dalam masjid, ada engkau mendengar orang bergosip, 
melihat orang munafik, melihat orang sibuk dgn henfonnya?"

Jawab wanita itu, "Tidak."

"kamu tahu mengapa?"

"Tidak."

"Kerana kamu fokus pada gelasmu, untuk memastikan ia tidak terlanggar sesuatu dan tidak ada air yg tumpah."

Begitulah dgn kehidupan kita.

Apabila kita mengarahkan pandangan, aktiviti & tujuan kita hanya kepada Allah ﷻ, maka :

• Kita tidak akan ada waktu untuk melihat dan mencari kesalahan orang lain

• Kita tidak akan ada waktu untuk menilai dan mengkritik orang lain.

• Kita tidak akan ada waktu untuk bergosip atau mendengar gosip dari orang lain.

• Kita akan menolong orang lain dan fokus pada langkah kita untuk mencari redha Allah

Manusia bila direndahkan tidak mungkin sampai menjadi sampah..

Manusia bila disanjung juga tidak mungkin jadi rembulan..

Maka jangan risaukan kata-kata orang,  sebab setiap orang melihatmu dengan pemahaman 
dan pengalaman yang berbeza.

Teruslah melangkah selama mana engkau di jalan yang benar, meskipun terkadang kebaikan tidak selalu dihargai, bahkan mungkin dibenci.

tidak perlu sibuk menjelaskan perihal dirimu, sebab orang yang sukakan kamu tidak perlu itu semua..dan orang yang membencimu pula tidak percaya itu semua..

Hidup bukan tentang siapa yang terbaik, tapi tentang siapa yang nak berbuat baik. 

Jika dizalimi orang, jangan berpikir untuk membalas dendam..tapi berpikirlah cara membalas dengan kebaikan untuk dia berubah.

Jangan mengeluh, teruslah berdoa dan ikhtiar.

Sibukkan diri dengan kebaikan hingga keburukan penat mengikutimu..

Hargailah persahabatan dan persaudaraan..

Moga dunia kita terus harmoni dengan pandangan kasih sayang..😊

Sunday 24 September 2017

AHLI SYURGA YANG TIDAK SOLAT TAHAJUD


Suatu hari ketika Rasulullah saw & para sahabat berkumpul di satu sudut Masjid Nabawi, Rasulullah saw tiba2 berkata: "Sebentar lagi dtg seorg pemuda ahli syurga."

Tak lama kemudian dtg seorg pemuda yg muka & tangannya basah berwudhuk, sambil sebelah tgn memegang sandal. Penampilan sgt sederhana. Tiada apa yg istimewa. 

Beberapa hari kemudian, ketika Rasulullah saw & beberapa sahabat duduk di tempat sama, sekali lg Rasulullah saw kata: "Sebentar lagi dtg seorg pemuda ahli syurga."

Sebentar kemudian, pemuda yg sama sampai. Pun berpenampilan sama.

Salah seorang sahabat yg ada di situ ialah Muaz bin Jabal ra. Beliau ingin tahu apa rahsia lelaki itu hingga dikatakan dia ahli syurga. 

Lalu dia mencari jalan utk tidur di rumah lelaki itu dgn memberi pelbagai alasan. Pemuda itu benarkan Muaz tidur di rumahnya. 

Malam itu ketika Muaz bangun bertahajjud, pemuda itu masih nyenyak tidur hingga ke Subuh.

Pabila subuh, pemuda itu bangun solat Subuh. Lalu mereka membaca Al Quran, lelaki itu tersangkut-sangkut merangkak membaca. Tidak lancar seperti Muaz. 

Dan apabila menjelang waktu Dhuha, Muaz bersolat sunat Dhuha. Tapi lelaki itu tidak. 

Selain itu, pada hari yg sama Muaz berpuasa sunat, tapi lelaki itu tidak.

Muaz pun menceritakan perihal Rasulullah saw telah katakan pada lelaki itu, dan berterus-terang bertanyakan apakah amalannya hingga Rasulullah mengatakan dia ahli syurga..lalu pemuda itu berkata:

"Amalanku tidaklah sebaik mana. Aku masih belum lancar baca Al Quran. Aku masih tak mampu bangun bertahajjud. Aku juga tak mampu lg solat dhuha. Apatah lg berpuasa sunat."

