Sunday 31 July 2016

MEMBACA DAN MENULIS

Dua benda yang saya akan buat setiap hari dan tak akan "skip" walau sehari.

MEMBACA dan MENULIS.

Bagi saya, buku yang sudah dibeli, WAJIB dibaca sehingga habis.

Manakala apa-apa idea yang terlintas dalam kepala, saya akan segera draf untuk diterjemahkan dalam bentuk penulisan. Setakat hari ini saya sudah mempunyai 144 draf penulisan yang masih belum diedit dan belum bersedia untuk di"publish".

Aktiviti membaca dan menulis umpama isi dengan kuku. Pada hemat saya, apabila minat yang ada dalam dunia penulisan tidak diselarikan dengan minat membaca, maka akan lahirlah karya-karya penulisan yang kurang berkualiti dan tiada nilai. Seperti plagiat contohnya.

Kata seorang ilmuwan, "If you doesn't have a time to read, then you don't need to write.."

Penulis yang baik pasti mampu menyentuh hati orang yang membacanya.

Membaca dan menulis itu mudah. Tetapi memahami dan menyentuh itu belum pasti. Memahami hati yang ingin disentuh bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap "kacang" kerana manusia ini tidak boleh dipukul rata sifat di hatinya. 

Lebih-lebih lagi insan seperti saya yang tidak begitu mahir menggunakan medium percakapan untuk menyentuh hati seseorang. Bagi yang mengenali diri saya akan tahu bagaimana rentak bicara saya bila berjumpa.

Saya sarankan, ikatlah ilmu kita melalui method pembacaan dan penulisan. Alangkah ruginya sekiranya ilmu yang diperoleh tidak ditulis dan dikongsikan kepada semua.

Kerna tidak semua daripada kita mempunyai hafalan yang begitu baik dan mantap. Jadi semaikanlah sikap suka membaca dan menulis. Jika bukan untuk kebaikan kita, mungkin untuk kebaikan orang-orang di sekeliling kita.

Semakin banyak buku yang dibaca, semakin unik kalam berbicara, semakin tertarik hati pembaca.

Moga Allah redha! 

Thursday 28 July 2016

HANG PI RAYA~

Cerita balik raya di kampung memang seronok tetapi hakikatnya mudah terpalit dosa jika tidak dirancang dengan baik.

Apa tidaknya, bila beberapa keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur bergelimpangan sehingga ke ruang tamu kerana tidak cukup bilik, maka akan berlakulah penampakan aurat ipar duai, sepupu-sepapat, biras, dan sebagainya semasa tidur, atau semasa keluar bilik, atau semasa keluar dari bilik mandi, atau semasa menyusu badan dan sebagainya. 

Jika sudah namanya tidur, kita sendiri tidak akan tahu bagaimana keadaan anggota badan kita bergerak. Lantaran itu, peluang untuk aurat terbuka sangat besar.

Paling resah adalah golongan wanita yang perlu berbungkus 24 jam. Berasa rimas dan panas. Ditambah pula perlu beratur di bilik mandi. 

Inilah cerita balik raya yang tidak seronok yang tidak terzahirkan kerana hendak menjaga hati pelbagai pihak. Tetapi wanita solehah tetap berkorban demi menjaga hati suami dan mentua serta ipar. 

Namun suami yang prihatin dan mentua yang mengambil berat sepatutnya megambil kira persediaan menyambut kepulangan anak cucu dan menantu agar berkumpul bersama ketika beraya tidak terjadi dalam keadaan dosa terpalit.

Suami yang prihatin sepatutnya mengambil kira untuk tetap menyembunyikan aurat isterinya, serta membantu meringankan pengorbanan mereka yang perlu berbungkus 24 jam. 

Zaman dulu di mana masalah aurat tidak diberi penekanan, hal ini diremehkan. Tetapi pada kita yang sentiasa menjaga aurat dewasa kini jangan diambil mudah bila beraya bersama ipar duai, sepupu, biras, kerana hukum aurat tidak berubah dalam situasi ini.

Pemisahan lelaki wanita yang bukan mahram tetap kena berlaku dan diutamakan berbanding soal kekeluargaan. Maka menyediakan ruang pemisahan ini wajib atau mengasing dengan menyewa "homestay" atau hotel, walaupun belanja tinggi sedikit, tetapi itu lebih baik dari sekali terpandang aurat ipar duai atau ahli keluarga lain yang bukan mahram.