"Tapi…"

"Sejak beberapa minggu ini, aku cuba amalkan 3 perkara yg baru ku pelajari:"

1. Aku sgt cuba tidak sakitkan hati sesiapa. Samada kaum keluargaku, jiranku, sahabatku mahupun orang yg tak kukenal.

2. Aku cuba elakkan diri dari memarahi sesiapa. Dan aku akan maafkan semua org yg membuat salah kepadaku.

3. Aku cuba jaga tali silaturrahim. Dan aku akan bantu panjangkan silaturrahim sebaik mungkin.
Itulah yg mampu aku lakukan.

Subhanallah..

Sahabat2 sekalian,

Jika kita rasa kita hebat dgn imej kita, kita silap. Jika kita rasa kita hebat dgn amalan, pun kita silap. Kalau kita rasa kita tak perlu beramal, lagilah jauh silapnya.

Apa guna ilmu tinggi, hidup penuh syariat, pakaian sunnah tapi apa yg keluar dari mulut kita sentiasa sakitkan hati isteri, hati suami, hati anak, hati sedara mara, hati orang, apatah lg hati ibu bapa.

Apa guna hafal quran, tak pernah ponteng usrah, selalu berzikir, tp selalu marah maki hamun org dan penuh dendam kesumat dlm dada. Apatah maafkan orang, jauh sekali.

Apa guna bertutup litup, program islamik tak pernah missed, kereta penuh sticker Islamik tapi sering bergaduh, kawan selalu salah kita saja yg betul, sedara mara mula menjauhi  kita..kawan susah, kawan sakit, kita tak kesah, apatah lg nak melawat dan berkunjung usah diharap.

Kadang, kita terlupa..dalam kita usaha mengejar benda yg besar, kita abaikan banyak benda yg kecil..

Moga Allah mudahkan segala urusan kita..

Monday 28 August 2017

LA TAHZAN! INNALLAHA MA'ANA


Kalau diikutkan rentak emosi, pasti ada banyak perkara yang menyebabkan kita berkecil hati..Tapi, andai kita menginsafi setiap detak takdirnya, banyak perkara yang menuntut kita agar muhasabah diri..

Ujian datang bukan saja-saja dalam hidup kita, banyak tujuannya..

Kadang, apa yang kita tak suka itu juga, banyak manfaatnya untuk dunia dan akhirat kita..Kita boleh kutip pahala kalau kita mampu tabah, kita juga boleh hapuskan dosa kalau kita mampu redha..

Lalu di saat kita masih punya 1001 nikmat yang mesti disyukuri, mengapa mesti memikirkan satu hal yang menyakitkan hati?

Jika bergaul dengan orang-orang hebat mampu membara hasad dengki, merasa rendah diri dan benci dengan takdir hidup sendiri, lalu ambillah sedikit masa untuk duduk sebaris dengan orang-orang di kaki lima, orang-orang kurang berkemampuan, orang-orang jahil, pasti tiada ruang untuk dengki-mendengki kerana di hati kini sarat dengan simpati dan syukuri..

"Maka, mana satukah antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"

Buat jiwa yang sedang bermuram durja, moga hari ini, lebih baik dari semalam..

Kerana Allah yang memberi kau ujian tanpa diduga, Allah itu juga yang memberi kau nikmat tanpa dipinta..

Jadi, selagi hidup berbumbungkan langit, selagi itu masih ada peluang untuk jiwa dikait..Jangan sampai sudah mati bertimbunkan tanah, menyesal sudah tidak berguna walau bernanah..

La tahzan! Innallaha ma'ana..😊

SAMPAH MASYARAKAT VS SAMPAH TUHAN


"Sampah" pada mata masyarakat, tidak semestinya "sampah" pada pandangan Tuhan..

Amal baik disusuli riak agar orang melihat diri ini, ibadah di malam hari diselit dengan ujub bangga diri, perbuatan baik orang lain dilihat dengan pandangan hasad dengki..

Akulah daie..Akulah pendakwah yang terbaik..

Betapa busuknya hati..

Sering menyangka amalan telah banyak..Dan memandang jelek pendosa lain, seolah-olah dirinya suci tanpa sezarah habuk dosa..

Sedang dia terlupa, bahawa tidak masuk syurga orang-orang di dalam hatinya terdapat secebis kesombongan walau sebesar biji sawi..

Dia juga terleka, bahawa sebaik-baik daie; adalah mereka yang "PERBAIKI DIRI, DAN SERU ORANG LAIN.."

Bukan HANYA seru orang lain, sedang diri sendiri ego dan tercabar pabila dinasihati..

Dia begitu yakini dirinya sedang berlari laju ke JannahNya, sedang Tuhan mungkin sudah "memateri" nama itu pada JahannamNya..

Duhai Tuhan, apa munafikkah kami selama ini?

Tersanjung sungguh dia dengan licin lidahnya bertutur. Terpegun betul dia dengan penanya yang bertinta kalam Tuhan. Meski dalam hatinya tandus tidak punya apa pun..

Diludah habis bisik-bisik masyarakat yang menegur..Lalu dia bersangka pesong bahwa orang berhati jernih itu adalah dia; seorang yang soleh, 'alim, 'abid lagi mujahid, lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri..Sedangkan semua itu hanya bayang-bayangnya yang cuma menari-nari dalam dunia fantasi ciptaan sendiri..

Abu Bakar selalu gementar saat dipuji orang-orang.. “Ya ALLAH, jadikanlah diriku lebih baik dari sangkaan mereka, janganlah Engkau hukum aku kerana ucapan mereka dan ampunilah daku lantaran ketidaktahuan mereka”, ucapnya lirih..

Sedangkan dia sudah tahu, bahwa dia antara 10 orang yang dijamin syurgaNya..Bahkan kita semua sudah tahu, bahwa imannya seorang mampu menandingi iman seluruh umat akhir zaman..

Namun beliau masih meratib kalam-kalam hiba bimbang riak menyapa..Berbeza sungguh dengan kita..Baru dipuji seorang dua, sudah mengaku akulah ahli syurga!

Saturday 26 August 2017

KASIH SAYANG DAN PERANCANGAN ALLAH ITULAH YANG TERBAIK

Adakalanya, kita terlalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan.. Kita begitu yakin bahawa hanya dengan kemampuan dan kebijaksanaan diri, semuanya akan berhasil seperti yang dirancang.. Sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri.

Tidak salah mengharap, berusaha, dan berdoa.. tetapi apabila takdir telah berbicara, bukalah pintu hati untuk menerimanya..

Apabila sesuatu berlaku tidak seperti yang kita impikan..Bencilah..Tapi, bukan benci kepada orang lain.. Bencilah pada diri sendiri yang selalu meletakkan takdir pada impian, bukan pada Tuhan..

Dalam setiap musibah, pasti ada hikmah..Dalam setiap hikmah semestinya ada rahmat dan maghfirah yang istimewa dan khusus dari Allah..

Lambat cepat semuanya akan terjawab.. Bahawa kasih sayang Allah sentiasa hadir dalam setiap duka dan air mata!

BUAT BAIK KERANA NAMA



Jika kita rasa kita buat perkara yang baik, jaga ayat kita..


Usah berbicara hingga memperkecil usaha dan perjuangan orang lain yang juga baik..Kalau orang tegur, muhasabah diri dan perbaikilah..


Usah kita menimbang tara siapa yang paling baik antara kita hingga mendabik dada pada apa yang kita buat, serta memandang enteng pada usaha orang lain..


Kalau kita mendakwa kita pihak yang paling benar, itu tak menjamin semua yang kita buat betul belaka tanpa perlu ditegur..


Cuba tanamkan keyakinan dan rasa percaya, yang semua orang di dunia ni nak masuk syurga..Semua orang nak buat baik..Semua orang ada hak untuk ditarbiyah..


Bila dalam usrah kita hanya ada sahabat-sahabat yang bertudung labuh, bila dalam program yang kita buat hanya ada kawan-kawan yang dah terbiasa dengan biah agama, sedang kita mengabaikan sahabat lain yang nampak kurang islamik, there must be something wrong with our system and our heart itself..


Buat baik dan syurga tu bukan hak eksklusif kita dan ahli kumpulan kita saja, hingga pada usaha nak tarik orang sukakan islam pun, perlu bertapis-tapis dan pilih memilih..Yang kita rasa sesuai kita ambil, yang kita lihat kurang sesuai secara zahir pada pandangan mata kita yang naif ni, kita terus buang..tanpa kita sedar sebenarnya orang yang kita buang itu lah lebih memerlukan "didikan" itu..


Buatlah yang terbaik di penjuru dan bidang masing-masing..Tetapi pandanglah dengan kebaikan dan toleransi pada mereka yang turut berjuang di tempat lain..