Hal ini bukan sahaja perlu dilakukakn apabila balik raya, tetapi juga boleh dipraktikkan ketika berkampung kerana kenduri kendara dan sebagainya.

Jangan ambil mudah soal aurat, kasihanilah isteri anda dan anak perempuan anda, kerana suami dan ayah juga tetap terseret ke dalam neraka jika aurat isteri dan ank perempuannya terdedah jika dia tidak berusaha untuk memikirkan inisiatif bagi mengelaknya.

Kisah Tsa'labah bin Abdul Rahman yang terlihat betis wanita bukan mahram, merasa amat berdosa lalu mengasing diri ke gua hingga nabi menemuinya, adalah contoh betapa beratnya dosa melihat aurat wanita bukan mahram (hadis ini dikatakan dhoif tetapi boleh dijadikan teladan).

Keluarga yang memerli dengan menyebut, "eleh, balik kampung tapi sombong tidur kat hotel.. orang dah biasa hidup senang memang tak boleh rasa susah sikit.." adalah perkara biasa, kerana boleh jadi  mungkin mereka tidak faham kita nak mengelak dari terbuat dosa.

Selain itu faktor keperluan untuk mandi manda dan membuang air juga penting kerana itu keperluan hidup yang boleh menjejas kesihatan.

Kesimpulannya, apa jua yang kita buat, janganlah sekadar merancang untuk melaksanakannya, tetapi rancanglah supaya apa yang dibuat menjadi kebajikan serta terelak dari dosa,

Bantulah isteri anda dalam memelihara auratnya, bahkan memelihara aurat isteri itu satu kecemburuan yang mandatori, atau erti lainnya, ia wajib dilaksanakan.

Wallahu A'lam.  

MAAF KOSONG-KOSONG YE~

Dahulu, waktu saya masih kecil, bagi saya kegembiraan menyambut Syawal adalah apabila mak dan abah belikan pakaian baru, dapat main bunga api, setiap kali bersalaman dengan saudara-mara  pasti dapat "habuan" duit raya.

Tetapi itu dulu. Waktu saya masih belum matang. Kini, kenangan itu semakin luput dimamah masa. Kini, walaupun sambutan hari raya kami sekeluarga sudah tidak semeriah dahulu, mungkin kerana faktor usia masing-masing yang sudah semakin matang dan berusia, malah kesemua kami sudah mempunyai kehidupan sendiri. Namun, baru kini saya dapat belajar dan memahami satu nilai yang saya tidak pernah rasa sebelum ini. Ia adalah nilai kemaafan dan berkasih sayang kerana Allah.

Sebenarnya, waktu raya inilah peluang yang sesuai untuk kita berkumpul, bergurau-senda, bergelak-tawa dan bermaafan sesama ahli keluarga, sanak-saudara, sepupu-sepapat, pakcik-makcik, atuk-nenek, serta moyang. Jika pada hari lain ibu ayah sibuk dengan kerja, anak-anak sibuk ke sekolah, maka pada hari raya inilah peluang kita untuk mendekatkan yang jauh, mengeratkan yang renggang.

Pada hari ini, ibu ayah maafkan kesalahan anak, anak-anak pula maafkan kekhilafan ibu ayah, isteri minta maaf pada suami, suami pula tidak ego untuk memohon maaf daripada isteri. 

Namun, ada juga sesetengah daripada kita yang masih menyimpan dendam. Dendam terhadap kekhilafan ayah, dendam dengan ibu tiri, kecil hati dengan perangai emak, lalu merajuk tak mahu balik ke kampung. Ada juga yang dengki-mendengki dengan adik-beradik sendiri, ada juga yang saling mengadu-domba sesama saudara dan sebagainya.

Lalu kita tidak berasa apa-apa setiap kali Syawal menjelma. Hati terasa kosong. Segala-galanya serba tak kena. Kadang dari pagi hingga ke petang gangguan hati itu datang. Sedangkan tangan masih ditadah, masih setia berbicara memohon doa daripada Allah. Walaupun sudah genap sebulan berpuasa, sudah genap 30 juz' Al-Quran dikhatamkan, sudah genap 30 hari melakukan solat sunat terawih secara berjemaah di masjid. Tetapi perasaan pelik itu masih ada. Masih juga buntu menemui erti ketenangan yang sebenar.

Syawal yang sepatutnya dirai dengan penuh kebahagiaan dan keceriaan, sebagai simbol kemenangan selepas sebulan berusaha membina tembok-tembok amal sewaktu Ramadhan, hancur lebur begitu sahaja pabila dendam kesumat masih lagi belum pudar ketika tibanya Syawal.