Dakwah itu luas dan berseni..Jangan sampai kita terlalu terikat dengan sistem, hingga kita mengabaikan uslub yang lebih penting..Sistem, boleh diubah dan diperbaiki..ia bukan Tuhan yang perlu disembah secara totally..😉

Tuesday 13 June 2017

TUHAN TAK BAGI APA YANG KAU MAHU, TAPI DIA BAGI APA YANG KAU PERLU



"Lama dah aku doa", bisik hati kau..

Tak pernah tinggal walau sehari..Setiap sujud akhir, setiap kali lepas solat, dalam tahajud, dalam dhuha..

Mulut dan hati kau sentiasa mengadu dan meminta..Tangan kau turut lenguh, menadah tinggi-tinggi di malam hari sambil berlinangan air mata, di saat kawan-kawan kau yang lain berdengkur lena..

Kau terfikir, "Mengapa belum terkabul lagi?" Rasanya kau dah buat semua benda..Dosa-dosa besar kau tak buat..Sekali sekala terlajak, kau cepat-cepat istighfar dan bertaubat..

Puas kau memerah otak..Apa lagi yang silap?

Tiba-tiba kau tersentak, seperti ditampar-tampar..

Sudah berapa lama kau tak ditimpa sakit? Tubuh badan kau sihat..Doktor yang merawat memberikan komen positif setiap kali "checkup"..Kalau dulu, selang sebulan kau akan jadikan klinik dan hospital itu tempat persinggahan..

Kereta dan motor kau juga, sudah lama tak meragam..Lancar..Tak banyak kerenah..

Kemudian kau teringat beberapa kali kau dan keluarga kau terselamat dari bala bencana dan kemalangan..

Kereta kau dulu hampir dilanggar, namun tak kena..Kau sendiri pernah hampir merempuh orang, namun masih sempat brek..

Orang sekeliling kau melayan kau dengan baik..Tidak ada yang memusuhi kau..Rakan-rakan, staf, bos, jiran tetangga, semuanya baik-baik..Bahkan semakin hari semakin ramai yang ingin berkawan dengan kau..

Tanpa kau sedar, Tuhan telah lama menjawab doa dan rintihan kau..Cuma mata kau terlalu ralit dengan apa yang kau mahu, sampai kau terlupa Tuhan telah cukupkan apa yang kau perlu..

Lalu kau tunduk, malu..
Di atas hamparan sejadah itu, kau teresak esak seorang diri..

"Tuhan tidak pernah lupakan aku..Hanya aku yang jarang bersangka baik dengan Tuhan.."

Kita ini hamba yang terlalu kerdil dan hina, taatnya sedikit, sering merungut..Tuhan pula, sentiasa membuka pintu untuk kita memohon pada-Nya..

Sabar dan gantunglah sepenuh harapan..Takkan Tuhan nak biarkan kau begitu saja..

Sedang hakikatnya Dia Maha Melihat dan Mendengar langkahan semut hitam di celahan batu pada waktu malam, adakah Kau sangka Dia tidak mendengar rintihan Kau?!

"Wahai Tuhan yang Maha hidup, Maha Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan kepada segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan..Perbaikilah segala urusanku..Janganlah kau biarkan hidupku ditentukan oleh hawa nafsu diriku sendiri walau sekelip mata selama-lamanya.."

Siapa nak jaga kita bila kita dah tua?

Siapa nak jaga kita bila kita dah tua?

Ada orang, dia susah hati kerana belum bertemu jodoh..Difikirannya siapalah yang akan jaga aku bila aku dah tua nanti..

Ada orang, dah berkahwin tapi belum punya anak, pun terfikir siapakah yang akan jaga aku bila aku dah tua nanti..

Ada orang, ada anak, tapi hanya seorang, pun terfikir, kalau dia kerja jauh siapalah yang nak jaga aku nanti..

Ada orang, anaknya semua lelaki. Juga terfikir siapalah yang akan jaga aku nanti..Nak ke menantu perempuan aku nanti jaga aku..

Ada orang, anaknya semua perempuan, sama juga. Terfikir kalau semua tu nanti ikut suami masing masing, siapalah yang nak jaga aku nanti..

Apa masalah kita sebenarnya?
Kita letakkan masa depan kita di tangan manusia..Di tangan anak..Di tangan suami..

Walhal yang jaga kita tu Allah..

Berapa ramai orang yang anaknya ramai, cukup nisbah lelaki perempuannya, namun masih terabai dan hidup bersendirian di rumah usangnya sehingga meninggalnya juga seorang diri..

Berapa ramai juga orang yang saya jumpa hidupnya tidak bertemu jodoh, namun pada usia 60 70 80 masih sihat, boleh urus diri jauh lebih baik daripada orang yang usianya baru jejak 50-an namun sudah sakit lutut, jalan bertongkat walau anak anak ada di sisi menjaga..

Itulah kita kata rezeki..Dan rezeki itu hak Allah..

Yakin
Yakin
Yakin

Jangan runsingkan kerja Allah..Runsingkan kerja kita yang asyik tak siap ni..

Jangan runsing belum ketemu jodoh, jangan ribut belum ada zuriat, jangan sedih hanya kerana beranak sorang, jangan kalut kalau hanya ada anak lelaki, jangan cemas jika hanya ada anak perempuan..

Lebih dari itu jangan takbur sangat kita ada jodoh, anak ramai, cukup lelaki perempuan..

Jangan pertikaikan nanti tua siapa nak jaga kau..Kita sendiri pun belum tahu nasib kita nanti..Masa depan kita sentiasa di tangan Allah..Dan Allah itu adil..Setiap orang pasti akan dapat apa yang allah kata dia layak dapat..

Pendek kata, Allah ada..Jadi, jangan gusar!

TERLENA

Waktu berlalu begitu pantas menipu kita yang terlena..

Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang. Belum sempat bersedekah pagi, matahari sudah meninggi..

Niat pukul 9.00 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan Zuhur sudah terdengar..

Teringin setiap pagi membaca 1 juzuk Al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat, itu pun tidak dilakukan..

Rancang untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajud dan Witir, walau pun hanya 3 rakaat, semuanya tinggal angan-angan..

Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur?
Berseronok dengan usia?

Lalu tiba-tiba menjelmalah usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan kemudian orang mula memanggil kita dengan panggilan "Tok Wan, Atok...Nek" menandakan kita sudah tua..

Lalu sambil menunggu Sakaratul Maut tiba, lalu diperlihatkan catatan amal yang kita pernah buat..

Astaghfirullah, ternyata tidak seberapa..sedekah dah infaq cuma sekadarnya, mengajarkan ilmu tidak pernah ada, silaturrahim tidak pernah buat..

Justeru, apakah roh ni tidak akan melolong, meraung, menjerit menahan kesakitan di saat berpisah daripada tubuh ketika Sakaratul Maut?

Tambahkan usiaku ya Allah, aku memerlukan waktu untuk beramal sebelum Kau akhiri ajalku..

Belum cukupkah kita menyia-nyiakan waktu selama 30, 40, 50 atau 60 tahun?

Perlu berapa tahun lagikah untuk mengulang pagi, siang, petang dan malam, perlu berapa minggu, bulan, dan tahun lagi agar kita BERSEDIA untuk mati?

Kita tidak pernah merasa kehilangan waktu dan kesempatan untuk menghasilkan pahala, maka 1000 tahun pun tidak akan pernah cukup bagi orang-orang yang terlena

Kredit: Ustaz Ahmad Nasir 

Saturday 3 June 2017

TANYA SAMA ITU HUD-HUD LANG MENSILANG KUI MENGSIKUI~

[Hud hud]

Pulang dari solat terawih, sambil drive kereta, sempat juga aku melayan salah satu siaran radio islam. Apa lagi bila DJ nya menyiarkan lagu tanya sama itu hud hud. Memang Ralit.

Tapi aku pelik. Radio islam memainkan lagu begini! Kalau lagu nasyid, tak lah menghairankan. Memang sebelum ini pun aku sering dengar lagu M Nasir ini dan memang aku suka musiknya namun aku tak kisah sangat akan liriknya. Tapi kali ini teruja pulak aku untuk menghayati liriknya! Kerana di bulan ramadan, dan diradio islam memutar lagu ini buat aku curious sangat! Sebab lagu ini bukan lagi islami.

Tapi setelah aku menghayati liriknya dengan penuh penghayatan, barulah faham kenapa lagu ini dimainkan dicorong radio ini. Hebat. Memang M. Nasir ini hebat. Dan sememangnya lagu ini penuh seni dan dalam maknanya bagi yang ingin mendalami seni lagi ini.