Mungkin kita tidak sedar, rupanya ketika bibir laju memohon ampun, kita sendiri belum lagi menghulur maaf. Bagaimana harus menemui ketenangan, andai hati masih lagi berbekas rasa? Kita ingin Allah megampunkan dosa-dosa kita, tetapi kita lupa memberi maaf pada orang-orang yang bersalah.

Ya! Memaafkan bukanlah mudah. Kita manusia, fitrahnya sentiasa berteman khilaf. Dengan berhujah "kita bukan Nabi, kita manusia biasa" bukanlah alasan untuk kita terus membenci seseorang. 

Memang, kadangkala apabila kita mengenang betapa diri diperlakukan dengan tidak adil, betapa diri dizalimi, betapa diri tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu, lantas sukar sekali rasa hati untuk memberi kemaafan.

Tapi kita terlupa, hati manusia, seperti saya, seperti dia, seperti kita semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang terjadi tanpa izin dariNya. Setiap sesuatu yang berlaku, telah dirancang dengan sebaiknya. Baik atau buruk mereka hanyalah di mata kita, sedangkan hakikatnya mata dan hati manusia itulah sebenarnya yang terhijab dari segala kebaikan tersirat yang Allah telah terlebih dahulu aturkan.

Erti kata lain, andai kita fikir kita dizalimi oleh manusia, lalu enggan pula memaafkannya, maka kitalah sebenarnya yang zalim kerana sedikit sebanyak kita ini telah menuduh perancangan dan gerakan Allah itu zalim. Na'uzubillahi min zalik.

Sedangkan Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan di bumi, sedia mengampunkan dosa kita hatta setinggi gunung Everest! Sedangkan Allah, di dalam Al-Quran berkali-kali menegaskan bahawasanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dia sedia mengampunkan hamba-hambanya walau berkali-kali mereka melakukan dosa.

Tapi kita, hanya hamba yang kerdil, satu antara jutaan butiran pasir manusia, seakan-akan mahu menumpang hakNya, dengan tidak bersedia memaafkan manusia kerdil lain.

Janganlah kita terlebih tuhan berbanding Tuhan itu sendiri.

Benar, memaafkan itu tidak mudah. Memaafkan sedang hati masih berdarah kerana disakiti, memang sukar sekali. Apalagi jika yang mengkhianati itu tidak pernah menunjuk kesal. Malah seakan bergembira, seolah-olah perkara yang menjengkelkan kita itu tidak pernah berlaku.

Tapi ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Hatta mahu masuk ke tandas pun perlukan bayaran, inikan pula mahu masuk ke kediaman istimewa untuk selama-lamanya. Mestilah ada "harga" yang perlu dibayar. Mahu menapak ke syurga itu perlu diselubungi dengan jerih payah.

Maka, perlu apa kita mengeluh kesah? Percayalah, bila mana kita memaafkan, maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang. Rasa tenang, rasa damai, rasa lapang Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasa hati bersorak girang. Hati terasa bebas dari dendam dan amarah kerana jiwa kita tidak lagi menangisi sesuatu yang telah ditakdirkan terjadi.

Didiklah hati itu agar sentiasa mendoakan mereka yang telah mengkhianati kita. Walau sakitnya bagai ditusuk sembilu, doakanlah kebaikan buat mereka kerana tidak rugi orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan.

Kerna kita tidak tahu bagaimana pengakhiran sebuah kehidupan di masa akan datang antara kita dengan orang yang menzalimi kita itu. Boleh saja orang tersebut menjadi lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding diri kita sendiri.

Andai kita belum pernah mendoakan yang baik-baik untuk mereka, maka doakanlah. Setiap kali berdoa, selitkanlah nama mereka. Jangan sesekali kita medoakan keburukan buat mereka. Kerana sebaik-baik dan sekuat-kuat mukmin itu, ialah mereka yang mampu memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya sekalipun dia mampu untuk membalasnya.

Kesalahan mereka dengan kita, kita maafkan. Kesalahan mereka dengan Allah, kita doakan.

Akhir kalam, janganlah kita menghukum seseorang hanya kerana dosa mereka berbeza daripada kita. Kerna hakikatnya, kita semua pendosa.

Wallahu A'lam..

Salam Syawal,
23 Syawal 1437H 

TERAWIH VS SUBUH

Memang, solat terawih itu sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Bahkan dituntut agar dilaksanakan secara berjemaah.

Istimewanya solat sunat terawih ni, bulan Ramadhan sahaja ada. Bulan lain tiada.