Sebenarnya lagu ini merupakan sebuah lagu yang menceritakan tentang “Rukun Agama”. Jika dirujuk di dalam Kitab Hadis Arbain Imam Nawawi, pada hadis kedua, kita akan mengetahui apa itu “Rukun Agama”. Rukun agama adalah Iman (Akidah), Islam (Fiqh) dan Ihsan (Tasawwuf). Lagu ini menggarap kesemua hal ini dalam sebuah jalan cerita yang zahirnya tidak kelihatan sebagai sebuah tazkirah dan kefahaman.

Bagi aku, karya M Nasir  banyak membuahkan isi tersirat yg memberi sejuta makna yang mendalam.

Mari kita telusuri satu satu bait ayat dari lagu ini!

73 PINTU, 73 JALAN, YANG SAMPAI HANYA SATU JALAN.
(Mafhum hadis, umat Islam berpecah kepada 73 aliran Mazhab Akidah. Yang benar hanya satu iaitu Ahlus Sunnah Wal Jamaah)

RIBU-RIBU MARGASATUA MENCARI RAJA SI MURAQ. YANG SAMPAI HANYA 30..30..
(Ini merupakan syair sufi lama Parsi karangan Fariduddin al-Attar Naisaburi dalam kitabnya “Mantiq at-Tayr” yang mengisahkan tentang Margasatua menempuh 7 Gunung Tasawwuf iaitu Ammarah, Lawwamah, Mulhamah, Muthmainnah, Radhiyyah, Mardhiyyah dan Kamil)

UUH… SANG ALGOJO… UUH… NANTI DULU
(Ya Izrael, sebelum mati aku ingin mencari ilmu Fardhu Ain bagi melengkapkan Rukun Agama)

LIHAT DUNIA DARI MATA BURUNG ATAU LIHAT DARI DALAM TEMPURUNG. YANG MANA SATU ENGKAU PILIH.
(Pilihan sama ada nak “Terbang” mencari ilmu bagi mendapat pandangan yang luas atau “Terperap” malas mengaji hingga terus hidup jahil)

DALAM KALUT ADA PERATURAN, PERATURAN CIPTA KEKALUTAN. DIMANA PULA KAU BERDIRI. DISINI.
(Manusia jahil dahulu hidup tak tersusun, maka diwahyukan Hukum-Hakam Syariat/Fiqh bagi mengurus kehidupan. Namun kini kita hidup di zaman orang mencipta pergaduhan melalui putar belit ilmu Fiqh hingga isu-isu Khilaf Furuiyyah yang telah diselesaikan ratusan tahun dulu diperdebat semula – dek kerana munculnya golongan La Mazhabiyyah/Tolak Mazhab atau Talfiq Mazhab/Campur Aduk Mazhab)

BERIKANKU KESEMPATAN AKHIR INI, UNTUK MENYATAKAN KALIMAH SEBENAR. BERIKANKU KESEMPATAN INI. LAI LAI LAI LAI LAI LAI LAI…
(Sebelum mati, marilah sempurnakan Rukun Agama bermanhajkan Kalimah La ilaha ilallah, Muhammad Rasulullah)

TANYA SAMA ITU HUD-HUD
(Hud-Hud memimpin Margasatua bertemu “Raja Si Muraq”. Kenapa Hud-Hud? Kerana Hud-Hud lah yang mampu mengesan kekufuran Ratu Saba’ hingga menyebabkan akhirnya Nabi Sulaiman Talkinkan Syahadah. Sesungguhnya kemampuan Hud-Hud mengenal Haq dan Batil ini adalah kerana ia sebenarnya Arifbillah. Maka bertanyalah kepada Arifbillah tentang Makrifah)

LANG MENSILANG, KUI MENSIKUI
(Ini merupakan perkataan Cina yang bermaksud “Orang pun bukan, Hantu pun bukan”. “Hud-Hud” yang Arifbillah ini menjelaskan bahawa sifat Tuhan itu bukan berjisim seperti manusia dan bukan hanya khayalan seperti hantu. Maka ternafilah iktikad Mujasimmah yang me-Tasybih-kan Tuhan dan iktikad Muktazilah yang Me-Ta’thil-kan Tuhan)

KERANA DIA YANG TERBANGKAN AKU KE MARI
(Kisah Hud-Hud yang Mursyid ini membawaku mengenal Tuhan)

Allahu Allah.