Namun, bagaimana pula dengan solat Subuh?

Adakah kita bersemangat menunaikannya sebagaimana solat terawih?

Malamnya berselawat bagai nak rak, siap bersaing suara siapa yang paling kuat menyebut kalimah mulia "Allahumma Solli 'Ala Muhammad" di masjid-masjid.

Tetapi paginya, waktu Subuh sunyi sepi di masjid hingga kucing kentut pun boleh dengar.

Ketahuilah, terawih itu sunat, tetapi Subuh itu wajib.

Budak-budak pun tahu yang mana patut lebih diutamakan.

Jadi, sesiapa yang punya azam untuk mencatat kehadiran penuh terawih berjemaah, cubalah juga untuk mencatat kehadiran penuh subuh berjemaah. Barulah anda akan jadi pemuda luar biasa!

Sebelum masuk Ramadhan lagi, dah kena "set"kan "target" macam tu. InsyaAllah jika kita sungguh-sungguh berazam, Allah akan mudahkan.

Moga Allah redha..


DAIE SYOK SENDIRI

Di hati daie para ikhwah dan akhawat sudah semestinya menikmati setiap detik hari-hari kita dalam bulan Ramadhan.

Setiap waktu kita memperingatkan sesama kita sejauh mana pecutan kita dalam bulan Ramadhan.

''Akhi, berapa juz' dah?"

"Kak murobbiah ohsem bam-bam cikebum-cikebum, dah habis separuh Ramadhan dah, sedih rasanya.. Tak tahu dapat jumpa lagi ke tak dengan "next" Ramadhan.."

"Abam sado murobbi, malam ni kita nak pergi iktikaf kat mana? Rindu nak beriktikaf berjemaah macam tahun-tahun sebelum ni.."

Kalam-kalam kesyurgaan terus bermain-main di bibir dan hati-hati para daie di bulan mulia ni. Betapa gembiranya mereka dengan nikmat ramadhan.

Namun Ikhwah Akhawat sekalian, cukupkah nikmat Ramadhan ini berpusing-pusing dalam kelompok kita sahaja?

Terfikirkah kita akan teman-teman kita di luar sana yang tidak sedikit pun ada dalam jiwa mereka kegembiraan dalam bulan ini malah subur dengan kebencian dan kebosanan.

"Menyusahkan betul lah tak boleh nak makan minum bagai.. Dah la penat kerja.. Hish rimas la bila Ramadhan ni.."

"Malas la nak pegi terawih.. Duduk rumah jela.. Tak pun keluar lepak mamak malam-malam ni best jugak.."

Malah, senior saya sekarang yang sedang melakukan praktikal di Mahkamah Syariah dan Majlis Agama menceritakan dalam "group whatsapp" kami,

" Hari ni kami tangkap khalwat..seorang ibu bawa anak kecil dua orang dengan seorang lelaki di sebuah bilik hotel..Allahurabbi.."

" Pening aku jaga kaunter ni, hari-hari suami isteri datang gaduh depan mata aku sebab nak bercerai..siap bertumbuk lagi.."

" Sedih tengok statistik orang yang tak puasa tahun ni..semakin meningkat setiap tahun..setiap hari kalau kami "rush" di kedai-kedai mamak mesti akan ada seorang dua yang sangkut.."

Semua ni berlaku pada bulan Ramadhan. Bulan yang mulia. Bulan yang sangat indah di mata daie. Namun cukupkan ia?

Sentiasalah kita ingat dan usaha untuk sebar kebaikan bulan Ramadhan ni pada semua orang. Bukan sekadar dalam linkungan jemaah kita sahaja. Jangan "racist" boh!

Kita punya tanggungjawab lebih besar luar dari linkungan kelompok kita. Keluarga kita, adik-beradik kita, jiran-jiran kita, serta sahabat-sahabat kita yang tidak kenal pun apa itu tarbiah.

Cukuplah kita syok sendiri di bulan Ramadhan ini. Sedang ramai lagi di sekeliling kita yang terkapai-kapai mencari nikmat iman dan islam. Cuma mereka tak tahu hendak bermula dari mana kerana tiada orang yang mahu membimbing.

Tidak salah untuk merasakan kegembiraan bersama sahabat sejemaah kita. Namun, kita juga perlu sedar hakikat sebenar tugas kita.

Muhasabah buat para du'at yang suka syok sendiri.

Moga Allah redha!

Tuesday 26 July 2016

MUNAJAT RAMADHAN

Ya Allah.. Ya Rahman.. Ya Rahim..