Ramadan kareem,
8 ramadhan 1438H

DAIE HIPOKRIT



Story di instagram setiap saat boleh update..Story whatsapp setiap jam nama dia yang tertera paling atas..Masih mampu post status dan gambar merepek di instagram dan facebook setiap hari..Masih boleh update tweeter setiap minit..Masih boleh menyampuk setiap topik perbualan yang melalut di group whatsapp..

Tapi pelik, bila datang bab esaimen..Terutama esaimen group, tak boleh hantar tepat pada masa yang dijanjikan..Masa tulah guna alasan sibuk, banyak program, tak cukup masa..Banyak kerja, banyak exam, dan sebagainya..Hingga menyusahkan dan menzalimi orang lain.. Sedangkan esaimen sudah diberi masa awal sem lagi..

Baik yang bertudung labuh, baik yang ikut usrah, baik para nuqaba', baik yang aktif berprogram, baik motivator, baik fasilitator, dan macam2 lagi..Sama saja..Tiada beza..

Nanti, anda buka semula buku usrah anda dolu2, study dan hayati semula bab "muwasafat tarbiyah"..Tajuk yang paling asas dalam dunia tarbiyah..Tak nak explain panjang lebar sebab saya tahu anda lebih expert benda2 macam ni berbanding saya..

Cuma saya nak kata, fardhu muslim takkan terbentuk dengan sempurna, andai 10 muwasafat tarbiyah yang ada dalam diri kita masih longgar..Macam mana anda nak memberi hasil pada masyarakat, andai pohon yang tertanam pada diri anda sendiri masih belum bertunas dan berbuah?

Ramai orang tahu apa itu tarbiyah, tapi tak ramai yang mampu faham dan hayati apakah maksud sebenar "didikan" itu..

Sebenarnya, untuk berdakwah, kita tak perlu jadi hebat dan dikenali ramai pun, cukup sekadar kita jadi baik dan berakhlak serta manifestasikan ucapan2 yang kita ungkapkan sehari2, pada diri kita sendiri dulu..

Biar orang nampak kita macam tak ada apa, sedangkan jiwa kita terisi..berbanding mereka pandang kita macam ada semuanya, sedangkan dalam diri kita kosong..

Moga Allah ampunkan dosa2 kita semua dan jauhkan kita dari menjadi "wayang kulit" pada agama..

Maaf kalau ada yang terasa..Tak tujukan pada sesiapa..Sekadar teguran umum..

Bak kata altimet;
"Siapa makan cili, dia rasa pedas.. Siapa rasa pedas kata aku main cakap lepas.."

"7 hari pergi usrah sudah pandai tepis fatwa..amboi..amboi.."

Eh ternyanyi pulak..

#IDontTrustWords
#ITrustActions
#AmboiAmboiAmboi

DISURUH MAKAN, DIA MAKAN..DISURUH SOLAT, DIA BUAT-BUAT TAK TAHU

Kita ni, bila lapar, walaupun sedang drive di tengah-tengah highway yang sedang sesak pun, masih boleh cari kesempatan untuk berhenti makan di mana-mana.. Kita sanggup usaha cari RnR terdekat, kedai makan terdekat di Gogglemaps, Waze dan sebagainya..

Begitu juga bila nak buang air..Sanggup usaha untuk berhenti tanpa perlu bertangguh even dalam keadaan 'rushing' perlu ke sesuatu tempat atau sebagainya..

Tapi kenapa bila masuk waktu solat, banyak sungguh dalih kita untuk berhenti..Sedangkan Allah dah bagi keringanan untuk kita melakukan jama' dan qasar ketika bermusafir (mengikut syarat tertentu), sudah beri kelonggaran untuk kita bertayamum jika tiada air..Jadi kenapa usaha kita cari inisiatif untuk berhenti solat tak setanding dengan usaha kita untuk berhenti makan dan berhenti buang air? Walhal kalau nak ikutkan, waktu untuk solat lebih cepat dan mudah berbanding makan..

Lepas tu tanpa segan silu kita tanya mana Allah waktu kita susah..Bagaimana mahu menapak ke syurga, andai kaki sering mengengsot menuju ke neraka?

#Muhasabah

Monday 15 May 2017

[ANGANKU]

Bila aku lihat ada daie mampu mengaut keuntungan hanya dengan menulis. Memang aku teringin. Teringin untuk menjadi terkenal, teringin untuk menyampaikan fikrah dan kefahaman islam aku,  juga dakwah aku pada semua rakyat Malaysia seperti mereka..