Dalam dakapan Ramadhan yang suci ini, dengan rasa rendah diri, kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepadaMu ya Allah..

Semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar..

Ya Fattahu Ya 'Alim..

Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar dari semua masalah yang membelenggu diri kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirMu..

Ya Allah..

Takdirkanlah yang baik-baik untuk diri kami, janganlah Kau menguji kami pada apa yang tidak mampu Kami lalui. Bukakanlah pintu-pintu rahmatMu untuk kami ya Allah..

Ya Allah Rabbul Jalil..

Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik, supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMu ya Allah. Ampunkanlah segala dosa-dosa kami, kerana kami terlalu banyak dosa kepadaMu ya Allah.

Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMu bila ditimpa sakit. Kami lupa kepadaMu ketika senang, kami ingat kepadaMu bila datang kesusahan. Kami lupa kepadaMu di saat kami gembira, kami ingat kepadaMu ketika sedih dan kecewa. Kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingatiMu ketika usia sudah tua. 

Justeru ya Allah, ampunilah semua dosa kami. Berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami daripada mengingatiMu ya Allah..

Ya Allah.. Ya Rahman.. Ya Rahim..

Ampunkanlah dosa kedua ibu bapa kami. Setiap titik susu ibu yang mengalir dalam diri kami, Kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurgaMu..

Ya Rahman, pada setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada kami sekeluarga, Kau gantikanlah dengan keampunan yang membawanya ke syurgaMu ya Allah..

Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan. Justeru ya Allah, kurniakanlah kepada kedua ibu bapa kami tempat yang teristimewa dan tertinggi di syurgaMu ya Allah..

Ya Allah, kami juga memohon ampun kepada kaum kerabat kami, sahabat-sahabat kami, dan guru-guru kami yang masih hidup mahupun yang telah terlebih dahulu meninggalkan kami menuju ke alam barzakh. Golongkanlah mereka dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai. Apabila tiba pula giliran kami menuju barzakhMu, maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik-baik dalam keampunan dan rahmatMu ya Allah..

Ya Allahu Ya 'Aziz..

Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram. Hiasilah hati kami dengan sifat redha, syukur, sabar, ikhlas, amanah, dan bertanggungjawab. Kau jauhkanlah kami dari sifat 'ujub, riak, takabbur, fitnah-memfitnah, mengadu domba, berburuk sangka, dan khianat..

Ya Rashid.. Ya Rahman.. Ya Rahim..

Jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan kesusahan, maka Kau bantulah mereka, permudahkankah urusan mereka. Jika ada di kalangan kami mereka yang bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jalan keluar kepada mereka. Jika ada di kalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka, dan cukupkanlah keperluan mereka. Jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan sakit, maka Kau sembuhkanlah mereka ya Allah, agar mereka dapat beribadah bersama-sama kami. Ya Allah, jika ada dalam kalangan kami yang derhaka kepada ibu bapa atau terkurang dalam melayani mereka, maka Kau ampunilah mereka. Jadikanlah kami anak-anak yang taat dan berbakti. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Mengasihi..

Ya Allah.. Ya Razzaq.. Ya Fattahu Ya 'Alim..

Kurniakanlah kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati. Dan jadikanlah kami dengan rezeki itu semakin dekat denganMu. Sebaliknya janganlah Kau jadikan kami golongan yang lupa diri setelah mendapat kurniaanMu..

Ya Allah..

Bantulah kami dalam menjalankan urusan agama kami, elokkanlah urusan dunia kami, yang padanya tempat kami mencari kehidupan. Elokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat kami akan kembali untuk selama-lamanya. Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami, dan jadikanlah kematian kami sebagai ketenangan kepada kami dari segala kejahatan. Sesungguhnya kami ingin kembali kepadaMu dengan jiwa yang tenang..

Ya Allah.. Ya Zal Jala Li Wa Al-Ikram..


Janganlah Kau jadikan ramadhan ini sebagai ramadhan terakhir buat kami. Temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang. Akan tetapi Ya Allah, andai ini ramadhan terakhir buat kami, jadikanlah puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati. Jadikanlah ramadhan ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangMu ya Allah. Jadikanlah ramadhan ini sebagai penghapus dosa kami ya Allah. Temukanlah kami dengan malam Al-Qadr. Pilihlah kami dari kalangan hambaMu yang dapat beramal pada malam AL-Qadr..

Ya Allah..