Lebih-lebih lagi bila aku dilamar untuk bekerja secara tetap di bawah satu syarikat penerbitan buku yang tak kurang hebat..Perasaan ghairah untuk menjadi public figure membuak-buak..

Aku mahu manusia mengenali aku. Mengenali wajah aku. Membaca kalam tinta ku, dengan hadis hadis dan ayat ayat quran agar penyampaian aku sampai kehati mereka dan beramal dengan apa yang aku dakwahkan.

Aku mahu mereka menjadi friend, follower dan like aku beratus ribu kali dan membaca setiap status dakwah aku dan beramal dengan nya.

Pastinya aku akan menulis buku, novel dan risalah dakwah buat rujukan mereka untuk mendakwahi manusia. Pasti buku-buku aku akan menjadi best seller, ramai manusia akan sanjung aku..

Tetapi ...

Hati aku tiba tiba bermonolog,
"Andai aku begitu, mampukah aku menjaga hati aku, mengikhlaskan niat aku. Hidup seperti biasa dan seadanya. Tanpa diheret kesana kemari menjadi patung tak bernyawa. Tanpa posting gambar gambar stylo dan wajah dosa aku yang berbagai rupa dimedia social dengan pelbagai aksi dan rupa.Adakah aku mampu menahan diri aku dari menjaga ikhtilat bersama peminat *ececece* tanpa mengira latar belakang dan jantina, yang PM aku tidak tentu waktu untuk mendapat khidmat nasihat yang menipu.."

Mampukah aku ikhlas dan tidak riya' dengan menulis dan menzahirkan amal-amal aku dan apa pun juga aktiviti kebajikan dan dakwah aku.

Bila aku renungi langit yang terbentang luas yang diselangi awan hitam berarak..Keinginan aku untuk menjadi  manusia dikenali begitu terhenti!

Aku tahu, jika aku begitu. Hati aku tidak kuat berpaut pada ikhlas. Manakala amal amal aku pula tidak akan mampu menembusi awan hitam itu untuk menuju langit ketujuh. Ia akan cair bersama bersama hujan. Ia akan terbakar bersama syaitan yang dipanah petir malaikat yang penuh ketaatan. Ia akan tersembam kebumi menjadi lembah busuk yang makhluk tidak tertawan.

Tiba tiba khayalan dari usikan serta bisikan syaitan itu aku padamkan. Aku syukur dan redha apa yang telah Allah berikan..

Redha dengan apa yang aku ada dan lakukan sekarang. Sememang aku tidak layak dan tidak mampu untuk menjadi public figure dan jauh sekali untuk menjadi terkenal dijalan dakwah ini.

Teringat satu buku sirah yang aku pernah baca, pesannya;

"Jangan sesekali kamu berniat untuk terkenal di bumi. Jadilah seperti Uwais pemuda Yaman. Tidak dikenali dibumi namun terkenal dilangit. Tidak semestinya dakwah kepada khalayak ramai itu memberi banyak menfaat. Kerana terkadang dakwah fardhiyah itulah yang akan memberi kesan kepada jalan dakwah ini dan dapat melahirkan manusia berkualiti dan menyambung perjuangan Nabi."

Aku tertunduk sesal dalam menghadami bait-bait kalimah itu.. kerana masih berkhayal bersama nafsu yang tidak pernah puas.

Kadang, walau impian dan harapan kita menggunung tinggi, tapi, andai Allah takdirkan takdir kita terletak separas pepohonan..

Usahlah bersedih..

Kadangkala itulah yang terbaik..'Terbaik' itulah yang kadang qalbu kita susah nak terima sebab kita masih tak nampak hikmahnya hari ni..

Dan mulai saat itu, aku sedar, cukuplah aku menjadi jantung, yang senantiasa berdenyut setiap saat, hingga membuatkan manusia terus bernadi..

Cukuplah aku hidup seperti akar, yang sentiasa menjadi penyebab suburnya sesuatu pohon, meskipun ia tidak pernah pun dikenali oleh pepohon itu dek kerana terbenamnya ia di dalam tanah..

Hati, moga setiap hari yang berlalu, makin menambahkan syukurku padaMu..

-Ukht Hensem-

Nota kaki: Sebuah catatan santai, sementara menunggu mi goreng sampai