Terimalah amalan kami. Terimalah taubat kami. Ampunkanlah segala dosa kami. Menangkanlah kami dalam menghadapi musuh-musuhMu. Amankanlah kehidupan kami di sini dan di sana nanti yang kekal abadi. Kurniakanlah kepada kami syurgaMu yang Maha luas nikmatnya..

Aamiin ya rabbal 'alamin..



Monday 25 July 2016

MALAM AL-QADR

"Pokok tak sujud pun malam ni.."

"Air tak beku pun.."

"Tak dapat lagila kita jumpa Lailatul Qadr malam ni.."

Sayangnya, kebanyakan kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al-Qadr pada alam, pada pokok, pada air, dan lain-lain.

Sedangkan tanda mendapat Al-Qadr itu ada pada diri sendiri.

Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al-Qadr amat bertuah kerana doa, taubat, dan hajatnya "diangkat" oleh malaikat lalu dimakbulkan oleh Allah?

Jadi, jika seseorang mendapat malam Al-Qadr tentu jiwanya menjadi lebih tenang, akhlaqnya menjadi lebih baik, dan ibadahnya (sama ada hablun min Allah dan hablun min An-nas) bertambah lebat dan hebat.

Malam Al-Qar adalah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (ibarat trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajr.

Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya dalam kalangan mereka - malaikat Jibril.

Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.

Salah satu urusan adalah "bertamu" dalam hati orang Islam yang bersih. Hanya sekali bertamu, tetapi kesannya berpanjangan.

Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah.

Bisikan para malaikat akan mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu.

Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.

Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan "hati kecil" yang suci dan baik. Kedua, bisikan "hati besar" yang kotor dan jahat.

Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan was-was.

Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh "penakluknya."

Firman Allah : "Dan beruntunglah orang yang membersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.." [Surah As-Syams : 9-10]

Orang yang mendapat malam Al-Qadr sungguh bertuah. Hal ini kerana, hasil mujahadah, doa, serta taubatnya pada malam berkenaan, akan menyebabkan malaikat akan terus mendominasi hatinya.

Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya.

Mujahadahnya akan terbantu.

Perjalanannya menuju Tuhan akan lebih terpimpin dan terjamin.

Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan, maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan.

Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.

Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al-Qadr.

Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai pada orang yang mengalaminya sahaja.

Rasa tenang, bahagia, lapang, dan sejuk.

Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara. Eh, dia sudah berubah. Eh, indahnya perilaku dia. SubhanaAllah, dia lain sangat sekarang. 

Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. 

Itulah antara tanda-tanda malam Al-Qadr yang paling ketara dan terasa. Satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bukan pada alam dan jagat raya, tetapi pada diri manusia itu sendiri.

Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada malam Al-Qadr telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu.

Kita tidak sepatutnya menunggu kerana kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. 

Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, seolah-olah setiap malam adalah malam Al-Qadr. 

Al-Qadr boleh datang, boleh pergi. Tetapi Penciptanya sentiasa ada, sampai bila-bila.

Persediaan menemuinya bukan dibuat semalaman, seharian, mingguan, atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan menemuinya.

Mengapa?

Kerana perjuangan "membersihkan hati" adalah perjuangan sepanjang hayat!

"Qalbun Salim" ( hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita.

Moga Ramadhan kali ini menjadi kekuatan untuk kita terus tsabat di atas jalanNya.

Moga Allah redha.

Wallahu A'lam.

Salam Ramadhan,
Jumaat/19 Ramadhan 1437H 


Tuesday 24 May 2016

ADAKAH UJIAN KERANA DOSA?

Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan dapat lari dari diuji oleh Allah. Ujian yang mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak, ujian mengajar seseorang untuk menjadi lebih lasak dalam menggalas setiap bebanan kehidupan.

Namun begitu, ada waktu apabila kita diuji, hati kita sering bersangka-sangka pada Ilahi. Segala nasihat daripada teman sekeliling sudah tidak mampu dihadam dengan baik. Semakin hari kita semakin sedih, semakin kecewa, semakin meratapi dosa.

Setiap hari kita merungut,
"Kenapa dan mengapa aku wahai Allah?"
"Ya Allah, banyak sangatkah dosa aku sehingga Kau uji aku sebegini rupa?"

Nabi Nuh menghadapi ujian melalui anak dan isteri yang tidak mahu taat kepada perintah Allah. Adakah kerana dosa? Nabi Ibrahim antara Rasul Allah yang menerima banyak ujian, antaranya baginda dibakar hidup-hidup serta diuji dengan penyembelihan anaknya Ismail. Adakah kerana dosa? Nabi Musa diuji dengan Firaun yang angkuh. Adakah kerana dosa? Nabi Zakaria as telah digergaji badannya sehingga terbelah dua, di mana perbuatan tersebut telah dilakukan oleh kaumnya sendiri. Adakah kerana dosa? Nabi Yusuf telah dicampakkan ke dalam perigi oleh adik-beradiknya sendiri, baginda juga telah digoda oleh isteri seorang pembesar lalu dipenjara. Adakah kerana dosa? Nabi kita Muhammad SAW ketika menyampaikan Islam pada masyarakat, baginda telah dibaling najis dan batu sehingga mengalir darah ke kaki dan kasut baginda. Adalah kerana dosa?

Berat sangatkah ujian yang Allah kirim kepada kita sehingga kita mengeluh tanpa henti?
Hati sentiasa buruk sangka pada Allah? Besar sangatkah dosa kita pada Allah sehingga kita "dihukum" sebegini rupa?

Jawapannya tidak. Allah uji kita bukan semata-mata kerana dosa. Bahkan Dia uji kita untuk menaikkan darjat. Allah uji kerana Dia kasihkan kita. Allah rindu air mata kita.

Rasulullah saw menyifatkan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Semakin besar ujian yang diberikan Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaiman hadits yang datang daripada Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya ujian yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka mereka itu akan diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah, dan barangsiapa yang tidak redha, maka padanya terdapat kemurkaan Allah." 
(HR Al-Tirmidzi, Al-Albani menyatakannya sebagai Hassan dalam Shahih dan Dhaif Sunan At-Tirmidzi)

Mehnah dan tribulasi dalam konteks kehidupan hari ini dapat dilihat di sekeliling kita. Bahawa setiap orang akan diuji dan tiada siapa pun yang akan terlepas dari diuji oleh Allah. Perkara ringan pada seseorang, mungkin berat pada orang lain. Dan cara kita berinteraksi pada ujian yang mendatang adalah manifestasi keimanan kita kepada Allah.

Pada kaca mata orang yang miskin, ujian buatnya adalah dengan kemiskinan. Namun buat orang yang kaya, kekayaannya pula yang menjadi ujian buat dirinya. Ada orang diuji dengan anak-anak yang nakal. Namun ada pula orang lain yang diuji belum mempunyai cahaya mata. Ada pula orang lain yang diuji dengan keretakan rumah tangga. Ada orang diuji dengan kesakitan, sebagai tanda dia ingat serta beriman kepada Allah atau tidak. Ada juga yang diuji dengan keluarga yang porak-peranda.

Dalam dunia ini, ada manusia yang diuji dengan ujian yang sangat luar biasa, namun, dia masih mampu tersenyum bahagia. Ada juga manusia yang ujiannya biasa-biasa sahaja, namun mulutnya sentiasa mengomel tanpa mengira tempat dan masa. Lain orang, lain kesusahan yang tertanggung. Pendek kata, setiap orang akan, telah atau mungkin sedang diuji. Namun dengan cara yang berbeza, dengan perasaan yang berlainan. Itulah kebijaksanaan dan keadilan Allah azza wajalla.

Kadang, kita lihat ada orang sentiasa ceria, namun kita tidak pernah tahu, setiap keperitan di sebalik keceriannya, setiap tangisan di sebalik tawanya. Oleh itu, yang masih kecewa belum berumah tangga, syukurlah. Sekurang-kurangnya kita punya lebih masa untuk berbakti kepada kedua orang tua kita. Bagi yang bersedih masih belum punya cahaya mata, bergembiralah. Sekurang-kurangnya kita punya banyak masa untuk bersujud padaNya.

Jadi, berhentilah prejudis pada Allah apabila diuji. Jangan menghukum diri apabila ujian datang bertalu-talu. Lebih baik kita ambil wudhuk, solat sunat dua rakaat, selepas salam, kita istighfar dan selawat, senyum memandang ke langit, biarkan air mata berlinang, bisikkan dalam hati sedalam-dalamnya, "Ya Allah, terima kasih kerana tidak melupakan aku melalui ujian-ujian ini.."

Ketahuilah, hidup kita ini, adalah satu perjalanan yang panjang. Setiap ujian Tuhan, pasti ada penyelesaiannya. Ianya pasti tamat dan akan berlalu pergi. Apa yang penting, kita sebagai hamba perlu teruskan perjalanan, kerana destinasi utama kita bukan di sini, tapi nun di syurga sana. Andai kata di dalam perjalanan tersebut kita sudah tidak mampu berlari, teruskan melangkah dengan yakin. Tapi ingat, jangan sesekali berhenti.

Allah itu Maha Adil. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jangan sesekali berhenti menggali kasih sayang Allah. Setiap kali kita diuji, tepuk dada, tanyalah iman, "Apa khabar kau iman setelah diuji?"

Jadi, berhentilah merungut dan sentiasa lazimi diri untuk berdoa memohon pertolongan dan kekuatan daripada Allah. InsyaAllah, kita akan kuat!

Wallahu a'lam..

Friday 20 May 2016

HUKUM MENJADI KEYBOARD WARRIOR.


Kita pernah di”viral”kan dengan kisah sepasang pengantin yang sedang bersanding, dimaki hamun oleh bekas isterinya suatu ketika dahulu. Belum lagi kisah tersebut surut, kita digemparkan pula dengan kisah seorang remaja perempuan yang mereka cerita dia diculik kerana ingin meluangkan masa bersama teman lelakinya. Tidak lama selepas itu, baru-baru ini kita di”viral”kan lagi dengan kisah seorang mahasiswa dari salah sebuah IPTA, tentang soalan kontroversi yang diajukan oleh beliau kepada Dr Zakir Naik dalam sesi ceramahnya.

Kisah-kisah tersebut mungkin berbeza, individu yang terlibat juga berbeza. Tetapi kesemua mereka menerima akibat yang sama, iaitu dimalukan oleh "keyboard-keyboard warrior" yang semakin berleluasa dewasa ini. Video, gambar, dan kata-kata mereka disebarkan dengan seluas-luasnya di seluruh persada media sosial tanpa sebarang tapisan.

Persoalannya, salah ke jadi "keyboard warrior"? Kami "share" je kot. Dalil mana dalil?

Sebelum persoalan tersebut dijawab, ingin saya jelaskan bahawa, menulis adalah satu perbuatan, di mana kita tidak menggunakan mulut untuk mengeluarkan kata-kata, tetapi menggunakan hati. Jika hati kita baik, maka baiklah tulisan, begitulah sebaliknya.

Jadi, berhati-hati dgn tulisan kita, kadang kita tidak sedar, ada antara perkataan kita, yang melukakan hati org lain.

Ada waktu, diam itu lebih baik, tidak perlu lantang sangat. Hendak menilai juga perlu bertempat. Takut kata-kata makan diri. Kita bimbang ada hati yang masih menyimpan setiap bait kata-kata kita. Andai dia terlihat sedikit silap kita, bimbang hati yang menyimpan 1001 rasa itu mula bertanduk.

Usah terlalu ghairah menjadi "keyboard warrior" hinggakan cerita sejengkal boleh jadi sedepa. Apatah lagi kalau berita itu palsu.

"Ingatlah ketika kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, kamu menganggapnya remeh. Padahal dalam pandangan Allah itu soal besar."

"Sesungguhnya orang-orang yang inginkan perbuatn keji (berita bohong) itu tersebar dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mngetahui.."
[An-Nur :15 dan 19] 
(Sumber : Kitab Tafsir Ibn Katsir, Jilid 6, Halaman 24)

Imam Ahmad juga meriwayatkan dari Tsauban, dari Rasulullah SAW: "Janganlah kamu menyakiti hamba-hamba Allah dan mencela mereka, kerana barangsiapa yang mencari-cari aib saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan mencari-cari aibnya dan membongkarnya sehingga aib ke dalam rumahnya sendiri.." 
(Sumber : HR At-Tirmidzi no. 2032, dihasankan As-Syaikh Muqbil dalam Ash-Shahihul Musnad Mimma Laisa fis Shahihain, no. 725, 1/581)

Jadi, bersederhanalah dalam menegur, berlapang dada juga apabila ditegur. Hal ini kerana, jika kita sentiasa fikirkan apa kata orang, kita tidak akan dapat berbuat apa-apa. Tapi, jika kita tidak fikir langsung apa yang orang kata,  kita tidak akan belajar untuk menjadi lebih baik.

Moga setiap kata-kata kita, Allah nilai sebagai kebaikan dan diberi ganjaran syurga. Jaga dulu tepi kain sendiri, tapi awas! Jangan sampai tidak tutup bila lihat kain orang terselak!

“Do not let your tongue mention someone's fault, because we also have faults. And other people also have tongue.”

Muhasabah bersama. Semoga dengan keimanan menjadikan kita semakin matang.

Wallahu a'lam.